top of page

HIKAYAT DATU MERPATI VERSI IBAN SERIAN


HIKAYAT DATU MERPATI VERSI IBAN SERIAN

BILA berbicara mengenai Hikayat Datu Merpati yang sering menjadi rujukan untuk memperkatakan asal muasal Melayu Sarawak melalui golongan Melayu Perabangan atau Melayu Datu-datu sebenarnya mempunyai banyak versi penceritaan. Namun yang paling popular digunakan adalah versi cerita oral yang didapati di kalangan Melayu Sarawak sendiri.

Secara ringkasnya versi Melayu Sarawak menceritakan bagaimana asal muasal Datu Merpati yang dikatakan berasal dari tanah Langka Putra di Jawa yang akhirnya terdampar di bumi Santubong. Isterinya Datu Permaisuri pula dikatakan berasal dari Kerajaan Johor iaitu Kerajaan Tri Buana yang juga mempunyai keturunan Minangkabau di dalam darahnya. Kemudian melahirkan 3 cahayamata yang bernama Merpati Jepang, Dayang Seri Bulan yang berkembarkan seekor naga iaitu Bulan Jati.

Ketika didalam perjalanan ke Brunei telah diserang lanun lalu diselamatkan oleh anaknya si Bulan Jati dan diiringi pelayarannya sehingga sampai ke destinasi iaitu Brunei. Dari situ Dayang Seri Bulan dicarikan jodoh lalu si Awang Semaun yang menjadi pengawal peribadinya menikahkannya dengan seorang putera dari Selangor. Sementara Merpati Jepang pula diangkat menjadi pemimpin di Pasir Kuning lalu memperkembangkan Melayu Perabangan Sarawak yang ada sekarang.

Itu ceritanya apabila kita merujuk versi Hikayat Datu Merpati yang berkisar kepada tulisan manuskrip asal yang bertulisan Jawi oleh Haji Muhammad Tahir Abdul Ghani pada tahun 1939. Kemudian sekitar tahun 1989 diolah semula oleh Datuk Haji Safri Awang Zaidel. Dan tanpa kita mengetahui bahawa pernah ada satu lagi versi yang telah ditulis oleh Tom Harrison iaitu kurator Muzium Sarawak pada tahun 1970. Rujukan penulisan Tom Harrison itu adalah berdasarkan cerita oral yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain di kalangan masyarakat Iban di Serian.


Versi Iban Serian

Al-sahibul hikayat diceritakan bahawa Datu Merpati seorang putera dari tanah Jawa telah terdampar di satu kawasan bertanjung di Sarawak. Dia bersama isterinya iaitu Dayang Permaisuri yang dikatakan puteri dari Kerajaan Minangkabau telah mendiami satu kawasan yang bernama Tanjung Sipang. Di Tanjung Sipang mereka telah bergaul dengan masyarakat tempatan lalu menjadi anggota masyarakat di situ dan akhirnya diangkat menjadi pemimpin masyarakat.

Pada suatu hari dikatakan isteri Datu Merpati iaitu Dayang Permaisuri telah mandi manda di satu anak sungai di Tanjung Sipang. Secara tidak sengaja tanpa beliau sedari sebenarnya masih di dalam “datang bulan”. Maka ini menyebabkan darah merah haidnya telah mengalir di sungai tersebut sehingga membuatkan air sungai yang jernih menjadi merah.

Hendak dijadikan cerita daripada air sungai yang menjadi merah inilah menjelmanya seekor naga yang bersisikkan emas. Adalah dipercayai bahawa Dayang Permaisuri telah melanggar pantang sumpah keturunannya yang tidak boleh mandi manda di sungai di ketika datang bulan. Dek kerana takut akan kemudaratan berlaku kepada masyarakat di Tanjung Sipang maka dikatakan naga yang bersisikkan emas itu diarahkan oleh Dayang Permaisuri untuk tinggal di laut yang berdekatan dengan Tanjung Sipang.

Di ketika Dayang Permaisuri sedang sarat hamil anak kedua pula dikatakan Datu Merpati berniat untuk mengembara ke kawasan pedalaman Sarawak. Maka disiapkan segala kelengkapan untuk belayar iaitu dengan memudiki Sungai Sadong. Tujuannya untuk berkenalan dan beramah mesra dengan penduduk-penduduk tempatan di Sungai Sadong yang rata-ratanya adalah dari kalangan etnik Iban.

Ketika di satu perkampungan bernama Temawang Tuah, Datu Merpati diceritakan jatuh hati dengan seorang gadis iban bernama Suhom. Cinta itu dibalas maka dilestarikan dengan satu perkahwinan mengikut adat “belah pinang” masyarakat Iban. Akhirnya perkahwinan mereka dianugerahkan dengan seorang cahayamata lelaki yang diberikan nama Datu Nyikot. Ketika di Temawang Tuah itu, Datu Merpati dikenali dengan nama Bung Santu di kalangan penduduk tempatan.

Apabila melihat sendiri anak lelaki membesar terdetik di hati Bung Santu untuk pulang ke Tanjung Sipang kerana diketika awal pengembaraannya telah meninggalkan isterinya iaitu Dayang Permaisuri yang sedang sarat melahirkan. Maka diperjelaskan kepada isterinya Suhom tentang niatnya untuk kembali ke Tanjung Sipang. Dengan berat hati dibenarkanlah jua beliau untuk pulang ke perkampungan dimana isteri pertamanya berada.


Namun apakan daya setibanya Bung Santu di Tanjung Sipang mendapati isterinya dan anak perempuan yang tidak pernah dilihatnya iaitu yang bernama Dayang Bulan telah dilarikan oleh Raja Pigor. Raja Pigor dengan orang-orangnya telah membajak Tanjung Sipang sehingga ranap perkampungan Bung Santu di situ dan banyaklah kemusnahan yang berada dipihak penduduk Tanjung Sipang pada ketika itu.

Sementara itu diceritakan ketika Dayang Permaisuri dan puterinya Dayang Bulan di dalam pelayaran akibat diculik oleh Raja Pigor, satu muafakat telah dapat dicapai antara Dayang Permaisuri dengan dua nakhoda Raja Pigor. Pada ketika itulah dikatakan dengan tipu muslihat Dayang Permaisuri telah berjaya membunuh Raja Pigor dan sebahagian daripada anak-anak kapalnya yang tidak bersekongkol dengan dirinya dan dua nakhoda Raja Pigor. Melalui dua nakhoda inilah yang membantu Dayang Permaisuri dan Dayang Bulan sampai ke Brunei.

Ketika sampai di Brunei, Dayang Permaisuri telah dibantu oleh seorang nelayan tua yang mana telah menjaganya seperti anak kandung sendiri. Pasangan nelayan ini turut dikatakan membina sebuah rumah untuk beliau dan puterinya tinggal iaitu bersebelahan dengan rumahnya. Tahun demi tahun akhirnya meningkat dewasa si puteri iaitu Dayang Bulan. Kecantikannya dikatakan menjadi idaman ramai pemuda di Brunei namun masih tidak berani untuk mencuba nasib untuk memetik bunga di taman.

Akhirnya melalui pemuafakatan masyarakat pada ketika itu telah diaturkan jalan untuk menjodohkan Dayang Bulan dengan pemuda yang setaraf dengannya. Maka kumpulan gendang Brunei telah diarak ke seluruh pelusuk negeri Brunei bagi mencari calon suaminya namun masih tiada sesiapa yang berani tampil menyatakan hasrat untuk meminangnya.

Hendak dijadikan cerita dikatakan kumpulan gendang Brunei telah dijemput untuk bermain gendang di satu negeri Andalas yang dikenali dengan nama Johor. Johor yang dimaksudkan ini bukanlah Johor yang didirikan pada kurun ke-17 masihi melalui keturunan Sultan Mahmud dari negeri Melaka sebaliknya Johor lama iaitu melalui Raja Tri Buana. Putera Sultan Johor telah menyambut sendiri kedatangan pemain gendang dari Brunei pada masa itu.


Dek kerana Putera Sultan Johor terlalu menyukai bunyi-bunyian gendang maka telah dijemput kumpulan pemain gendang Brunei untuk bermain di istana hinggapnya. Baginda terlalu asyik dengan cara persembahan gendang Brunei pada ketika itu sehinggalah timbul idea daripada salah seorang pemain gendang Brunei iaitu menyatakan bahawa bunyi gendang Brunei lagi baik didengar di dalam kapal.


Atas keinginan baginda maka kumpulan gendang Brunei telah membawa baginda naik ke kapal mereka yang berlabuh di pelabuhan. Tanpa membuang masa setiba di kapal lalu dipersembahkan permainan gendang sehinggalah putera Johor itu terlena. Di kesempatan putera Johor yang sedang lena itulah, kapal Brunei telah ditarik sauhnya lalu belayar meninggalkan pelabuhan Johor menuju ke Negara mereka iaitu Brunei.


Dipendekkan cerita sesudah beberapa lama belayar di lautan akhirnya sampai ke Brunei. Pada ketika sampai itulah Dayang Bulan sendiri yang menunggu sendiri rombongan kumpulan gendang Brunei. Pada masa itulah putera raja Johor terpandang Dayang Bulan dan akhirnya jatuh cinta pandang pertama. Hasratnya diluahkan kepada pemimpin masyarakat Brunei dan dipersetujui oleh seluruh penduduk Brunei. Inilah calon yang setaraf dengan Dayang Bulan iaitu seorang putera raja yang mana akhirnya ditabalkan menjadi Sultan Brunei yang pertama kerana pada masa itu Brunei tidak mempunyai raja.


Begitulah ceritanya versi Hikayat Datu Merpati melalui cerita oral di kalangan masyarakat Iban Serian. Ianya menyaksikan keindahan sastera rakyat yang mempunyai perkaitan secara langsung dengan kewujudan Melayu Sarawak dan juga masyarakat Iban sehinggalah kepada seorang pemerintah Brunei iaitu Awang Alak Batatar atau Sultan Muhammad Syah, pemerintah yang pertama Kerajaan Brunei Darussalam suatu waktu dahulu.


Hakikatnya kita sendiri tidak pernah terfikir bahawa suatu waktu dahulu orang-orang tua kita mempunyai penilaian cerita oral yang begitu puitis sekali sehingga mampu menjadi sandaran sejarah secara oral perkaitan kerajaan-kerajaan lama di bumi Nusantara. Sayangnya ia tidak begitu diwar-warkan buat kita orang Sarawak mahupun Brunei sekalipun.





Rujukan:


1. The Malay Of South-West Sarawak Before Malaysia – Tom Harrison (1970)

2. Sejarah Pengasasan Dan Asal Usul Kerajaan Brunei Berdasarkan Sumber Lisan – Haji Abdul Karim bin Haji Abdul Rahman

http://studentsrepo.um.edu.my/6454/1/HAJI_ABDUL_KARIM_BIN_HAJI_ABDUL_RAHMAN.pdf

bottom of page