top of page

PWII BELIANG AK BALI


JEJAK PAHLAWAN SARAWAK: PWII BELIANG AK BALI

SEMATAN, Lundu cukup terkenal dengan keindahan pantainya yang putih bersih berserta dengan air lautnya yang kebiru-biruan. Sehingga sekarang ianya sentiasa menjadi dambaan pelancong tempatan untuk beriadah membawa keluarga samada di hujung minggu mahupun cuti sekolah. Disebalik keindahan ini semua mungkin ramai tidak mengetahui cerita disebalik lokasi ini iaitu untuk lebih mengkhusus di Kampung Tembaga, Sematan pada sekitar Oktober 1976. Kerana disinilah ianya mempunyai perkaitan dengan seorang “Bujang Berani” bernama Beliang Ak Bali.

Beliang ak Bali merupakan anak Iban yang berasal dari Rumah Tumbang, Metong Atas, Seblak, Roban, Sri Aman. Dilahirkan pada tanggal 6hb Oktober 1953 adalah anak kepada seorang mantan Sarawak Renjer yang pernah bertugas di ketika Koloni Mahkota Sarawak British memerintah Sarawak suatu waktu dahulu. Kemudian diceritakan ayahnya telah menganggotai pasukan Polis sehingga bersara dengan pangkat Sarjan. Mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Rendah Metong Atas dan kemudian meneruskan persekolahannya di Sekolah St. Columbus, Miri, Sarawak sehingga tamat Darjah 6.

Dibesarkan dikalangan “bujang berani” maka tidak menghairankan beliau turut memilih karier sebagai salah seorang parajurit Negara. Dan cerita mengenai beliau bermula pada tanggal 4 Oktober 1976 apabila terpilih untuk menganggotai Platun “Ngelaban” di dalam Batalion 8 Regimen Renjer. Perlulah diketahui bukanlah mudah untuk seorang anggota tentera diserapkan ke unit platun ini kerana ianya juga adalah platun yang terkenal dengan Skuad Kombat dan Risikan di dalam Angkatan Tentera Malaysia pada waktu itu.

Platun Ngelaban adalah unit platun yang sememangnya hanya dianggotai oleh lima ke enam anggota tentera sahaja. Dengan ketua Platunnya pada ketika itu adalah Leftenan Muda Kuldip Singh. Walaupun berpangkat renjer namun sejak awal-awal lagi Beliang sudah diberikan tanggungjawab yang berat sebagai penolong ketua seksyen. Bersama-sama dengan beliau adalah Sarjan Gandat ak Merdan (Ketua Seksyen), Renjer Frederick @ Akal ak Angau, Renjer Mathew Bandah ak Ujang, Renjer Morni bin Morshidi dan Renjer Baru ak Agong. Unit inilah yang telah diarahkan untuk membuat operasi menjejak dan memusnahkan anggota komunis di Kampung Tembaga, Sematan pada ketika itu.

Setelah tiba di Kampung Tembaga, Sarjan Gandat telah mengarahkan agar unit platunnya iaitu Renjer Baru, Renjer Mathew dan Renjer Fredrick untuk membuat kawalan di kawasan perkampungan sambil-sambil membeli barangan makanan untuk bekalan mereka. Sekaligus cuba untuk berinteraksi dengan penduduk perkampungan di samping boleh mengorek sedikit informasi daripada penduduk tempatan mengenai pergerakan komunis di kawasan tersebut. Begitulah caranya anggota keselamatan kita bertugas suatu waktu dahulu kerana informasi penting biasanya didapati daripada penduduk sekitarnya.

Setelah beberapa hari di Kampung Tembaga iaitu pada tanggal 9 Oktober 1976 dikatakan Unit Platun Ngelamah yang sedang di dalam rondaan telah terserempak dengan seorang pencari kayu dari etnik Bidayuh Selako di hutan yang berhampiran. Dan seperti biasa komunikasi mereka lebih santai dengan meminta sekiranya pemuda tersebut dapat mencari madu lebah untuk mereka. Dan pencari kayu tersebut berjanji akan membawa madu lebah ke kem mereka di Kampung Tembaga pada sebelah petangnya.

Sekitar jam 5.00 petang seperti yang dijanjikan pemuda tersebut muncul di kem Unit Platun Ngelamah dengan membawa madu lebah seperti yang diminta. Ketika kesemua anggota unit platun sedang berehat sambil-sambil menikmati madu lebah asli inilah, pemuda itu di dalam perbualannya menyatakan bahawa pada sebelah tengahari telah terserempak dengan beberapa orang lelaki yang tidak dikenali di hutan berhampiran. Beliau turut menyatakan kesemua lelaki ini turut membawa senjata senapang.

Di dalam keadaan santai itu apabila mendengar sahaja berita yang disampaikan oleh pemuda Selako kesemua anggota unit platun Ngelamah terus bingkas mengambil senjata masing-masing. Sama sekali mereka tidak membuang masa untuk berpakaian tentera sebaliknya ada yang hanya berseluar pendek, berkaki ayam dan tidak berbaju berkejar ke lokasi yang diceritakan oleh pemuda selako tersebut. Malah dikatakan Renjer Beliang sendiri hanya berseluar dalam dan tidak berbaju tetapi “pouch” peluru melilit di pinggangnya sambil membawa senjata. Begitulah semangat anggota tentera kita yang terlalu jitu untuk memerangi komunis yang sering membuat onar di Negara kita suatu waktu dahulu.

Usai sampai di lokasi dengan pemuda selako menjadi jurupandunya, kesemua unit platun Ngelamah mula mengadakan operasi menjejak berdasarkan kepada bekas denai-denai pejalan kaki di dalam hutan. Pada satu lokasi denai tersebut terbahagi kepada dua maka pada ketika itulah Sarjan Gandat meminta pemuda Selako pulang ke rumahnya kerana keselamatan orang awam harus diutamakan. Selepas itu kumpulan unit platun dibahagikan kepada dua iaitu Renjer Frederick, Renjer Beliang dan Renjer Mathew menjejaki pada denai yang sebelah kiri manakala Sarjan Gandat dan yang lain pada denai yang sebelah kanan pula.

Semakin jauh perjalanan kumpulan Renjer Beliang dan dua rakannya di dalam hutan Kampung Tembaga dan pada satu lokasi dari jauh Renjer Frederick sudah dapat melihat adanya kelibat musuh kira-kira 10 meter daripada mereka. Pada ketika itulah isyarat diberikan kepada rakannya untuk mula meniarap sambil mendekati kawasan musuh. Dari kejauhan sememangnya seperti pihak musuh langsung tidak menyedari bahawa mereka sedang diperhatikan. Setelah mengambil posisi masing-masing walaupun hanya bertiga sahaja, Renjer Beliang, Renjer Frederick dan Renjer Mather tidak sesekali berundur malah sudah di posisi masing-masing.

Siaga segalanya dengan laungan “agi idup agi ngelaban” ketiga-tiga mereka memuntahkan hamburan peluru ke atas komunis di hadapan mereka. Paling dihadapan adalah Renjer Beliang yang tidak memperdulikan nyawanya melayang. Umpama singa lapar, ketiga-tiga Bujang Berani ini langsung tidak goyah dengan komunis yang ramai dihadapan mereka. Oleh kerana malam sudah menjelang maka episod berbalas tembakan itu semakin hilang. Jadi ini bermakna komunis sudah dapat memboloskan diri.

Namun dari kesamaran malam, mereka boleh melihat adanya jasad komunis yang kaku dihadapan mereka. Pada ketika itulah Renjer Beliang mengarahkan dua rakannya untuk berundur untuk berhimpun dengan Sarjan Gandat yang masih lagi di belakang mereka. Mati atau hidup tidak dapat dipastikan namun segala hal harus dilaporkan kepada Sarjan Gandat sebagai ketua seksyen pada ketika itu.

Mendengar laporan daripada Renjer Beliang, Sarjan Gandat seorang diri telah bergegas ke kem mereka di Kampung Tembaga untuk memberitahu ketua dan seterusnya ibupejabat dengan mengunakan radio tentera. Pada ketika itulah Renjer Beliang bersama rakan-rakannya yang lain ditinggalkan di lokasi mereka berbalas tembakan. Kerana bosan menunggu akhirnya Renjer Frederick dan Renjer Baru bertindak sendiri menghampir jasad komunis yang terkuai layu di lokasi tersebut. Disahkan komunis itu sememangnya sudah mati jadi kerana masih menunggu arahan akhirnya mereka bermalam di lokasi. Dengan kesejukan malam dengan kesemua mereka bukannya berpakaian lengkap sudah tentu banyak pancarobanya. Namun itulah anggota tentera kita yang sememangnya sudah biasa dengan latihan “survival” hidup di hutan. Itu semua bukannya halangan untuk berkhidmat bagi Negara yang tercinta.

Dua hari kemudian, ketika mereka masih lagi menjejaki komunis di kawasan hutan tersebut, mereka menemui dua lagi jasad anggota komunis. Akhirnya kedua-dua jasad komunis ini dibawa ke kem seperti yang seorang lagi dan pada ketika itulah setelah membuat pengenalpastian barulah mereka mengetahui bahawa salah seorang daripada komunis yang mati adalah orang yang paling dikehendaki di daerah Lundu bernama Lee Lip Pong. Bersama-sama jasadnya turut ditemui senjata rifel, 60 butir peluru dan beberapa bom tangan.

Begitulah ceritanya seorang bernama Renjer Beliang ak Bali dan anggota platunnya “Ngelaban” yang begitu dihormati di dalam sejarah perang atas komunis di Sarawak kerana walau hanya bertiga namun berundur pantang sekali. Atas kecemerlangan sewaktu berkhidmat di operasi menjejak komunis di Kampung Tembaga akhirnya Renjer Beliang dinaikkan pangkat menjadi Lans Koperal.

Namun tidak pernah serik dengan apa yang dilaluinya, pada tanggal 26 Disember 1977 pula iaitu ketika berkhidmat di dalam satu operasi di Gopeng, Perak, Beliang sekali lagi mempamerkan semangat kepahlawannya. Pada serangan komunis di Gopeng pada hari itu menyaksikan Beliang berjuang berhabis-habisan melawan komunis durjana. Hanya beliau yang terselamat daripada peluru tanpa mata komunis manakala rakan-rakannya iaitu Renjer Adenan bin Aini, Renjer Manggie ak Gengga, Renjer Thomas ak Semang dan ketua komandernya iaitu Mejar Wong Sing Nang tercedera teruk di dalam pertempuran tersebut. Hanya Beliang yang menjadi sandaran sementara menunggu bantuan pada ketika itu.

Atas keberanian dan kepahlawanan anak Sarawak inilah beliau dianugerahkan Pingat Gagah Berani oleh Kerajaan Malaysia. Beliau bersara daripada anggota tentera dengan pangkat terakhirnya Pegawai Waran 2 Beliang anak Bali. Lest We Forget.

“Agi Idup Agi Ngelaban”





Rujukan:

1. 931679 Ranger Beliang ak Bali – Pingat Gagah Berani

2. http://zulheimymaamor.blogspot.my/2014/01/medal-recipients-of-courage-malaya.htm

bottom of page