top of page

MISTIK & SUPERNATURAL TERABAI TRADISIONAL IBAN


MISTIK DAN SUPERNATURAL TERABAI TRADISIONAL IBAN


DI kalangan masyarakat Iban ianya dikenali dengan nama Terabai atau di dalam bahasa standard digelar “Perisai”. Ianya adalah salah satu daripada lambang kepahlawan kaum Iban di Borneo kerana dengan terabai inilah antara kelengkapan wajib ada apabila turun berperang suatu waktu dahulu. Sejajar dengan waktu, terabai sekarang kebanyakannya hanyalah salah satu sumber warisan di kalangan masyarakat Dayak dan sudah menjengah penggunaanya sebagai penghias dinding di rumah-rumah agam mahupun hotel bertaraf lima bintang di seluruh dunia.


Dan apabila berbicara mengenai motif ukiran terabai Iban pula sebenarnya bukanlah hanya sekadar satu perhiasan semata-mata. Kerana dikatakan pada setiap motif seni ukiran terabai Iban yang unik dan cantik itu sebenarnya mempunyai maksud-maksud yang tersendiri. Bolehlah dinyatakan bahawa motif pada setiap ukiran terabai sebenarnya menerangkan intepretasi halus samada menerusi kesusasteraan, sejarah dan tradisi serta kemahiran pertukangan kaum suatu waktu dahulu.


Menurut kepercayaan masyarakat Iban untuk mengukir sesuatu terabai bukanlah atas hanya kepakaran semata-mata. Ini kerana setiap pengukir Iban yang terpilih sebenarnya didatangkan ideanya atas kehendak Tuhan mahupun dewa-dewa mereka samada menerusi firasat mahupun mimpi. Atau secara relatifnya ianya berkaitan secara langsung dengan faktor pemujaan serta sanjungan kepada dewa-dewa mengikut fahaman animism mereka.


Antara dewa-dewa yang menjadi sandaran kepada kepercayaan masyarakat Iban animisme adalah seperti Keling Gerasi Nading Bujang Berani Kempang, Laja Mirah Moa Nekang Jerenang, Simpurai, Muntigerai, Sepatu Manok Antu, Sepungga Lumpong Nangga, Pandak Segatak serta banyak lagi. Kesemua nama-nama dewa ini adalah dewa perang masyarakat Iban yang tinggal di bahagian dunia atasan yang dikenali sebagai “Panggau Libau”. Masyarakat Iban mempercayai bahawa dewa inilah yang bertanggungjawab untuk menjaga dan melindungi masyarakat Iban daripada sebarang ancaman di dunia.


Jadi pada setiap motif ukiran terabai Iban yang cukup unik ini juga sebenarnya turut menggambarkan keadaaan pada masa itu. Perkaitan setiap motif ukiran dengan cerita legenda juga turut mendokong kewujudan asal-usul motif ukiran seperti pertarungan Rawing dan Raja Merom, pertarungan Lang Ngindang dan Lang Kachang, Mimpi Gemong, Burung Bubut dan Burung Ruai dan Belalang (Buntak Aloi dan Buntak Rusa).


Kita ambil contoh bagaimana legenda pertarungan antara Lang Ngindang dan Lang Kachang sewaktu perang Pengayau suatu waktu dahulu. Dikatakan pada saat pertempuran semakin sengit tiba-tiba tubuh badan Lang Ngindang ikut bergetar dan lemah apabila melihat terabai yang digunakan oleh Lang Kachang. Ianya ada kena mengena dengan motif ukiran terabai Lang Kachang pada masa itu yang menggunakan motif iban laki-laki.


Manakala untuk Lang Ngindang pula motif ukiran terabainya menggunakan motif iban perempuan. Malah sebenarnya adalah dipercayai oleh kerana Lang Kachang menggunakan terabai motif iban laki-laki juga turut mendapat reaksi yang berlainan. Pada ketika berhadapan dengan Lang Ngindang dikatakan dirinya yang mempunyai semangat yang berdomba-domba turut lembut jadinya iaitu bertukar menjadi seorang pahlawan Iban yang mengasihani terhadap musuh. Ini semua adalah tindakbalas mistik pada setiap penggunaan terabai untuk peperangan dan dek kerana itulah suatu waktu dahulu setiap pahlawan iban amat berhati-hati memilih motif ukiran mahupun warna terabai yang akan mereka gunakan.


Inilah antara falsafah didalam pembuatan dan pengukiran motif terabai tradisional masyarakat Iban suatu waktu dahulu. Setiap motif ukiran tradisional bukan hanya suka-suka tetapi mempunyai kefahaman mistik dan supernatural pada sesiapa yang memilikinya. Agak kurang pembuatan terabai tradisional sekarang dan ianya banyak dijadikan antara barangan berharga warisan keluarga. Manakala yang sering kita lihat di pasaran adalah jenis terabai Iban yang sudah dikomersialkan iaitu motif ukirannya lebih kepada menunjukkan simbolik kebudayaan dan seni kraftangan beridentitikan masyarakat Iban itu sendiri.


Tidak kenal maka tidak cinta.




Rujukan:


1. Peranan Motif Ukiran Pada Perisai Tradisional Masyarakat Iban Di Sarawak – Raoh Augustine ak Mapang (1991)

2. Asas Ukiran Iban – Augustine Anggat Ganjing (1991)

3. Impak Pengkomersialan Seni Ukiran Kayu Iban Terhadap Masyarakat Iban Di Sarawak – Usha Nantini A/P Karisenan

bottom of page