DATO SRI TRA ZEHNDER DAN GAWAI DAYAK
DATO SRI TRA ZEHNDER DAN GAWAI DAYAK
KELIBATNYA mungkin sudah tiada lagi di dalam arena politik Sarawak kerana sudah meninggalkan kita buat selama-lamanya pada tanggal 23hb Julai 2011 akibat sakit tua. Namun ini tidak bermakna kita harus melupakan segala jasa mendiang yang begitu tulus untuk memartabatkan rakyat Sarawak amnya dan masyarakat Dayak khususnya. Wanita besi lahir di kalangan etnik Iban Sarawak yang harum namanya sehingga menjadi idola dan legenda bagi kita semua.
Bukan wanita sebarangan wanita kerana tanpa penat lelah perjuangannya sudah tentu perayaan Gawai Dayak yang sedang kita rayakan sekarang tidak akan berjaya menjadi cuti umum di Sarawak. Inilah antara jasa-jasa mendiang yang mungkin ramai generasi muda Sarawak tidak begitu mengetahuinya. Tercatit namanya bukan satu malah dua sebagai antara wanita patriot unggul sehingga berjaya mewarnai kronologi bersejarah Sarawak baik di ketika pemerintahan Koloni Mahkota Sarawak British mahupun apabila Sarawak diambang kemerdekaan 54 tahun yang dahulu.
Dengan nama asalnya iaitu Philomena Tra Ak Jemat dilahirkan pada tanggal 25hb Oktober 1926 di Miri, Sarawak. Bertemu jodohnya dengan seorang penjawat awam di zaman pemerintahan Koloni Mahkota Sarawak British bernama Lesley Ptolemy Zehnder. Suaminya pada ketika itu bertugas di Jabatan Perhutanan Sarawak dan pasangan hidupnya inilah yang dikatakan antara orang penting di dalam penghidupannya memperjuangkan hak-hak masyarakat Dayak. Sebagai seorang penjawat awam, Encik Zehnder telah berjaya menyemai semangat kekitaan di dalam sanubari isterinya agar terus menapak ke hadapan biarpun beribu pancaroba yang dihadapinya.
Diketika Sarawak masih lagi dibawah pemerintahan Koloni Mahkota Sarawak British, Dato Sri Tra telahpun bangun memperjuangkan hak-hak kaum Dayak di bumi Sarawak ketika itu sehinggalah mampu menjadi pengasas kepada satu pertubuhan yang dikenali sebagai Sarakup Dayak Induk Sarawak (SIDS) bersama-sama dengan nama-nama besar wanita etnik Dayak yang lain seperti Barbara Bey, Julia Linang, Vida Bayang, Gladys Janting, Lily Senada, Johana Gundah, Limau Bunchol, May Kallang, Ginju Longan, Gana Blaun, Tuyah Daud, Elizabeth Muda dan Eunice Antan. Pada awal penubuhan SIDS ini, Dato Sri Tra telah dilantik sebagai Setiausaha Kehormat SIDS yang pertama ditubuhkan pada Mei 1957.
Setelah 3 tahun menjawat jawatan sebagai Setiausaha Kehormat akhirnya sekali lagi mendiang mendapat kepercayaan untuk menjawat jawatan sebagai Ahli Ekskutif SIDS dan seterusnya pada tahun 1964 hingga 1966 dan kemudian dilantik sebulat suara sebagai Presiden ke-4 SIDS (1964-1966). Sebagai seorang ketua kepada pertubuhan yang mewakili etnik Dayak ketika itu, sudah tentu perjuangan mendiang bukanlah sesuatu yang mudah kerana umum mengetahui betapa suatu masa dahulu, peranan wanita itu hanya dikhususkan di ceruk dapur sahaja. Namun Dato Seri Tra tidak beralah sebaliknya berkat kesabaran dan semangat telah berjaya mempelopori serta meyakinkan kesemua etnik Dayak tanpa mengira jantina dan sub-etnik untuk berdiri teguh di belakangnya di dalam memperjuangkan hak-hak mereka.
Sewaktu Sarawak diambang untuk membentuk Gagasan Malaysia bersama dengan Malaya, North Borneo dan Singapura pula iaitu melalui Suruhanjaya Cobbold yang ditubuhkan bagi membuat bancian dan maklumbalas untuk rakyat Sarawak di dalam pembentukan, Dato Seri Tra telah diberi kepercayaan duntuk mewakili suara Sarawak Dayak Union (SDU) di dalam perbincangan dengan Suruhanjaya Cobbold ketika itu. Beliau secara peribadi telah bertemu secara empat mata dengan ahli Suruhanjaya Cobbold ketika itu dan mendapatkan pandangan serta maklumbalas maksud gagasan tersebut.
Setelah memahami segalanya barulah beliau sendiri memperjelaskan kepada komuniti SDU bagi mendapatkan persetujuan mereka samada menyokong atau tidak. Setelah Sarawak merdeka daripada British pada tanggal 22hb Julai 1963 melalui kabinet pertama yang dipimpin oleh Datuk Stephen Kalong Ningkan, sekali lagi Dato Sri Tra telah memainkan peranannya yang amat bersejarah kerana sebelum tahun 1964, perayaan Gawai Dayak Sarawak merupakan bukan cuti umum. Hasil daripada perjuangan beliau yang tidak henti-henti bagi memartabatkan perayaan ini sebagai salah satu perayaan utama di Sarawak akhirnya ianya telah mendapat perhatian daripada kabinet Negeri Sarawak pada masa itu dan dijadikan cuti umum pada tahun 1964 sehinggalah sekarang.
Pada tahun 1967, Dato Sri Tra telah mula menceburkan dirinya di dalam kancah politik Sarawak melalui SNAP dan mengetuai sayap wanita SNAP. Beliau mengetuai sayap wanita SNAP dari tahun 1963 sehingga 1983. Ketika mengetuai sayap wanita SNAP ini, Datuk Tra tidak pernah lelah memperjuangkan nasib kaum wanita Dayak Sarawak walaupun banyak rintangan dan pancaroba yang beliau harus tempuhi. Satu lagi sejarah telah terukir di dalam sosio politik Sarawak sekitar tahun 1988 apabila wanita besi etnik Iban ini sekali lagi mendapat kepercayaan daripada Kerajaan Negeri Sarawak apabila beliau dilantik sebagai Wanita Iban Pertama yang menjawat jawatan sebagai Temenggong untuk Bahagian Kuching.
Mendiang menjadi Temenggong dari tahun Julai 1988 sehingga Februari 1996. Setelah bersara sekali lagi Dato Sri Tra mengukir sejarah apabila beliau diberi kepercayaan untuk menjadi wanita pertama yang menjadi Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak pada tahun 1996. Sebelum mendiang dilantik apa sahaja jawatan di dalam Majlis Adat adalah didominasi sepenuhnya oleh kaum lelaki Dayak Sarawak.
Sebenarnya pengorbanan dan perjuangan Dato Sri Tra amatlah banyak kerana mendiang sehingga ke nafasnya yang terakhir tetap berbakti untuk rakyat Sarawak. Penglibatannya di dalam menaungi badan bukan kerajaan juga tidak terkira banyaknya kerana hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan sentiasa dekat dihatinya. Antaranya adalah sebagai ahli Majlis Kebajikan Sarawak (1961-1967), Majlis Melanjutkan Pelajaran Sarawak (1960-1967), Jawatankuasa Tabung Getah (1980-1987), Lembaga Pelawat Hospital Umum Sarawak (1981-1983),ahli Penasihat Lembaga Pesalah Juvana (1981-1986), ahli Lembaga Pelawat Sekolah Tunas Bakti, Kuching (1987 hingga meninggal dunia), Penasihat Mahkamah Juvana, Kuching (1987-1997), ahli Majlis Wanita Sarawak (1989-1992), ahli Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (1989-1998) dan Lembaga Pelawat Pusat Serenti (1992-1997).
Terlalu hebat wanita besi etnik Iban ini dan sentiasa dikagumi oleh pelbagai masyarakat sehingga ke hari ini. Sekaligus setiap perjuangan dan kejayaannya juga membuktikan bahawa wanita itu mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki. Jantina bukanlah satu halangan jika benar-benar ikhlas memperjuangkan untung nasib rakyat.
Jasamu dikenang. Rest In Peace Dato Sri Tra Zehnder.
Rujukan:
1. Hew, Cheng Sim and Rokiah, Talib (2011) Tra Zehnder : iban woman patriot of Sarawak. Universiti Malaysia Sarawak, (UNIMAS). ISBN 9789675527128
2. The Star Online 24 July 2011 – Tra Zehnder Will Be Remembered For Her Achievements and Contributions To Nation Building by Zora Chan
3. Gawai: Jangan Lupa Jasa Bakti Dato Sri Tra Zehnder - Laman Rasmi Jiwa Bakti