LEGENDA BUAYA PUTIH SUNGAI BARITO
LEGENDA BUAYA PUTIH SUNGAI BARITO
SUNGAI Barito merupakan nadi kepada penduduk di Kalimantan Timur dan jika bercerita mengenai sungai ini juga penuh dengan cerita sejarahnya lebih-lebih mengenai sejarah hitam sewaktu mereka diperintah oleh Koloni Belanda. Di sungai ini juga pernah berlaku satu perang yang menjadi titik noktah perjuangan masyarakat Dayak di Barito bersama Orang Banjar bangun menghunus senjata bermandikan darah demi memperjuangkan tanahair mereka daripada cengkaman penjajah suatu waktu dahulu.
Di sebalik cerita sejarah hitam ini mungkin ramai tidak mengetahui bahawa Sungai Barito juga turut dikatakan menjadi habitat kepada buaya-buaya yang terkenal dengan keganasannya. Dan buaya putih seperti legenda si Bujang Senang di Sungai Batang Lupar, Sarawak dan si Terunggari di Sungai Kinabatangan, Sabah juga turut menjadi penghias cerita rakyat di Barito. Malah keunikan cerita ini juga sehingga sekarang dipercayai oleh masyarakat tempatannya bagaimana Sungai Barito itu terbentuk.
Al-kisahnya beratus-ratus tahun dahulu, di sebuah perkampungan di Barito tinggal dua orang anak yatim yang bernama Patih Laluntur dan Patih Sasanggan bersama ibunya seorang ibu tunggal. Meningkat dewasa kedua-duanya tidak tertahan dengan kesempitan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang di Barito lalu berhasrat untuk mengembara bagi mencari kekayaan. Restu daripada ibunya yang tua menjadi pembakar semangat kepada kedua-duanya untuk mencari kekayaan di dunia bagi menyenangkan lagi penghidupan ibunya.
Maka pada suatu hari yang baik, bermulalah episode kedua-dua adik beradik ini mengembara mengikut naluri berjalan kaki dari denai-denai hutan. Kerana tidak pernah mempunyai pengalaman mengembara diluar daerah mereka membesarkan maka kedua-duanya hanya mengikut naluri tanpa ada arah tujuan pengembaraan yang mengkhusus. Dek kerana itulah walau sudah lama mereka mengembara memang jarang-jarang mereka bertembung dengan penghidupan manusia. Makanan bekalan pula semakin hari semakin berkurangan sehinggalah satu saat kehabisan semuanya.
Hendak dijadikan cerita sewaktu perut mula mengeluarkan bunyi-bunyian yang mengasyikkan menyebabkan mereka hanya mampu bersandar di satu pokok yang besar. Di dalam keadaan kelaparan dan kehausan itulah segalanya akan dilihat begitu enak sehingga pokok yang besar itupun kelihatan begitu menyelerakan. Tidak tertahan dengan naluri untuk makan akhirnya Laluntur tanpa berfikiran panjang telah menetak pohon kayu tersebut lalu dipotongnya menjadi kecil-kecil. Serentak dengan itu juga Sasanggan pula bertindak membantu dengan membuat unggun api bagi memasak belahan kecil-kecil pohon tersebut.
Setelah api marak maka bermula proses memanggang pohon tersebut dan kedua-duanya amat gembira kerana ternyata belahan kecil pohon tersebut yang sedang dimasak telah mengeluarkan bau-bauan yang amat menyelerakan. Setelah masak maka tanpa berfikiran panjang kedua-duanya terus melahap belahan pohon tersebut sehinggalah kekenyangan. Sekali sekala memakan makanan yang sedap membuatkan kedua beradik ini terbuai lena kekenyangan bersebelah unggun api.
Tiba saatnya kedua adik beradik ini terjaga apabila ada rintik-rintik hujan jatuh ke bumi maka segeralah mereka cuba berselindung dari rintikan hujan di satu pohon yang rendang tidak jauh daripada unggun api yang mereka nyalakan tadi. Apabila hujan semakin lebat dikala itulah si adik iaitu Sasanggan menyaksikan bagaimana abangnya si Laluntur telah tumbuh sisik-sisik luar biasa di badannya. Dalam pada itu si Laluntur juga terkejut apabila melihat adiknya si Sasanggan juga bertukar menjadi sesuatu yang pelik.
Bermulalah kedua-dua adik beradik ini mengata satu sama lain sehinggalah mereka sedar bahawa mereka kedua beradik sudahpun bertukar menjadi satu makhluk yang berbeza. Di saat itu tiadalah lagi fikiran mereka selain redha dengan ketentuan bahawa mereka sebenarnya sudah melanggar pantang berkelana di hutan. Ini kerana akibat kelaparan mereka berdua langsung tidak meminta izin untuk memotong apa sahaja yang tumbuh di hutan itu.
Hujan yang semakin lebat akhirnya menyebabkan bumi semakin basah dan sudah ada lopak-lopak air di daratan. Kedua-duanya hanya mampu mengesot setapak demi setapak sehingga meninggalkan kesan seperti parit di Barito. Akibat malu kerana mereka bukan manusia lagi maka Patih Laluntur dan Patih Sasanggan bertekad akan menghindarkan diri daripada sebarang manusia. Jadi mereka terus mengesot sehinggalah mereka menjumpai laut lepas.
Menurut kepercayaan masyarakat di Barito disinilah bermulanya bagaimana Sungai Barito terbentuk dan buaya putih yang sering menampakkan dirinya di Sungai Barito sehingga sekarang adalah dipercayai dua adik beradik yang dahulunya manusia tetapi sudah bertukar menjadi sang buaya. Bala yang menimpa mereka adalah kerana telah termakan daging seorang pendita yang sedang bertapa di pohon yang mereka tebang. Kerana sudah lama bertapa maka pendita itu sudah menjadi sebahagian daripada pohon tersebut tanpa disedari oleh Laluntur dan Sasanggan pada ketika itu.
Dek kerana sumpahan membunuh si pendita inilah juga, si Patih Laluntur dan Patih Sasanggan yang sudah bertukar menjadi buaya telah nekad akan menjadi mana-mana manusia sebagai habuan mereka. Dendam kesumat itu masih lagi kekal sehingga ke hari ini dan kedua-duanya dikatakan antara makhluk buaya yang tidak boleh mati sampai bila-bila serta saiznya juga lebih besar daripada buaya yang biasa kita lihat. Turut dipercayai setiap bulan mengambang penuh, ada ketikanya kedua-dua buaya ini boleh menjelma menjadi manusia semula tetapi harus segera ke kembali ke sungai sebelum subuh menjelang.
Orang dulu-dulu sememangnya mempunyai idea kreatif sehingga mampu mengolah cerita legenda yang begitu mengasyikkan untuk garapan dan bacaan kita sekarang. Legenda buaya putih sememangnya mempunyai banyak versinya dan bukan sahaja memenuhi cerita waktu tidur untuk masyarakat Sarawak mahupun Sabah sebaliknya juga di Kalimantan. Pulau Borneo tidak pernah kurang dengan cerita sebegitu Cuma cukup sedikit ianya diketahui oleh masyarakat umum.