top of page

MEJAR PATRICIA YAPP SYAU YIN


MEJAR PATRICIA YAPP SYAU YIN - Juruterbang Wanita Pertama Asia Mengemudi Jet Pejuang MIG-29

“Foxy” itulah panggilan untuk beliau dikalangan pegawai TUDM kerana kelincahannya sewaktu membuat formasi aerobatic di banyak pertunjukan udara di dunia yang beliau sertai. Disebalik keayuannya sebagai wanita timur siapa sangka beliau telah mencipta namanya tersendiri apabila dunia mengiktiraf beliau sebagai satu-satunya juruterbang wanita pertama Asia yang pernah dan masih mengemudi jet pejuang MIG-29.

Patricia Yapp Syau Yin, begitulah nama seorang anak Sabah yang dilahir dan dibesarkan di Sandakan, Sabah. Dunia aero angkasa sudah tentu begitu asing bagi anak Sabah ini kerana di tanah kelahirannya langsung tidak pernah melihat mahupun mendengar bunyi deruan enjin pesawat pejuang memecah angkasa suatu waktu dahulu. Dan idea untuk menjadi seorang juruterbang hanya timbul kerana terpengaruh dengan karier abang sulungnya yang menjadi juruterbang pada masa itu.

Bukanlah satu yang mudah untuk Mejar Patricia mengejar cita-citanya pada awal pembabitannya sebagai anggota Tentera Udara Diraja Malaysia. Ini kerana sejak dari awal-awal lagi sudah dihalang oleh ayahnya iaitu Yapp Chew Poh, yang masih berfikiran konservatif iaitu dunia ketenteraan bukanlah sama sekali untuk golongan berjantina perempuan lebih-lebih lagi bila berkata mengenai juruterbang wanita.

Minat beliau hampir hanya tinggal satu impian apabila ayahnya menghantar beliau untuk melanjutkan pelajaran di bidang undang-undang di sebuah universiti di Kuala Lumpur pada tahun 1997. Walaupun begitu desakan jiwa Patricia yang yakin bahawa karier juruterbang itu sememangnya rezeki beliau maka secara bersembunyi beliau memohon untuk kemasukan sebagai kadet TUDM pada semester kedua kuliah undang-undangnya.

Setelah melalui proses yang panjang ternyata naluri Patricia langsung tidak salah kerana beliau terpilih untuk pemilihan kedua bagi menjadi kadet TUDM pada masa itu. Dek kerana tidak mahu lagi bermain sembunyi-sembunyi dan restu keluarga itu perlu pada setiap hal yang dilakukannya maka “rahsia besar’ beliau akhirnya dijelaskan kepada keluarganya. Ternyata kesungguhan dan keikhlasan Patricia berjaya membuka pintu hati ayahnya untuk memberikan keizinan bagi terus memilih kerjaya di bidang ketenteraan pada masa itu.

Tidak mahu menoleh ke belakang lagi, Patricia terus maju di dalam kerjaya barunya sebagai seorang anggota tentera. Sekitar tahun 2000, berkat kesungguhan dan semangat yang kental akhirnya beliau berjaya menggulung Diploma in Aeronautical Engineering dari Universiti Teknologi Malaysia. Kemudian setelah tamat latihan penerbangan pada tahun 2002, beliau adalah antara yang terpilih untuk menjadi juruterbang pesawat pejuang bagi TUDM.

Di dalam dunia juruterbang TUDM, Patricia bukanlah hanya mengemudi pesawat yang biasa-biasa sebaliknya pengalaman beliau begitu mengkagumkan malah boleh sebaris dengan juruterbang lelaki itu sendiri. Aermacchi MB-339 dan MIG-29N Fulcrum adalah jenis pesawat pejuang yang sudah menjadi hal biasa untuk beliau kemudikan. Dek kerana pengalaman yang meluas itulah juga, sekitar tahun 2014 Patricia diiktiraf sebagai “Flight Instructor” untuk Tentera Udara Diraja Malaysia.

Hampir 13 tahun mengulam kasih dengan seorang juruterbang TUDM iaitu Kapten S. Thayala Kumar Ravi Varman akhirnya ikatan perkahwinan mereka berdua disahkan pada tahun 2010. Keunikan perkahwinannya juga turut menjadi tarikan kerana majlis perkahwinan diadakan dengan menggabungkan tradisi perkahwinan ala Hindu dan Kristian yang bermula di Kuil Sri Raja Rajeswary di Ampang dan seterusnya di Gereja Our Lady Of Guadalupe di Puchong. Perkahwinan campur ini menyerlahkan lagi toleransi kaum di Malaysia apabila kedua-dua keluarga bersatu padu memeriahkan suasana disamping kehadiran tetamu-tetamu kehormat di dalam dunia angkatan tentera Malaysia.

Memilih kerjaya yang sememangnya diketahui didominasi oleh golongan lelaki tidak pernah mencacatkan jiwa dan nalurinya sebagai wanita. Menurut cerita dikatakan wanita berhati waja bernama Mejar Patricia ini amat gemar membuat eksplorasi resipi masakan baru di waktu santainya. Malah tugas mendidik anak-anaknya juga tidak pernah bersandarkan kepada oranglain untuk membantu sebaliknya diusahakan sendiri oleh beliau dan suaminya.

Begitulah ceritanya seorang anak Sabah yang begitu membanggakan kita semua. Ianya seumpama bidalan lama jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Selagi ada minat dan ditambah dengan usaha serta jiwa yang waja tiada apa yang boleh menghalang bahawa satu impian yang mustahil itu berjaya menjadi satu kenyataan.


Rujukan: 1. The Star Online, 7 September 2014 – When The Sky’s Not The Limit by Christina Chin 2. Indian-Origin Pilot Marries Chinese Colleague http://www.sify.com/…/indian-origin-pilot-marries-chinese-c… 3. Think Big, Fly High – Captain Patricia Yapp Shau Yin, TUDM http://www.mia.org.my/at/at/200811/05.pdf

bottom of page