PANGKALAN BATU DAN “0” MILE
PANGKALAN BATU DAN “0” MILE
SUNGAI Sarawak sudah sebati di dalam penghidupan penduduk di Kuching iaitu ibukota bagi Sarawak Bumi Kenyalang. Dari dahulu sehingga sekarang sungai ini berbakti memberi khidmat kepada penduduk setempat. Sejajar dengan waktu juga Sungai Sarawak dan pemandangan sekitarnya turut berubah mengikut arus pembangunan Kuching yang semakin berkembang.
Memudiki Sungai Sarawak sudah tentu kita akan menyaksikan banyak perkampungan-perkampungan masyarakat Melayu di Kuching atau turut digelar Kampung Seberang. Kampung-kampung di seberang Sungai Sarawak ini pula cukup unik dengan nama-namanya seperti Kampung Lintang, Kampung Sungei Bedil, Kampung Astana, Kampung Boyan, Kampung Surabaya, Kampung Semarang, Kampung Panglima Seman serta banyak lagi.
Menguak pintu sejarah perkampungan yang namanya seakan-akan wilayah di Republik Indonesia sekarang sebenarnya mempunyai pertalian dengan kedatangan masyarakat Boyan, Kayong dan sebagainya ke Sarawak iaitu sewaktu pemerintahan Brooke lebih 100 tahun di Sarawak. Walaupun hakikatnya perkampungan-perkampungan seberang ini sudah dihuni lebih lama tetapi apabila masyarakat dari luar Sarawak pada masa itu menyebabkan perkampungan ini dijadikan tempat kediaman mereka untuk lebih mudah mencari rezeki iaitu berdekatan dengan Kuching itu sendiri.
Bila berbicara mengenai perkampungan seberang ini juga tidak boleh tidak kita harus membicarakan mengenai pangkalan atau jeti yang bertaburan di perkampungan-perkampungan tersebut seperti pangkalan Che Omar, pangkalan abok serta banyak lagi. Mungkin ada sesetengah jeti ini yang masih lagi digunakan sehingga sekarang dan ada juga sudah lenyap dimamah waktu seperti Pangkalan Batu atau Pangkalan Sapi iaitu yang terletak di Astana Sarawak.
Batu 3, Batu 4, Batu 5 malah sehingga ke Batu 16 itu sudah biasa bagi penduduk Kuching di dalam membicarakan lokasi-lokasi kerana itulah yang sudah tertera di dalam peta Kuching sejak diwaktu Brooke memerintah lagi. Ironinya walau sudah ada nama jalan-jalan yang diberikan namun penduduk Kuching tetap masih menggelar kawasan ini dengan nama batu di mengikut urutan nombor kerana sudah terbiasa contohnya Jalan Keretapi walau telah ditukar ke Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce akan disebut sebagai Batu 3 bagi penduduk Kuching.
Jadi sekiranya ada nama “batu” mengikut urutan nombor sudah tentu ada “Batu 0” di Kuching. Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa secara sejarahnya apa yang digelar “Batu 0” di Kuching itu suatu waktu dahulu adalah sebuah pangkalan atau jeti yang dinamakan Pangkalan Batu atau Pangkalan Sapi. Ianya terletak di kawasan antara Astana Sarawak dan Kampung Astana Lama.
Suatu ketika dahulu jeti ini merupakan nadi penting untuk penjawat-penjawat awam Sarawak Kingdom bersama Tuan Rajah menyeberangi Sungai Sarawak untuk ke pusat pentadbiran Sarawak di Bandar Kuching di sebelah seberangnya. Malah sehingga Sarawak menjadi jajahan Koloni Mahkota Sarawak British ianya turut memainkan fungsi yang sama. Dek kerana itulah ia dinamakan Batu “0” atau Mile “0” oleh Tuan Rajah dan penjawat British kerana mana-mana Rajah mahupun Gabenor British akan menggunakan jeti ini sebagai “landing point” suatu ketika dahulu.
Sekarang Pangkalan Sapi atau Pangkalan Batu itu sudah tiada lagi atas sebab-sebab pembangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak dan kawasan sekitarnya. Walau ianya sudah lenyap di mata tetapi akan terus kekal di kotak memori penduduk Kuching yang membesar dan menggunakan perkhidmatan perahu tambang dari Pangkalan Sapi untuk membeli barang keperluan mahupun ke sekolah-sekolah di seberang suatu ketika dahulu.
Rujukan:
1. Short History: Dari Pangkalan Batu Ke General Post Office http://themaidensgiedd.blogspot.my/…/short-history-dari-pan… 2. Malay Kampung/Kampung Boyan https://sarawaktourism.com/att…/malay-kampung-kampung-boyan/