top of page

BERJARAH RAYA DI SARAWAK


BERJARAH RAYA DI SARAWAK


BERJARAH raya bermaksud kunjung mengunjungi sewaktu hari raya mengikut pengertian bahasa Malaysia standard. Dan pergi berjarah sewaktu perayaan hariraya adalah salah satu tradisi yang besar maknanya di dalam memperkatakan sebuah negeri yang mempunyai pelbagai suku kaum, berbeza agama dan tradisi. Namun disebalik perbezaan inilah adanya kesamaan yang menjadikan Sarawak itu unik sekali.


Sesuai dengan mood raya yang sedang berlangsung sekarang maka di ruangan media sosial sudah tentu sarat dengan pelbagai gambar-gambar kemeriahan sambutan itu diadakan di seluruh Malaysia. Manakan tidak ianya hanya disambut setahun sekali dan ini tidak terkecuali dengan rakyat beragama Islam di Sarawak itu sendiri. Lain padang lain belalang maka begitulah juga tradisi hariraya itu disambut di Sarawak.


Di dalam memperkatakan kemeriahan “berjarah” ini sebenarnya sudahpun bermula sebelum hariraya lagi kerana untuk menyediakan juadah buat santapan tetamu yang akan datang berjarah nanti harus disediakan awal. Contohnya kek-kek lapis Sarawak yang merupakan “signature dish” orang Sarawak. Penyediaan kek lapis Sarawak ini sudah cukup memenatkan ditambah lagi ada keistimewaan tersendiri bagi setiap pembuatannya. Dan perlulah diingatkan bukan hanya sebiji kek lapis yang harus disediakan malah purata sebuah rumah akan menghidangkan lebih kurang lima hingga sepuluh jenis kek Sarawak sebagai hidangan untuk tetamu nanti.


Itu baru kek belum lagi biskut. Jika di bumi Semenanjung Malaysia yang diletakkan di dalam balang-balang itu juga dikategorikan sebagai kuih tetapi di Sarawak kesemua kuih seperti tat nenas, batang buruk, almond London itu dipanggil “biskut”. Penyediaan biskut ini juga harus disediakan dengan lebih awal kerana ianya di dalam kuantiti yang banyak. Di kala inilah, kadang kala para kaum lelaki juga akan sama-sama berhempas pulas di dapur membantu kaum wanita kerana kerja-kerjanya yang teliti dan rumit. Yang paling popular di Sarawak adalah biskut “Makmur” yang sesungguhnya mempunyai nilai yang agak sentimental kerana ianya merupakan biskut tradisi zaman berzaman masyarakat Melayu Sarawak.


Kemudian, usah dilupa untuk membeli manisan seperti gula-gula mahupun makanan ringan seperti sotong merah, kacang goreng dan sebagainya akan mula diisi di dalam balang-balang khas. Kesemua ini juga harus disediakan awal dan inilah kudap-kudapan sambil berborak dengan tetamu nanti. Adakalanya akibat terlalu asyik berbual sehingga satu balang habis tanpa terasa.


Itu cerita kek lapis, biskut dan kudap-kudapan belum lagi masuk hidangan di pagi hariraya. Apalah makna raya jika tiada hidangan tradisi seperti rendang, kari ayam, daging masak hitam dan banyak lagi. Di Sarawak juga mempunyai makanan tradisinya seperti lemang, ketupat dan kelupis yang menuntut kepakaran untuk membuatnya. Hidangan tradisi inilah yang akan menjadi tarikan kepada mereka yang datang berjarah nanti.


Dan perlulah diingatkan hanya di hariraya pertama sahaja hidangan berbentuk seperti ini dihidangkan melainkan jika ada acara khusus yang menyebabkan tuan rumah menyediakannya pada hari raya yang kedua ataupun seterusnya. Dan janganlah menghairankan sekiranya diketika berjarah raya setiap tetamu akan dijamukan dengan minuman berkarbonat kerana itulah antara tradisinya. Minuman berkarbonat ini jika di Sarawak dipanggil Ayek Lemenet dan amat jarang-jarang orang Sarawak menghidangkan minuman kopi panas atau sebagainya ketika di waktu hariraya untuk para tetamu. Dan antara satu yang lumrah, hidangan ayek lemenet itu juga akan diletakkan di dalam gelas-gelas kaca yang berwarna-warni dan juga saiz gelas kecil sehinggalah ke gelas besar.


Tidak lengkap rasanya jika tidak bercerita tentang busana ketika berjarah raya. Di Sarawak sudah menjadi tradisi dari hari pertama sehingga ke hari ke tujuh raya busana tradisi Melayu seperti baju melayu cekak musang dan juga baju kurung akan digunakan sepenuhnya. Malah pemakaian baju tradisi ini cukup lengkap dengan bersabok dua jari (samping) berserta songkok untuk lelaki dan baju kurung dengan tudung mahupun selendang bagi wanitanya.


Agak janggal melihat adanya yang pergi berjarah raya dengan menggunakan baju kasual malah pemakaian busana ini boleh dilihat sehingga ke gedung-gedung membeli belah kerana sudah namanya hariraya. Dan satu lagi yang menarik, bukan sahaja masyarakat Melayu Sarawak yang mengenakan busana tradisi sebaliknya masyarakat dari etnik lain juga turut ada yang mengenakan busana tersebut apabila datang berjarah. Inilah salah satu yang begitu istimewa di Sarawak yang sukar untuk difahami oleh orang luar.


Di dalam melestarikan ukhuwah sesama keluarga pada sambutan hariraya inilah nanti kita akan mengenal saudara-saudara kita kerana biasanya hanya di sambutan hariraya dengan rumah terbuka maka kita akan melihat satu keluarga akan datang bertandang ke rumah saudara yang lain dengan ramainya. Jadi janganlah menghairankan sekiranya yang datang berjarah itu seumpama satu batalion tentera lengkap dari generasi pertama sehingga ke cucu dan cicit.


Dan pada masa inilah kebanyakan generasi tua akan mula memperkenalkan adat-adat tradisi yang tidak dilupakan oleh masyarakat Melayu Sarawak. Contohnya adat menyemburkan minyak wangi di hujung ubun-ubun pasangan pengantin baru yang baru menyambut hariraya bersama buat kali pertama. Ini dilakukan sebagai simbolik agar perkahwinan pasangan ini akan sentiasa segar mewangi dengan limpahan kasih-sayang serta bertambah erat hubungan antara keluarga kedua belah pihak.


Bagi yang baru mempunyai anak pertama dan “orang baru” di dalam keluarga, ada sesetengah keluarga Melayu Sarawak masih lagi menghadiahkan anak pertama tersebut dengan satu pinggan seramik yang diisi beras di dalamnya. Kemudian dimasukkan sirih serta wang saguhati untuk keluarga bayi itu dibawa pulang. Kedua-dua adat tradisi ini masih ada lagi yang dipegang oleh masyarakat Melayu Sarawak.


Untuk duit raya pula sebenarnya bukanlah sesuatu yang menjadi kelaziman sewaktu berjarah raya. Ironinya ia tidak langsung dipraktikkan suatu waktu dahulu Cuma di kebelakangan ini ianya menjadi satu tradisi pula. Jadi kanak-kanak di Sarawak kebiasaannya tidak dibiasakan dengan menerima duit raya sewaktu berjarah raya. Cuma mungkin ada sesetengah tuan rumah sahaja yang memberi duit raya secara pukul rata sebaliknya ada yang lebih memilih untuk memberi duit raya kepada anak-anak kecil di kalangan keluarga terdekat dan anak-anak sahabat handai yang rapat sahaja.


Kemeriahan “berjarah” raya ini hanyalah sepintas lalu sahaja dan sudah tentu ada banyak lagi yang tidak dicatatkan kerana ianya berdasarkan pengalaman berhariraya dengan keluarga di Sarawak. Yang pasti berjarah raya di Sarawak tiada batasnya daripada jam 9 pagi sehingga ke 12 malam tetap pintu rumah sentiasa terbuka menerima tetamu dan ianya berlangsung dari hari pertama sehingga ke hari ketujuh raya dengan penuh meriah.


Selamat Hariraya Aidilfitri semua dan Maaf Zahir Batin.


bottom of page