top of page

KHAIRUNISA BINTI ABDULLAH


KHAIRUNISA BINTI ABDULLAH @ DAYANG MUDA GLADYS MILTON BROOKE


KHAIRUNISA mungkin satu nama yang agak asing bagi rakyat Sarawak lebih-lebih lagi apabila berbicara mengenai legasi keluarga Brooke yang pernah memerintah Sarawak lebih 100 tahun lamanya. Namun tanpa kita mengetahui bahawa ada seorang individu di kalangan keluarga Brooke yang telah memeluk Islam sehingga akhir hayatnya yang dikenali dengan nama Dayang Muda Gladys Milton Brooke.


Dilahirkan pada 8hb Januari 1884 di Reading, Berkshire, England dengan nama Gladys Milton Palmer merupakan anak perempuan tunggal kepada Sir Walter Palmer and Lady Jean Palmer. Sebagai anak perempuan tunggal kepada keluarga aristocrat Inggeris yang mana beliau juga merupakan pewaris tunggal kepada empayar perniagaan Huntley & Palmers iaitu pengeluar biskut yang terkemuka di dunia. Sudah tentu keberadaan Dayang Muda Gladys ini telah membenarkan satu biskut atau roti yang terlalu dekat di hati bangsa Sarawak dari dulu sehingga sekarang iaitu Biskut Osborne ataupun Roti Keben Masin (Di dalam dialek bahasa Melayu Sarawak) atau Biskut Gems hanya boleh didapati di bumi Sarawak sejak dahulu sehingga sekarang. Inilah antara produk roti yang dikeluarkan oleh Huntley & Palmers Industries.


Rajah Muda Bertram iaitu Rajah Muda Sarawak Kingdom ketika pemerintahan Rajah Charles Vyner Brooke, Rajah Ketiga Sarawak Kingdom yang pulang bercuti ke England telah tertarik kepada wanita aristocrat Inggeris ini dan akhirnya pada 28hb Jun 1904, satu majlis perkahwinan telah diadakan England dengan penuh warna warni dan meriah. Setelah mengahwini Rajah Muda Bertram itulah pada awal tahun 1904, Gladys telah menjejak kaki buat kali pertama ke bumi Sarawak Kingdom. Pada tahun itu juga beliau dikurniakan dengan gelaran “Dayang Muda” oleh Rajah CV Brooke iaitu salah satu pangkat yang digunakan di dalam sistem pemerintahan Brooke di Sarawak Kingdom pada suatu waktu dahulu.


Seperti wanita-wanita pertama Brooke yang lain, Dayang Muda Gladys juga terdedah kepada budaya dan warisan tradisi masyarakat Sarawak yang berbilang kaum dan dikatakan Dayang Muda Gladys ini tidak seperti wanita pertama Lady Sylvia yang lebih kebaratan serta berperangai gila-gila. Sebaliknya Dayang Muda Gladys dikatakan antara anak menantu kepada Lady Margaret Brooke yang sering mengikuti ibu mentuanya menghadiri keramaian serta bercampur gaul dengan masyarakat tempatan Sarawak. Jadi tidaklah menghairankan sekiranya kita melihat kepada teaser yang dilampirkan di dalam artikel ini yang mana Dayang Muda Gladys cantik mengenakan pakaian tradisional masyarakat Melayu Sarawak yang bermula daripada tudung selayah sehinggalah kepada sarung batik Sarawak.


Dikatakan perkahwinan Dayang Muda Gladys dan Rajah Muda Bertram juga bahagia sepanjang mereka berada di Sarawak Kingdom dan dikurniakan dengan empat orang cahayamata yang dinamakan:


1. Jean Margaret Palmer Brooke 2. Elizabeth Brooke 3. Anne Elaine Primula Brooke 4. Anthony Walter Dayrell Brooke (Rajah Muda yang menggantikan ayahnya Rajah Muda Bertram)


Menurut hirarki pemerintahan Brooke di Sarawak Kingdom, setiap legasi “Rajah” hanya boleh diwarisi oleh anak lelaki dan kerana Rajah CV Brooke tidak dikurniakan anak lelaki maka Rajah Muda Bertram dilantik menjadi “Rajah Muda” pada masa itu. Namun akibat daripada kesihatan beliau maka jawatan “Rajah Muda” telah diberikan kepada putera tunggalnya iaitu Rajah Muda Anthony Walter Dayrell Brooke.


Kemudian, Bertram Brooke telah membawa isterinya iaitu Dayang Gladys telah untuk pulang ke Surrey, London. Dayang Muda Gladys menceburi bidang perfileman di England sehingga beliau mampu membuka sebuah syarikat perfileman yang dinamakan Big Four Production bersama dengan tiga lagi rakan kongsinya yang lain. Filem arahan beliau yang mana menyaksikan beliau sendiri menjadi pelakonnya diterbitkan pada tahun 1922 berjudul “Potter’s Clay”.


Setelah usahasama Big Four Production terlerai akibat daripada salah faham kewangan akhirnya Dayang Muda Gladys telah membawa diri serta cuba mencari halatuju penghidupannya. Beliau yang dilahirkan sebagai penganut agama Kristian Protestant telah beberapa kali menukar agamanya dan akhirnya pada tahun 1932 telah memeluk agama Islam di sebuah masjid tersohor di kota Paris, Perancis. Sesudah memeluk Islam, beliau menggunakan nama Khairunisa binti Abdullah.


Wanita di kalangan keluarga Brooke ini bukanlah asing di dalam sejarah Sarawak terutama sekali ketika perjuangan Anti-Cessionist Sarawak kerana beliau dikatakan turut sama menyokong penuh kemaraan rakyat Sarawak suatu ketika dahulu untuk tidak membenarkan Sarawak menjadi jajahan Koloni Britisih. Menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tanggal 12hb Jun 1952 di Galle Face Court, Colombo dan menurut pihak keluarga Brooke antara wasiat terakhir beliau adalah untuk dikebumikan di Sarawak mengikut upacara Islam. Namun sayangnya sehingga sekarang ianya tidak mampu dilakukan atas beberapa sebab yang tertentu.




Kredit gambar: Jason Anthony Brooke Istagram



Rujukan:


1. Relations And Complications, being the recollections of H.H the Dayang Muda Of Sarawak

2. https://www.facebook.com/photo.php?fbid=1428047617242016&set=a.968192709894178.1073741826.100001103745962&type=3&theater


bottom of page