MONUMEN ANTI-CESSION SARAWAK 1948
MONUMEN ANTI-CESSION SARAWAK 1948
“SERAHAN Sarawak Haram. Ummat Sarawak Tetap Membantah Kerajaan British Menghapuskan Hak Kebangsaan Dan Kemerdekaan Sarawak Hingga Berjaya” - Monumen Anti-Cession Sarawak 1948
Begitulah yang tertera di dalam tulisan jawi berbahasa Melayu pada satu tiang atau monumen anti-cession Sarawak. Satu monumen yang pasti ramai antara kita rakyat Malaysia amnya mahupun rakyat Sarawak khususnya langsung tidak mengetahui kewujudannya. Satu monumen bersejarah kerana ianya menjadi saksi bisu bagaimana 338 orang anak Sarawak yang berhati waja dan cekal membantah sekeras-kerasnya tindakan pentadbiran Koloni Mahkota Sarawak British yang mengeluarkan “Circular No. 9”. Pekeliling ini dikeluarkan bagi menyekat penglibatan mana-mana penjawat awam Sarawak untuk menyertai api patriotisme anti-penyerahan yang kuat berkumandang di bumi Sarawak masa itu.
Menyelusuri sejarahnya monumen anti-cession ini, ianya didirikan pada tanggal 1hb Julai 1948 iaitu lebih kurang 69 tahun yang lalu di satu kawasan rumah yang terletak di Kampung No. 6, Kuching, Sarawak. Didirikan dengan cara tradisional iaitu seperti mendirikan tiang rumah masyarakat Melayu Sarawak menjadikan ianya begitu ikonik sebagai antara bukti bersejarah perjuangan anak Sarawak memperjuangkan kemerdekaan untuk Sarawak.
Dan apabila kita berbicara mengenai maksud tulisannya sudah tentu kita begitu memahami bahawa 69 tahun bukanlah sesenang itu rajah terakhir Sarawak iaitu Rajah Charles Vyner Brooke yang dikatakan sudah muak memerintah menyerahkan Sarawak yang merdeka sebagai salah satu jajahan Koloni British. Walaupun tidak disahkan kebenarannya dikatakan rajah CV Brooke menerima pulangan daripada penyerahan itu sebanyak 1,000,000 pound daripada British. Namun sehingga sekarang ia kekal sebagai hanya satu khabar angin sahaja.
Apa yang menyebabkan rakyat Sarawak bangun menentang pada masa itu adalah kerana Rajah CV Brooke sebenarnya telah memungkiri janji seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Sarawak 1840. Rakyat Sarawak sentiasa berpegang teguh kepada janji iaitu Sarawak akan dimerdekakan dengan anak watan Sarawak akan mengemudi halatuju sebuah negara bergelar Sarawak jika Brooke sudah tidak memerintah lagi. Namun tindakan Rajah CV Brooke yang tamak haloba dengan membelakangi rakyat Sarawak dan seterusnya turut memecat Rajah Muda Anthony Brooke sebagai pewaris takhta Sarawak ditentang hebat tindakannya.
Ini kerana menurut apa yang difahami melalui sejarah lebih 100 tahun Sarawak dibawah dinasti keluarga Brooke, Rajah Muda Anthony Brooke adalah individu keluarga Brooke yang berpegang pada janjinya untuk memerdekakan Sarawak. Malah sepanjang beliau menjadi Rajah Muda di ketika Perang Dunia Kedua berlangsung yang mana pusat pemerintahan Sarawak di luar negara, beliaulah walau dipujuk banyak kali oleh perunding-perunding Koloni British tetap tidak mahu menyerahkan Sarawak sebagai jajahan Koloni British.
Lebih memilukan kerana tidak mahu perancangan licik Koloni British yang ingin menjajah Sarawak, Rajah Muda Brooke pula diharamkan untuk kembali ke Sarawak kerana mereka takut dengan bayangan sendiri akan api patriotisme anak Sarawak terus membara di setiap ceruk rantau wilayahnya. Malah Koloni British turut pernah mendakwa iaitu di ketika berlakunya tragedi pembunuhan Sir Stewart Duncan oleh pejuang kemerdekaan Sarawak yang syumul iaitu Allahyarham Rosli Dhoby dan rakan-rakan di Rukun 13 pada tahun 1949, Rajah Muda Anthony Brooke dituduh sebagai “Tok Dalang”nya. Namun sehingga sekarang tiada bukti yang benar-benar berjaya mengaitkan beliau dengan tindakan berani mati tersebut.
Itulah ceritanya di dalam kita cuba memahami tulisan ikonik yang tertera di monumen anti cessionist 1948 tersebut. Kronologi bersejarah mengapa ianya dibuat sedemikian rupa harus difahami dengan terus mengimbau rentetan peristiwa-peristiwa penting di dalam gerakan anti-cession Sarawak dari tahun 1946 sehinggalah 1950.
Yang pasti, monumen anti cessionist 1948 inilah juga menjadi saksi bagaimana di setiap pelusuk jalan utama di Sarawak menjadi lokasi rakyat Sarawak tidak mengira jantina, bangsa dan agama turun berdemo. Ketidakpuasan hati rakyat dilestarikan pada sepanduk dan kain-kain rentang yang dijulang tinggi-tinggi di seluruh bandar utama Sarawak pada ketika itu. Kuching dan Sibu adalah antara bandar-bandar utama Sarawak yang sinonim dengan ceritera rakyatnya turun berdemo. Pemuda pemudi anak watan Sarawak menyahut seruan malah tidak terkecuali kaum bapak. Kaum Ibu pula meninggalkan tugas harian rumahtangga mereka. Anak kecil dibawa bersama bagi melestarikan kesepaduan rakyat Sarawak menentang Sarawak dijadikan jajahan Koloni British.
Selain itu, ianya juga adalah pencetus kepada berkembangnya sekolah-sekolah rakyat di seluruh Sarawak kerana ramai yang meletak jawatan adalah daripada warga pendidik sekolah-sekolah kerajaan. Difahamkan ketika ianya berlangsung sistem pembelajaran di sekolah-sekolah kerajaan hampir lumpuh. Bagi memastikan pewaris Sarawak tidak leka maka disinilah tertubuhnya sekolah-sekolah rakyat yang didirikan dengan beratapkan daun nipah berdinding dan berlantaikan papan kebanyakannya Dananya ihsan daripada orangramai dan pembinaannya adalah hasil daripada setiap keringat yang mengalir serta kering di tubuh anak Sarawak pada ketika itu adalah bukti bahawa biar apa yang berlaku, pendidikan itu harus diteruskan.
Sekolah-sekolah seperti Sekolah Rakyat Merpati Jepang, Sekolah Rakyat Tupong serta banyak lagi adalah antara sekolah-sekolah rakyat yang didirikan di ketika berkumandangnya gerakan anti-cession di Sarawak. Tenaga pengajarnya pula adalah mereka yang sudah meletak jawatan sebagai guru di sekolah kerajaan. Sistem pembelajarannya mengikut apa yang disesuaikan oleh gurunya bagi memupuk semangat cintakan Sarawak pada masa itu. Dan yang pasti kesemuanya adalah percuma malah warga pendidik langsung tiada dibayar imbalan atas kerja-kerjanya.
Begitulah signifikasinya apabila kita menyelusuri sejarah satu monumen yang masih lagi berdiri utuh dan dijaga dengan penuh hormat oleh pemilik sebuah rumah tradisional Melayu Sarawak yang sekarang sudah berusia hampir 130 tahun. 69 tahun menjadi saksi atas perjuangan anak Sarawak yang menuntut kemerdekaan dan hak nasional Sarawak dikembalikan dari Kerajaan Mahkota Sarawak British.
Lest We Forget!
Nota: Terima kasih Ain Shaqirah Abdul Aziz atas keizinan menggunakan gambar sebenar Monumen Anti Cession.
Rujukan:
1. Asas-asas Gerakan Anti Penyerahan Sarawak - Suffian bin Mansur (2000)
2. Rosli Dhoby; Merdeka Dengan Darah oleh Jeniri Amir
3. History of Sekolah Rakyat by Haji Ahmad Zaidel Tahir
https://www.scribd.com/document/28698173/SEKOLAH-RAKYAT-SARAWAK