RUMAH SIMANGGANG @ SRI AMAN
RUMAH SIMANGGANG @ SRI AMAN
SUDAH menjadi lumrah untuk setiap pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak akan didirikan beberapa rumah rehat kerajaan samada di Bahagian mahupun Daerahnya. Satu amalan yang telah dipraktikkan sejak Brooke memerintah lagi agar rumah-rumah rehat milik kerajaan selain menjadi tempat untuk penjawat awam yang datang bermalam apabila berada di luar kawasan bertugas.
Untuk di Bahagian Sri Aman atau dahulunya dikenali dengan nama Simanggang juga banyak didirikan rumah-rumah rehat kerajaan. Dan salah satunya adalah yang dikenali sebagai Rumah Simanggang pada awal ianya dibina. Setakat ini masih kurang pautan bilakah ianya dibina melainkan rumah rehat kerajaan ini mempunyai signifikasi yang penting di dalam membicarakan keamanan yang diperolehi oleh Sarawak sewaktu ancaman komunis berleluasa suatu ketika dahulu.
Menguak pintu sejarahnya sekitar tahun 1962 hingga 1965 menyaksikan banyak hal di dalam Konfrantasi Indonesia/Malaysia yang berlangsung dari bermulanya rancangan penubuhan Malaysia oleh 4 negara pembentuk iaitu Malaya, Sarawak, North Borneo (Sabah) dan Singapura, sememangnya menjadi “duri dalam daging” bagi negara jiran pada masa itu iaitu Indonesia dibawah kepimpinan Presiden Sukarno. Natijahnya kita menyaksikan banyak perang-perang yang tidak perlu berlaku di perbatasan Sarawak/Indonesia pada masa itu.
Namun apabila pemerintahan Indonesia bertukar tangan dengan menampilkan Presiden Suharto, api ketidakpuasan ini agak malap berbanding dengan pendirian mantan presiden sebelumnya iaitu Presiden Sukarno. Natijahnya pada tanggal 11 Ogos 1966 akhirnya satu perjanjian keamanan ditandatangani antara Indonesia dan Malaysia, sekaligus ianya menghentikan segalanya mengenai peristiwa Ganyang Malaysia suatu ketika dahulu.
Sebaliknya perjanjian keamanan yang ditandatangani pada Ogos 1966 ini sebenarnya telah menjadi “turning point” untuk satu lagi pasukan dibawah pengaruh komunis iaitu North Kalimantan Communist Party (NKCP/PARAKU) dibawah kepimpinan Bong Kee Chok di Sarawak berleluasa. Ganyang Malaysia mungkin sudah dihentikan sepenuhnya tetapi dogma untuk mendirikan sebuah negara berhaluan komunis tetap diteruskan oleh mereka.
Maka dari sinilah munculnya ancaman-ancaman komunis di Sarawak dari tahun 1966 sehinggalah pada tahun 1970an yang menyaksikan Sarawak masih lagi perlu berhadapan dengan segala taktik komunis biarpun sudah menubuhkan negara Malaysia. Tempoh darurat komunis versi kedua masih lagi ada di Sarawak pada masa itu sehingga membenarkan ada beberapa langkah telah diambil oleh Kerajaan Negeri Sarawak dan Malaysia untuk membendung penularannya dari terus berlaku. Hakikatnya sehingga tahun 1970an, Sarawak belum aman sepenuhnya.
Antara langkah-langkah yang diambil oleh Sarawak bagi mengekang penularan komunisme pada masa itu adalah memerangi habis-habisan Bong Kee Chok dan konco-konconya di wilayah Sarawak. Dengan menggunakan operasi ketenteraan seperti Operasi Jala Raja di kawasan Nonok atau Asajaya sekarang (1970), Operasi Ngayau di Bahagian Ketiga (1971) dan penubuhan satu zon pemampan iaitu yang dikenali sebagai Rajang Area Security Command atau singkatannya RASCOM di Bahagian Ketiga (1972) telah menyebabkan Bong Kee Chok dan konconya hilang punca untuk merealisasikan impian mereka.
Kejayaan demi kejayaan pihak keselamatan memerangi Bong telah menyebabkan mereka hilang punca sehingga ada satu ketika Bong bersama orang-orang kanannya terpaksa bersembunyi di perbatasan. Sokongan daripada rakyat Sarawak juga semakin berkurangan sehinggalah akhirnya Bong nekad untuk menghentikan segala cita-cita fahaman komunismenya pada masa itu.
Pada tanggal 20 Oktober 1973 menyaksikan Bong Kee Chok menghantar surat menyerah diri kepada mantan bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak pada ketika iaitu Tan Sri Hamdan Sirat. Sejurus menerima surat tersebut Ketua Menteri Sarawak telah dimaklumkan dan atas maha pentingnya hal ini diselesaikan demi keamanan Sarawak, Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman bin Yaakub telah bergegas pulang dengan meninggalkan mesyuaratnya di peringkat Persekutuan pada masa itu.
Surat yang ditulis oleh Bong Kee Chok di dalam bahasa Cina itu telah diterjemahkan oleh seorang penterjemah Cina yang berasal dari Hong Kong serta bertugas di cawangan khas PDRM. Segala isi surat diamati oleh Kerajaan Negeri Sarawak dan pasukan PDRM bagi mencari jalan yang terbaik. Selepas berlangsungnya perundingan antara Tun dan Bong Kee Chok di rumah rehat kerajaan yang mengambilmasa satu hari satu malam maka satu deklarasi telah dicapai.
Tanggal 21 Oktober 1973 bertempat di Rumah Simanggang pada masa itu, satu perjanjian keamanan telah berjaya ditandatangani antara komunis melalui ketuanya Bong Kee Chok dan Sarawak diwakili oleh Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman bin Yaakub. Perjanjian ini dikenali dengan nama Deklarasi Sri Aman yang menjadi titik noktah kepada ancaman komunis di Sarawak secara total. Rumah Simanggang pada masa itu menjadi saksi bisu kepada peristiwa penting di dalam kronologi sejarah Sarawak suatu waktu dahulu.
Bagi memperingati peristiwa tersebut juga, pada tanggal 19 Mac 1974 satu rumah rehat kerajaan yang dikenali sebagai Rumah Simanggang telah dinamakan semula sebagai Rumah Sri Aman. Manakala bahagian dan daerah Simanggang turut dinamakan semula sebagai Sri Aman. Penukaran nama ini dikuatkuasakan melalui SWK.L.N.42/80 of Part 11 of Sarawak Government Gazette di bawah tajuk Simanggang (Change of Name) Order 1980.
Lest We Forget!
Rujukan:
1. Borneo Post, 11 Mac 2012 by Phang Chung Sin - Insurgency Ended With Sri Aman Accord
http://www.theborneopost.com/2012/03/11/insurgency-ended-with-sri-aman-accord/
2. Borneo Post, 11 Januari 2015 by Saibi Gf - Tun Abdul Rahman Yaakub, Pemimpin Istimewa Berjiwa Kental
http://www.theborneopost.com/2015/01/11/tun-abdul-rahman-yakub-pemimpin-istimewa-berjiwa-kental/
3. Portal Rasmi Pentadbiran Bahagian Sri Aman - Sejarah
4. Kosmo - Komunis Serah Diri Selepas Rundingan
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?