“URBAN LEGEND” SIMBOLIK WARNA BENDERA
“URBAN LEGEND” SIMBOLIK WARNA BENDERA PERTAMA SARAWAK
SOAL bendera bukanlah sesuatu yang harus dianggap mudah kerana ianya adalah satu daripada simbol kedaulatan sesebuah negara mahupun negeri itu sendiri. Dan sudah tentu setiap bendera yang dijelmakan untuk menjadi kemegahan setiap rakyatnya mempunyai ceriteranya tersendiri.
Bila kita berbicara soal bendera Sarawak khususnya sudah tentu kita melihat bagaimana bendera Sarawak dari dahulu sehingga sekarang mempunyai warna yang sama iaitu merah, hitam dan kuning . Cuma bendera Sarawak “Trisakti” yang digunakan dari tahun 1973 hingga 1988 sahaja yang mempunyai perbezaan warnanya iaitu merah, biru dan putih. Sejarahnya bendera Trisakti telah ditukar selepas tahun 1988 adalah kerana ianya hampir serupa dengan bendera Republic Czeck yang sudah digunapakai sejak tanggal 30hb Mac 1920.
Menurut rekod sejarah, kewujudan bendera rasmi bagi Sarawak hanya berlaku diketika pemerintahan rajah kedua Sarawak Kingdom iaitu Sir Charles Brooke. Ini kerana sebelum itu, rajah pertama iaitu Sir James Brooke lebih gemar menggunapakai bendera peribadi di dalam setiap acaranya. Diperkira idea untuk mengwujudkan bendera rasmi Sarawak Kingdom adalah sekitar tahun 1870an iaitu selepas rajah kedua memerintah.
Setakat ini belum ada dokumen yang sahih di dalam menceritakan mengapa dan kenapa pemilihan warna merah, hitam dan kuning itu ada pada bendera Sarawak ketika kali pertama ianya dikibarkan di Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu. Jadi kebanyakan pautannya lebih menjurus kepada cerita oral atau lisan yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain di Sarawak.
Al-sahibul hikayat dikatakan sekitar tahun 1870an, Sir Charles Brooke ingin mencipta kelainan pada pemerintahannya di Sarawak. Iaitu pada fikirannya oleh kerana Sarawak sudah dikenali ramai di mata dunia, maka adalah penting untuk Sarawak Kingdom mengibarkan bendera yang beridentiti Sarawak itu sendiri sebagai lambang penghormatan rakyatnya. Niatnya telah disambut baik oleh ramai penjawat awam Sarawak serta pemimpin-pemimpin tempatan Sarawak pada masa itu.
Dalam pada itu, disebalik niat yang murni ini Sir Charles Brooke agak tercari-cari apakah identiti warna yang benar-benar melambangkan jatidiri rakyat Sarawak pada ketika itu. Oleh kerana segala hal mengenai bendera itu adalah kuasa mutlak kepada Rajah Sarawak maka Sir Charles Brooke harus bertindak bijak agar pemilihan warna itu akan diterima oleh semua lapisan masyarakat Sarawak pada masa itu.
Jadi dek kerana itulah melalui pemerhatian beliau iaitu ketika pemasyhuran beliau sebagai Rajah Kedua sehinggalah dikatakan selepas itu beliau saban hari menerima pelbagai saguhati atau hadiah daripada rakyat Sarawak. Di dalam banyak-banyak hadiah ini sesuatu yang menarik minat beliau adalah cara pembungkusan saguhati kepadanya.
Hendak dijadikan cerita dikatakan bahawa setiap satu cara pembungkusan hadiah itu sebenarnya melambangkan kaum yang memberinya. Sehingga ada satu ketika diceritakan bahawa Sir Charles Brooke tanpa diberikan penerangan siapakah yang memberi hadiah sudah boleh mengetahui ianya datang dari kaum mana di Sarawak.
Warna hitam kebiasaannya adalah cara pembungkusan daripada pemimpin masyarakat yang mewakili kaum Dayak di Sarawak. Ini kerana dikatakan warna hitam itu adalah warna kehormat bagi mereka dan ini begitu signifikasi sekiranya kita melihat pemakaian busana tradisional masyarakat Dayak di Sarawak serta banyak lagi perkaitannya di dalam adat istiadat dan budaya mereka.
Untuk warna merah pula, umum sudah mengetahui betapa warna merah itu begitu bermakna untuk masyarakat Cina seantero dunia. Dan begitu juga di Sarawak apabila pemimpin daripada komuniti masyarakat Cina turut menggunakan cara pembungkusan dengan kain merah. Ianya sebagai satu penghormatan kepada Rajah Sir Charles Brooke untuk sentiasa dilimpahi kemakmuran dan tuah.
Bagi warna kuning diceritakan ianya adalah cara pembungkusan daripada pemimpin daripada komuniti Melayu Sarawak. Warna kuning mengikut tradisi masyarakat Melayu adalah warna kehormat untuk pemimpin tertinggi seperti raja ataupun Sultan. Dan pada masa itu pertabalan Rajah Charles Brooke juga menandakan penghormatan mereka kepada rajah sebagai pemimpin Sarawak pada masa itu.
Kerana merasakan bahawa warna-warna ini begitu istimewa iaitu hadiah daripada rakyat Sarawak inilah dikatakan Rajah Charles Brooke mahu ianya diterjemahkan menjadi bendera Sarawak suatu waktu dahulu. Warna-warna ini sebagai satu simbol pemuafakatan dan perpaduan rakyat Sarawak yang berbilang kaum iaitu kaum Dayak, Melayu dan Cina. Ketiga-tiga kaum ini merupakan tulang belakang kepada pemerintah Sarawak daripada dahulu sehingga sekarang.
Begitulah ceritanya “urban legend” apabila kita cuba mengungkai makna pemilihan warna-warna pada bendera Sarawak. Dari tahun 1988, bendera Sarawak yang ada sekarang juga turut menampilkan warna yang sama cuma mungkin maknanya sudah diberi nafas semula bagi memberi identiti Sarawak di dalamnya.
Yang pasti walau apa jua ceritera bendera Sarawak, bendera itu adalah lambang kedaulatan kita semua. Usah sama sekali kita perlekehkan atau menghinanya. Hormatilah ia dan jangan biarkan ia koyak rabak, kusam tidak berganti apabila berkibar megah dan terdedah oleh panas dan mentari. Jaga tertibnya sewaktu ia dikibarkan dan jangan mengambil sikap enteng apabila ia tidak dikibarkan mahupun digantung dengan cara yang betul kerana ia boleh membawa maksud yang berbeza-beza.
Julanglah tinggi-tinggi bendera kita dengan semangat bangga sebagai seorang anak Sarawak di dalam apa jua acara di dunia ini.
Rujukan:
1. Borneo Post, 30 August 2015 by Rintos Mail - The Changing Flags of Sarawak
http://www.theborneopost.com/2015/08/30/the-changing-flags-of-sarawak/
2. Sarawak Flags (1841-2008)
http://sarawakiana.blogspot.my/2008/08/sarawak-flags-1841-2007.html
3. Sejarah Bendera Yang Pernah Berkibar Di Sarawak - Borneo Oracle
Sejarah Bendera Yang Berkibar Di Sarawak - Borneo Oracle