BAGAIMANA BALIKPAPAN MENDAPAT NAMA
BAGAIMANA KOTA BALIKPAPAN MENDAPAT NAMA
NUN di bumi Kalimantan Timur ada satu kota yang menjadi antara pemain industri minyak untuk negara Republik Indonesia. Dan sehingga sekarang dikatakan kos sarahidup di sini adalah yang paling mahal diantara kota-kota besar Republik Indonesia. Balikpapan nama diberi sesungguhnya cukup tidak asing bagi masyarakat di Borneo. Selain perkaitannya dengan sejarah Perang Dunia Kedua iaitu yang mana menyaksikan inilah antara lokasi yang terlebih dahulu menjadi sasaran pendudukan Jepun ianya juga sebenarnya menyimpan 1001 ceritera mengenai namanya.
Setakat ini belum ada dokumentasi yang mengkhusus apabila berbicara mengenai bagaimana timbulnya nama “Balikpapan” itu digunakan. Dan di dalam konteks ini banyak perkaitannya lebih menjurus kepada kayu atau papan kerana disinilah kekayaan hutannya yang tidak ternilai berada. Seperti bagaimana kota Pontianak mendapat nama begitulah juga ceriteranya mengenai Balikpapan yang mana ianya masih bersandarkan kepada beberapa tragedi bersejarah atau cerita legenda penduduk setempat suatu waktu dahulu.
Teori 1: Peristiwa Kayu Hanyut Tahun 1739
Peristiwa Kayu Hanyut adalah merujuk di ketika era pemerintahan Sultan Muhammad Idris yang memerintah satu kerajaan kuno yang pernah berdiri megah di Kalimantan Timur suatu waktu dahulu. Sebagai seorang Sultan Kerajaan Kutai, baginda telah menitahkan bahawa setiap warga penduduk di bawah pemerintahannya untuk menyumbangkan bahan binaan bagi membina istana yang baru di Kutai Lama.
Dek kerana papan-papan hasil sumbangan penduduk itu banyak iaitu melebihi daripada 1000 keping maka satu-satunya jalan untuk mengangkutnya adalah dengan meletakkannya diatas rakit dan seterusnya ditarik sehingga ke Kutai Lama dengan melalui sepanjang pantai. Namun setibanya di Kutai Lama ternyata jumlah papan pula berkurangan. Ini menimbulkan kerisauan petugas istana Kerajaan Kutai kerana risau akan kemurkaan Sultan mereka.
Maka bermulalah pencarian 100 keping papan tersebut menyelusuri jalan pantai yang digunakan sebelumnya. Hendak dijadikan cerita, sesuatu yang pelik berlaku apabila dikatakan papan-papan tersebut dijumpai hanyut ke tempat dimana ia mula diletakkan di atas rakit. Peristiwa pelik itu turut menjadi sandaran kepercayaan kepada penduduk setempat bahawa papan-papan tersebut telah “balik” ke tempat asalnya dan tidak mahu menjadi sebahagian daripada bahan binaan untuk istana Kerajaan Kutai di Kutai Lama.
Lama kelamaan nama lokasi itu akhirnya dinamakan “Balikpapan” mengambil bersempena peristiwa kayu hanyut di kawasan tersebut oleh penduduk tempatan.
Teori 2: Pribumi Pasir Balik atau Pasir Kuleng tahun 1527
Adalah dipercayai bahawa kaum asli yang menghuni wilayah Balikpapan dikenali sebagai pribumi Pasir Balik atau Pasir Kuleng. Dikatakan mereka telahpun wujud di wilayah Balikpapan lebih lama daripada pelbagai masyarakat mula berhijrah ke wilayah itu suatu waktu dahulu.
Dinyatakan perkerjaan utama pribumi Pasir Balik adalah menjadikan laut sebagai sumber ekonomi iaitu sebagai nelayan. Dek kerana itulah mereka tinggal di sepanjang pantai dan teluk wilayah Balikpapan sehingga sekarang. Dipercayai suatu waktu dahulu mereka pernah diperintah oleh ketua mereka yang bernama Kayun Kuleng dan Papan Ayun.
Bagi menghormati nama ketua pribumi tersebut berdasarkan kepada dialek penutur pribumi Pasir Balik, maksud perkataan “Kuleng” di dalam bahasa standard adalah “Balik”. Makanya ianya dicantumkan menjadi satu lalu penggunaan nama “Balik” bagi merujuk kepada Kayun Kuleng dan “Papan” untuk Papan Ayun maka menjelmalah nama Balikpapan di dalam menggelar wilayah penempatan mereka.
Teori 3 - Cerita Legenda Puteri Petung Dari Kerajaan Paser
Kerajaan Paser atau Kesultanan Paser adalah salah satu kerajaan kuno yang pernah menjadikan wilayah Balikpapan sebagai tanah jajahannya. Kerajaan Paser ini wujud sekitar tahun 1516 dan ianya diasaskan oleh seorang wanita yang bernama Ratu Puteri Petung.
Di dalam cerita legenda ada menyatakan bahawa Ratu Puteri Petung itu adalah seorang puteri yang diselamatkan oleh seorang nelayan di tepi pantai. Pada ketika itu, Ratu Puteri Petung masih lagi bayi dan diceritakan beliau sengaja dihanyutkan bagi menyelamatkan nyawanya daripada dibunuh oleh lanun-lanun yang merompak keluarganya.
Demi survival Ratu Puteri Petung maka ayahandanya iaitu seorang yang kaya raya telah mengikat bayinya dan diletakkan diatas beberapa keping papan berlapis kemudian dihanyutkan. Hendak dijadikan cerita di ketika di terapung tanpa tujuan itulah papan tempat Ratu Puteri Petung itu terbalik sehinggalah ianya terdampar di tepi pantai.
Seorang nelayan yang musykil melihat ada sesuatu yang bergerak-gerak di dalam air telah datang menyelamatkan bayi tersebut lalu dijagainya sebaik mungkin seumpama anak sendiri. Ternyata kesaktian bayi itu adalah satu petanda bahawa bayi perempuan itu bukannya calang-calang orangnya sehingga mampu menjadi pemerintah sebuah kerajaan yang kuat dahulu.
Dek kerana itulah juga, bagi masyarakat tempatan kawasan dimana Ratu Puteri Petung ini ditemui di dalam keadaan terbalik papannya akhirnya menyebabkan nama kawasan tersebut dinamakan “Balikpapan” sehingga sekarang.
Begitulah ceritanya bagaimana Kota Balikpapan yang kita kenali sekarang mendapat namanya. Sudah tentu tiga teori ini hanyalah antara yang menjadi penghias ceriteranya kerana setiap masyarakat di Balikpapan mempunyai cerita dan sejarah yang pelbagai. Misteri menjelmanya nama Balikpapan sehingga sekarang masih belum ada yang tuntas. Balikpapan tetap megah di Kalimantan Timur dan tetap punya keunikannya tersendiri baik dari namanya mahupun sejarahnya.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.
Rujukan:
1. Asal Usul Dan Misteri Nama Balikpapan
https://balikpapanku.id/sejarah-balikpapan/asal-usul-dan-misteri-nama-balikpapan/
2. Pemerintahan Kota Balikpapan
http://balikpapan.go.id/read/46/sejarah