top of page

PWII ABANG BOLHI BIN ABANG DOLADI


JEJAK PAHLAWAN SARAWAK: PWII ABANG BOLHI BIN ABANG DOLADI

PENGORBANAN anggota perajurit negara jangan pernah dipandang sipi kerana mereka menabur bakti mereka tanpa mengira tempat. Selagi kudrat mereka diperlukan atas nama keamanan sejagat, disitulah halatuju mereka biarpun jauh beribu batu dari kampung halaman yang tercinta.

Abang Bolhi bin Abang Doladi, begitulah namanya seorang anak Sarawak berketurunan Melayu yang merupakan antara anggota perajurit anak Sarawak yang pernah bertugas di Malaya suatu ketika dahulu. Difahamkan di ketika menyertai satu operasi ketenteraan membasmi komunis durjana di Perak, beliau mengalami kecederaan teruk namun seperti perumpamaan lama “alah bisa setegal biasa” setiap peristiwa hitam bukanlah titik noktah untuk tidak lagi berkhidmat sebaliknya beliau tetap meneruskan kerjayanya sebagai seorang tentera sehinggalah tempoh perkhidmatannya tamat sebagai seorang Pegawai Waran II.

Sekitar Jun 1971, Abang Bolhi yang pada ketika itu menganggotai Rejimen 4th Renjer telah dihantar ke Sungai Kinding di Chemor, Perak berdasarkan kepada laporan yang diterima dari Orang Asli di sana yang melihat kelibat 30 ke 60 orang berpakaian seragam hijau di kawasan penempatan mereka. Menjelang tengahari pada tanggal 12 Jun 1971 kesemua unit platun Charlie diketuai oleh Kapten Mohana Chandran telah mula membuat rondaan di seluruh kawasan tersebut.

Setelah memastikan kesemua perimeter kawasan selamat barulah unit platun Charlie mula membina “base camp” mereka di Sungai Kinding. Hasil daripada maklumat awal daripada rondaan sememangnya di lokasi tersebut merupakan antara kawasan perkhemahan gerila komunis sebelumnya. Ini kerana unit rondaan platun Charlie telah menemui ada beberapa helai baju berwarna hijau disembunyikan disebalik batu-batuan di kawasan tersebut.

Dek kerana hari sudah menjelang malam dan gelap, maka Kapten Mohana sebagai ketua platunnya telah mengarahkan kesemua mereka untuk berehat panjang. Ini kerana pada keesokannya kelak sudah tentu operasi mereka akan lebih diperhebatkan lagi. Tenaga yang banyak akan diperlukan kerana bukanlah senang untuk menjejak dan mungkin juga akan ada berbalas tembakan dengan komunis sekiranya mereka bersua kelak.

Menjelang pagi seperti yang dirancangkan iaitu pada tanggal 13 Jun, Kapten Mohana telah membahagikan unit platun Charlie kepada tiga kumpulan dengan setiap kumpulan mempunyai lima anggota didalamnya. Ketiga-tiga kumpulan ini telah diarahkan untuk membuat rondaan pada tiga arah haluan yang berbeza. Abang Bolhi sebagai seorang renjer pada masa itu ditugaskan untuk menyertai kumpulan dibawah pimpinan Kapten Mohana bersama-sama dengan Lans Koperal Rahman, Prebet Bajau dan Prebet Ali Mat.

Pada sebelah tengahari ketika menyelusuri denai-denai hutan di Sungai Kinding inilah iaitu pada satu aliran anak sungai kecil yang mana ketika itu Abang Bolhi sedang cuba mengisi air ke dalam bekas airnya telah menerima satu isyarat daripada ketuanya. Tanpa membuang masa dengan gerak yang senyap, beliau telah menghampiri Kapten Mohana. Bersembunyi di belakang pohon yang besar itulah, kedua-duanya mampu melihat ada kelibat dua orang gerila komunis sedang merapati mereka.

Sejurus selepas itu tanpa mampu membuat sebarang strategi serangan, mereka sebenarnya sudahpun diserang terlebih dahulu oleh kumpulan komunis. Di saat itulah hamburan peluru menerjah kepada kumpulan Abang Bolhi tanpa ada belas ihsan. Dan sudah tentu biar nyawa melayang sekalipun, serangan balas tetap mereka lakukan.

Di dalam keriuhan peluru bertali arus itulah, Abang Bolhi yang fokus menghalakan mesingannya merasakan kesakitan pada bahagian belakang dan tapak tangan kanannya. Apabila melihat kepada kecederaannya barulah diketahui bahawa peluru musuh telah berjaya menembusi bahagian belakang kanannya sementara tapak tangan kanannya juga turut berlubang. Kerana kesakitan yang amat sangat baharulah dia mengambil inisiatif untuk dengan merangkak semampu yang boleh untuk sampai ke bahagian pohon yang lebih besar untuk berlindung.

Dikatakan Abang Bolhi tiada jalan lain selain hanya mampu menembak apa adanya di sebalik pohon selagi kudrat masih ada. Sementara itu, rakan-rakannya yang lain terus-terusan berbalas tembakan dan untung nasib mereka langsung tidak diketahui oleh Abang Bolhi pada masa itu. Akibat kecederaan parah itu juga menyebabkan Abang Bolhi tidak mampu bergerak malah sehingga tiada lagi kedengaran bunyi tembakan kedua belah pihak, beliau masih hanya kaku di situ.

Pada masa itulah beliau yang tidak tahu apa-apa telah menyerahkan seluruh jiwa raganya kepada Allah untuk keselamatan dirinya. Ini kerana sekiranya gerila komunis menemui beliau yang masih bernyawa sudah tentu akan menemui ajalnya. Dikatakan hampir tiga hari beliau berlindung di pohon besar tersebut baharulah berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat dari unit Bravo yang datang memberikan bantuan.

Hanya selepas berada di “base camp” sementara barulah Abang Bolhi diberitahu mengenai keadaan anggota unit platunnya. Kapten Mohana iaitu ketua platunnya telah terkorban sebagai bunga bangsa dalam serangan itu manakala Prebet Bajau pula turut cedera parah. Hanya rakan anggotanya Lans Koperal Rahman dan Prebet Ali Mat yang tidak menerima kecederaan.

Begitulah ceritanya seorang anak Sarawak yang juga penerima Kepujian Perutusan Keberanian (KPK) dari Yang Dipertuan Agung atas keberaniannya di dalam satu operasi yang dinamakan Operasi Iblis, Hulu Kinta, Perak 1971. Pengorbanan dan keberanian anggota perajurit seperti PWII Abang Bolhi bin Abang Doladi dilupa jangan. Jika tidak kerana mereka, sudah tentu kita tidak mampu seaman sekarang.


Lest We Forget!




Rujukan:


1. Borneo Post, 3 November 2013 by Johnson K. Saai - The Unsung Hero Seek A Better Deal

http://www.theborneopost.com/2013/11/03/an-unsung-hero-seeks-a-better-deal/\

2. Ops Iblis: Di Bawah Hujan Peluru - The Patriot

https://www.thepatriots.asia/archives/2725

3. Keberanian Dan Pengorbanan - Army Of Malaysia

http://armyofmalaysia.blogspot.my/2013/05/keberanian-dan-pengorbanan-senarai-anak.html

bottom of page