CERITA LEGENDA TARIAN DATUN JULUD ETNIK KENYAH
CERITA LEGENDA TARIAN DATUN JULUD ETNIK KENYAH
BILA kita berbicara tentang halusnya seni tari masyarakat berbilang kaum di Malaysia amnya dan Sarawak khususnya, tidak dapat tidak kita harus memperjelaskan bagaimana satu seni tari itu bermula. Di Sarawak untuk etnik Kenyah iaitu salah satu pembentuk Kaum Orang Ulu Sarawak juga tidak kurang dengan cerita-ceriti di sebalik tabir terciptanya tarian mereka. Datun Julud merupakan antara seni tari etnik Kenyah yang begitu popular malah boleh dikatakan hampir di setiap acara akan dijadikan tarian wajib untuk dipersembahkan.
Jika digodek ceritera lama bagaimana tarian yang penuh liuk lembut gemalai ianya dipersembahkan ini mempunyai dua versi bagaimana ianya bermula. Dan sudah tentu ianya banyak berkaitrapat dengan asal muasal etnik Kenyah itu sendiri iaitu nun jauh di Apo Kayan. Diceritakan di ketika di Apo Kayan ada seorang raja yang bernama Nyik Selong pernah memerintah. Dan dikatakan beliaulah orangnya yang pertama sekali mencipta seni tari ini atas nikmat kesyukuran.
Bagi mengungkap cerita disebalik tabir seni tari ini pula mempunyai dua versi. Walau tiada dokumentasi yang mengkhusus maka segala bentuk informasi banyak berkisar kepada cerita oral yang diwariskan dari satu generasi ke generasi yang lain di dalam keluarga Kaum Orang Ulu di Borneo.
Versi Satu
Diceritakan di Apo Kayan, Raja Nyik Selong merupakan seorang raja yang amat dihormati. Beliau terkenal dengan kegagahannya bermain senjata sehingga amat sukar untuk ditandingi di dalam mana-mana perang suatu waktu dahulu. Dek kerana itulah beliau begitu dihormati oleh kawan mahupun lawannya.
Namun begitu disebalik cerita gah mengenai beliau, terdapat satu kelemahannya iaitu walaupun mempunyai ramai isteri serta dikurniakan dengan ramai anak-anak namun beliau masih tidak mempunyai pewaris seterusnya iaitu cucu. Jadi ini menyebabkan Raja Nyik Selong merasakan beliau masih tidak begitu hebat seperti orang lain. Dikatakan banyaklah cara dia berusaha bagi mendapatkan seorang cucu buat keluarganya.
Mungkin segala permintaannya akhirnya didengar maka pada suatu hari, Raja Nyik Selong telah mendapat berita yang cukup menggembirakan. Akhirnya salah seorang daripada menantu perempuannya berjaya hamil. Sejak daripada itu, Raja Nyik Selong telah mengarahkan seluruh keluarganya untuk menjaga bagai menatang minyak yang penuh ke atas menantunya yang hamil itu.
Tiba saatnya menunggu kelahiran cucu pertama inilah diceritakan suasana yang mendamaikan di Apo Kayan menjadi sesuatu yang mencemaskan. Hujan turun mencurah-curah dengan tiupan angin kencang sehingga mampu menerbangkan bumbung rumah panjang mereka.
Raja Nyik Selong mengetahui bahawa cucu yang bakal dilahirkan di dunia ini bukanlah calang-calang orangnya maka dititahkannya rakyatnya untuk sentiasa berwaspada. Dan yang lebih utama memastikan bahawa menantu dan cucunya nanti di dalam keadaan yang selamat.
Akhirnya setelah bertarung nyawa, lahirlah seorang bakal pewaris legasi kehebatan Raja Nyik Selong ke dunia iaitu cucu pertamanya. Sebagai tanda menyambut kelahiran cucu ini maka kesemua penduduk rumah panjang Nyik Selong seakan-akan berpesta. Mereka menari dengan penuh sopan dan lemah gemalai mengikut iringan sape dan jatung untang bagi kaum wanitanya.
Versi kedua
Masih lagi berkisar mengenai seorang raja yang begitu hebat dan gah namanya di Apo Kayan iaitu Nyik Selong. Walaupun begitu gah serta maha hebat orangnya digambarkan bahawa beliau seorang raja yang begitu menyayangi isterinya. Biar ramai yang boleh peristerikan namun Nyik Selong begitu setia pada seorang sahaja isterinya ditambahlagi isterinya itu tidak begitu sihat sejak beliau kahwini.
Demi kesetiaan dan kasih sayang kepada isterinya itulah juga menyebabkan Nyik Selong tidak pernah berputus asa bagi kesembuhan isterinya. Dimana sahaja didengarnya ada yang pandai mengubati kesakitan isterinya sudah tentu akan diusahakan. Biar di ceruk rantau mana sekalipun, Nyik Selong tidak akan pernah merasakan ianya satu bebanan.
Atas kesungguhan dan sifat tidak pernah putus asa itulah akhirnya isteri Nyik Selong yang dikatakan tidak mampu bangun dari alas tidurnya pada suatu hari telah mampu berdiri dan menjadi seorang wanita yang sihat walafiat serta bertambah cantiknya. Dek kerana begitu bergembira dengan keadaan isteri yang disayanginya itulah, Nyik Selong telah mengadakan kenduri kesyukuran atas kesihatan isterinya.
Bukan kenduri yang biasa-biasa sebaliknya begitu gah sekali melebihi kenduri perkahwinan. Banyaklah hidangan yang disajikan untuk para tetamu yang dijemput dari seluruh Apo Kayan pada masa itu. Dan bagi merayakan tetamu itulah para wanita yang cantik-cantik dari rumah panjangnya telah mempersembahkan tarian yang begitu molek sekali rentak tarinya.
Sejak daripada itu, tarian yang dicipta sewaktu kenduri kesyukuran ini telah mendapat tempat di hati penduduk di Apo Kayan sehingga gah dan tarian yang wajib ada pada setiap majlis mereka.
Begitulah ceritanya bagaimana tarian yang begitu popular iaitu yang dinamakan Datun Julud dicipta. Seni tari yang sebenarnya mengangkat ceritera dan keperibadian wanita dari masyarakat Kenyah di Borneo yang begitu lemah lembut selain daripada kehebatan iringan instrumental tradisional iaitu sape. Pukulan jatung untang juga memainkan peranan sehingga menyaksikan Tarian Datun Julud adalah antara seni tari tradisional yang begitu mempersonakan.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.
Rujukan:
1. Borneo Post 4 Jun 2014 by Alvester Bigol Sulang - Tanda Datun Julud Pengereja Asal Bangsa Orang Ulu http://www.theborneopost.com/2014/06/04/tanda-datun-julud-pengeraja-asal-bansa-orang-ulu/
2. Music and Dance Heritage
http://www.malaysia.travel/en/my/about-malaysia/culture-n-heritage/music-and-dance?device=mobile
3. http://tarianindonesia-id.blogspot.my/2016/04/tari-datun-kalimantan-timur.html
4. http://www.oocities.org/tokyo/5525/culture.html