FORT BALEH, NANGA BALEH, KAPIT
FORT BALEH, NANGA BALEH, KAPIT
ZAMAN dinasti keluarga Brooke memerintah Sarawak suatu waktu dahulu, bukan sedikit kubu-kubu yang didirikan di wilayah Sarawak. Binaannya pula ada yang masih kekal dan mampu dilihat sehingga kini seperti Fort Alice, Fort Limbang serta banyak lagi. Untuk wilayah Kapit misalnya yang terkenal dan masih lagi menjadi saksi bisu sejarah Brooke adalah Fort Sylvia yang dibina pada tahun 1880.
Jika kita menggodek sejarah lama, Kapit adalah termasuk di dalam wilayah Lembah Rejang yang menjadi salah satu penebaran empayar Sarawak Kingdom sekitar tahun 1853. Pada masa itu, Rajah Charles Brooke telah berjaya memujuk Sultan Brunei untuk memberikan Lembah Rejang kepadanya kerana berjaya mendamaikan puak-puak yang bertingkah di kawasan itu.
Di ketika Lembah Rejang dibawah kekuasaan Brunei sering berlaku perang perluasan wilayah antara masyarakat Iban dan juga Kaum Orang Ulu. Ini kerana wilayah Lembah Rejang menjadi kediaman kepada masyarakat Iban yang berhijrah dari Batang Ai dan Batang Lupar. Kedatangan mereka adalah untuk mencari penempatan baru serta kawasan bercucuk tanam yang subur seperti di Batang Rajang dan Batang Baleh. Manakala untuk Kaum Orang Ulu pula iaitu dari etnik Kayan dan Kenyah turut sama-sama berhijarah dari Apo Kayan dan menyelusuri Sungai Kayan yang akhirnya membuat penempatan serta bercucuk tanam di Batang Balui iaitu cabang utara Batang Rajang.
Dek kerana kawasan penempatan mereka saling mendekat maka seringkali ada sahaja hal yang tidak dapat dikawal antara mereka. Ketegangan ini telah kadangkala boleh membawa kepada peperangan sehingga memungkinkan Lembah Rejang sentiasa di dalam keadaan bergolak. Bagi memungkin tiada sebarang pertembungan antara masyarakat yang mendiami Lembah Rejang itulah, Rajah Charles Brooke dikatakan telah membina sebuah kubu di Nangga Baleh iaitu di satu lokasi antara Sungai Rejang dan Baleh.
Kubu yang dibina daripada struktur kayu ini didirikan pada tahun 1874 dan dinamakan Kubu Baleh. Ianya dikatakan menempatkan beberapa orang penjawat awam Kerajaan Sarawak Kingdom pada waktu itu bagi memastikan tiada perpindahan lanjut masyarakat Iban ke hilir lembah Sungai Rejang sehingga menimbulkan amarah Kaum Orang Ulu pada ketika itu.
Dan menurut sejarahnya sekitar akhir tahun 1877 iaitu di ketika Rajah Charles Brooke sedang di dalam perjalanan ke Kubu Baleh dengan menaiki bot, dikatakan botnya telah terbalik kerana arus deras sehingga beliau hampir mati lemas. Namun umurnya masih panjang apabila diselamatkan oleh sebuah bot penduduk tempatan yang melalui kawasan tersebut pada waktu kejadian.
Diceritakan mungkin akibat daripada kejadian ngeri yang hampir meragut nyawanya telah menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan Fort Baleh tanpa berpenghuni pada tahun 1878. Kemudian barulah beliau mendirikan sebuah kubu baru yang terletak lebih di hilir sungai pada tahun 1880.
Kubu baru ini dinamakan dengan Kubu Kapit yang kemudiannya dinamakan Kubu Sylvia bagi mengambil nama isterinya Rani Sylvia. Struktur binaan kubu baru ini dibina sepenuhnya daripada kayu belian dengan dindingnya cukup kuat dan utuh bagi menahan serangan daripada musuh. Manakala Fort Baleh pula dikatakan terbiar dan akhirnya runtuh tanpa meninggalkan sebarang kesan untuk kita ketahui kewujudannya sehingga sekarang.
Rujukan:
1. http://themaidensgiedd.blogspot.my/2015/01/kubu-di-sarawak.html
2. http://sarawakiana.blogspot.my/2008/04/forts-built-by-brookes.html