top of page

LEGENDA SIBAUK DAN BIJI BENIH SAKTI


LEGENDA SIBAUK DAN BIJI BENIH SAKTI


KAUM Bidayuh adalah antara pembentuk suku kaum yang pelbagai di Sarawak. Malah di dalam kaum bidayuh itu sendiri turut dibahagikan dengan sub-etniknya yang mempunyai cerita asal muasal mereka tersendiri. Selain itu seperti juga kaum yang pelbagai mewarnai masyarakat Sarawak Bumi Kenyalang, kaum Bidayuh juga mempunyai beberapa cerita legenda yang begitu menarik untuk dikongsikan.


Menurut kepercayaan masyarakat Bidayuh adalah dinyatakan bahawa suatu waktu dahulu mereka bukanlah satu kelompok masyarakat yang pakar untuk bercucuk tanam seperti sekarang. Ini kerana suatu waktu dahulu, masyarakat Bidayuh dikatakan hanya pakar memburu haiwan di hutan mahupun mencari hasil-hasil hutan untuk survival penghidupan mereka. Keberadaan mereka mengenal apa itu bercucuk tanam padi dikatakan mempunyai perkaitan dengan satu cerita legenda. Dan cerita legenda ini kekal diwarisi secara oral dari generasi ke generasi sehingga sekarang.


Al-sahibul hikayat, beratus-ratus tahun dahulu di sebuah rumah panjang masyarakat Bidayuh di Sarawak tinggal seorang wanita bernama Nek Umang bersama seorang anak lelakinya yang dinamakan Sibauk. Sebagai anak tunggal sudah tentu manjanya Sibauk tidak terperi dan apa sahaja yang beliau pinta sudah tentu ibunya akan cuba menunaikan. Pada satu hari tatkala bangun dari tidur petang, dikatakan Sibauk mengadu kelaparan maka ibunya iaitu Nek Umang tanpa berlengah terus menjerang air untuk merebus beberapa bijian hutan buat santapan si Sibauk.


Dek kerana bosan menunggu makanannya siap, Sibauk bersama-sama dengan beberapa orang rakan sebayanya telah keluar bermain di kawasan yang berdekatan dengan rumah panjang mereka. Di ketika sedang asyik bermain inilah dikatakan Sibauk telah menjumpai dan seterusnya memetik satu tumbuhan hutan yang dinamakan Bunga Giragi.


Apa yang menjadi tarikan Sibauk adalah pada Bunga Geragi ini mempunyai satu biji benih yang mana atas sifat ingin tahunya menyebabkan beliau mula menanam biji benih tersebut di dalam tanah sambil-sambil menyanyikan lagu kegirangan. Apa yang menjadi satu kemusykilan kepada Sibauk adalah di dalam sekelip mata sahaja dikatakan biji benih tersebut telah mula bercambah. Semakin kuat beliau mengalunkan lagu semakin tinggi bercambah biji benih tersebut sehingga pada akhirnya menjadi satu pohon yang tinggi mengapai awan.


Atas nalurinya jua maka Sibauk tanpa memperdulikan nasihat rakan-rakannya telah mula memanjat pohon tersebut. Tiada apa yang mampu dilakukan oleh rakan-rakannya sebaliknya hanya memerhati Sibauk hilang disebalik awan mengikut ketinggian pohon sakti tersebut. Akhirnya Sibauk sampai juga ke puncak pohon yang mana menyaksikan beliau sebenarnya telah dibawa ke satu tempat yang cukup asing baginya. Disinilah bermulanya Sibauk ingin menerokai segenap pelusuk satu kawasan yang begitu indah tidak pernah beliau saksikan selama ini.


Hendak dijadikan cerita, di ketika Sibauk sedang seronok membuat eksplorasi dunia baru ini akhirnya di tengah perjalanan beliau bertemu dengan Teyung Bulan (Sang Rembulan), digambarkan sebagai seorang wanita yang cukup jelita. Sapaan daripada Sibauk disahut oleh Teyung Bulan dan dikala itulah beliau memohon andainya Teyung Bulan boleh mengizinkan beliau untuk bermalam di rumahnya. Secara baik Teyung Bulan menyatakan kepada Sibauk bahawa kehadiran Sibauk tidak molek untuk bermalam di kediamannya atas kerana beberapa pantang larang. Ini kerana penghidupan Teyung Bulan sebenarnya walaupun dikaca mata adalah cantik tetapi adakalanya beliau boleh bertukar menjadi buruk dan berpenyakit serta kadang-kadang berbau busuk.


Mendengar jawapan daripada Teyung Bulan maka Sibauk pun akur dan meneruskan perjalanannya. Sekali lagi beliau bersua dengan Babuk Binte (Sang Bintang) iaitu digambarkan sebagai seorang lelaki yang begitu perkasa serta mempunyai ramai anak dan cucu. Seperti Teyung Bulan, Sibauk turut memohon izin agar Babuk Binte membawanya pulang ke rumah. Namun hasrat Sibauk sekali lagi dihampakan apabila dengan baik Babuk Binte menyatakan bahawa dek kerana beliau mempunyai ramai anak dan cucu, kehadiran Sibauk nanti akan menyusahkan beliau kerana takut tiada makanan untuknya nanti.


Apalah daya Sibauk pada masa itu selain daripada meneruskan perjalanannya yang mana akhirnya membawa beliau bersua pula dengan Babuk Beteh Andu (Sang Mentari). Perbualan singkat dengan Babuk Beteh Andu telah mengajar Sibauk bahawa waktu tengahari adalah satu waktu yang paling panas dan tiada makhluk yang bertahan dengan kepanasannya.


Usai mendapat ilmu daripada Babuk Beteh Andu, Sibauk meneruskan perjalanannya sehinggalah beliau berjumpa dengan seorang bernama Babuk Sikara. Digambarkan Babuk Sikara ini adalah seorang tua yang baik budi pekerti serta ramah. Sebelum Sibauk menyatakan hasrat untuk bermalam dirumahnya, terlebih dahulu Babuk Sikara yang mempersilakannya. Bak kata pepatah lama seperti orang mengantuk disorongkan bantal, ajakan itu diterima oleh Sibauk dengan hati terbuka biarpun syaratnya Sibauk harus menyembunyikan diri apabila Babuk Sikara memintanya berbuat demikian.


Setelah beberapa hari menginap di rumah Babuk Sikara, Sibauk mengambil satu kesimpulan berdasarkan kepada pemerhatiannya bahawa tuan rumahnya ini bukanlah tinggal seorang diri. Sebaliknya Babuk Sikara hidup gembira bersama-sama dengan beberapa orang cucu perempuan. Dari pemerhatiannya juga antara tujuh cucu perempuan Babuk Sikara, yang bongsu bernama Sikemba adalah yang paling jelita antara mereka.


Sebenarnya dengan secara sembunyi-sembunyi, Sibauk turut memahami rutin cucu-cucu Babuk Sikara iaitu pada awal paginya kesemua mereka akan keluar dari rumah dan hanya akan pulang apabila menjelang senja. Walaupun kehadiran Sibauk tidak disedari cucu-cucu Babuk Sikara namun akhirnya rahsia besar datuk mereka Babuk Sikara terbongkar juga apabila pada satu hari tanpa sengaja, Sikemba telah bertembung dengan Sibauk.


Berita Sibauk yang ditemui oleh Sikemba telah dikhabarkan kepada Babuk Sikara dan dek kerana dikatakan bahawa pantang keturunannya untuk bersua dengan seorang manusia lebih-lebih lelaki maka kedua-duanya harus dikahwin. Hakikatnya sejak di hari pertama Sibauk mengintai Sikemba, beliau sudahpun jatuh cinta pandang pertama maka segala usulan Babuk Sikara diterima oleh beliau tanpa ada sebarang syarat.


Perkahwinan antara Sibauk dengan Sikemba dijalankan dengan penuh gilang gemilang dan keduanya hidup sebagai suami isteri melayari bahtera perkahwinan mereka rukun damai dengan penuh kasih sayang. Dari perbualan beliau dengan isterinya barulah Sibauk memahami bahawa kakak-kakak ipar dan isterinya yang saban hari keluar rumah menjelang siang dan pulang hanya ketika senja adalah untuk menanam padi. Padi itu harus dijaga agar tidak dicuri oleh cucu-cucu Babuk Binte yang sering kelaparan kerana tidak cukup makan.


Nun jauh di sudut hati Sibauk pula terasa teringin untuk melihat sendiri apakah padi yang amat bernilai itu namun sayangnya sudah awal-awal lagi terpaksa akur dengan amaran Babuk Sikara agar beliau tidak boleh keluar rumah. Harapan Sibauk akhirnya menjadi kenyataan apabila pada suatu hari, Sibauk dibenarkan untuk pergi menemani isterinya ke kawasan padi ditanam.


Ditengah-tengah perjalanan itulah, Sibauk terlihat satu teleskop besar yang terletak di satu sudut kawasan dan dikala itulah sekali lagi sifat ingin tahu Sibauk meresapi di dalam dirinya. Dengan tipu helah dimintanya isterinya Sikemba untuk berjalan dahulu sementara beliau ingin melepaskan lelah. Sebenarnya, Sibauk telah berhenti di sebelah teleskop yang dinamakan Tajau Pengirau. Setelah beliau meneropong dari jauh itulah beliau telah terlihat bahawa ibunya Nek Umang sedang jatuh sakit. Sejak itu dikatakan Sibauk langsung tidak gembira dan ianya disedari oleh isterinya serta Babuk Sikara.


Tidak mampu lagi melawan rahsia dan keinginan yang terpendam akhirnya Sibauk menyatakan hasratnya untuk pulang ke bumi menjenguk ibunya yang sakit. Mendengar cerita Sibauk yang mengetahui cerita hal ehwal di bumi melalui Tajau Pengirau itu maka Babuk Sikara menyatakan bahawa Sibauk telah melanggar pantang dan beliau tidak boleh lagi hidup diantara mereka.


Bagi memastikan Sibauk sudah bersedia untuk pulang dan kepulangannya nanti akan membawa faedah kepada penghidupan manusia di muka bumi maka Babuk Sikara telah mengajar beliau cara untuk menanam padi sehinggalah beliau menjadi seorang yang pakar menanam. Tiba saatnya Sibauk pun dibenarkan pulang dengan dihadiahkan seberkas biji benih padi pemberian Babuk Sikara sebagai tanda mata.


Kepulangan Sibauk disambut oleh masyarakatnya dengan riang gembira dan berkat pengalamannya juga akhirnya Sibauk mampu mengajar masyarakatnya cara-cara untuk bertanam padi. Sejak itulah dikatakan masyarakat Bidayuh yang dahulunya hanya bersurvivalkan memburu dan mencari hasil hutan akhirnya mampu menanam padi untuk meneruskan penghidupan mereka. Bagi mengenang kejayaan perolehan padi yang subur makmur itulah maka saban tahun masyarakat Bidayuh akan mengadakan Gawai Sowa bagi mengucapkan syukur mereka atas budi yang diberikan oleh Sikemba dan keluarganya.


Begitulah indahnya jalan cerita legenda Sibauk dan biji benik sakti yang sememangnya mempunyai moralnya yang tersendiri. Cerita legenda ini seakan-akan cerita legenda masyarakat di benua Eropah yang sering kita baca mahupun lihat di kaca-kaca televisyen tetapi ini adalah versi nenek moyang masyarakat Bidayuh sejak dahulu lagi. Sesungguhnya cerita legenda kaum di Sarawak mempunyai keunikannya yang tersendiri cuma sayangnya tidak begitu diwar-warkan buat pengetahuan kita semua.



bottom of page