top of page

ASP (B) WILFRED GOMEZ MALONG


JEJAK PAHLAWAN SARAWAK: ASP (B) WILFRED GOMEZ MALONG


MUNGKIN kita sebagai rakyat Sarawak telah terbiasa mendengar bagaimana anggota tentera di kalangan anak Sarawak suatu waktu dahulu membarisi senarai penerima pangkat kedua tertinggi di dalam senarai darjah kebesaran Gagah Perkasa iaitu Pingat Gagah Berani. Sebenarnya jika kita menggodek sejarah lama kepahlawanan anak Sarawak ada terdapat tiga individu di kalangan anggota polis yang juga penerimanya PGB.


ASP (B) Wilfred Gomez Malong merupakan salah seorang bujang berani dari dunia kepolisian yang juga mencatitkan sejarahnya tersendiri apabila beliaulah penerima PGB paling muda iaitu pada ketika itu berusia 24 tahun. Dunia kepahlawan bukanlah asing bagi anak Iban kelahiran Betong ini memandangkan mempunyai pertalian secara langsung dengan Balang “Ijau” iaitu antara pemimpin Iban yang menggangotai pasukan pro-Brooke sewaktu memerangi Rentap di Skrang suatu waktu dahulu.


Menjengah dunia kepolisian sekitar tahun 1969 selepas menerima ajakan daripada jurulatih pasukan ragbi iaitu J.G Ritchie yang juga seorang pegawai tinggi polis Sarawak suatu waktu dahulu. Dikatakan pada ketika itu jurulatihnya tertarik dengan sikap disiplin serta enggan mengalah Gomez yang juga anak didiknya di dalam pasukan ragbi Sekolah St. Thomas, Kuching.


Hasil daripada inspirasi dari seorang ketua polis Sarawak itulah dikatakan akhirnya Gomez setelah tamat latihan polis telah ditempatkan untuk mengemudi SBPU (Special Branch Probing Unit) iaitu satu organisasi kepolisian yang mana keanggotaannya terdiri daripada Pasukan Polis Hutan, Sarawak Border Scouts, Sarawak Renjer dan Penjejak Iban di Sarawak. SBPU inilah yang menjadi antara nadi penting di dalam dunia risik kepolisian keatas sebarang kegiatan subversif komunis yang sering membuat onar di Sarawak suatu ketika dahulu.


Cerita kepahlawan Gomez ini bermula pada tanggal 20hb Jun 1973 yang mana pada ketika itu beliau baru berusia 23 tahun. Dikatakan Gomez bersama dua orang staff bawahan yang pada ketika itu sedang melakukan rondaan biasa terlihat satu kepulan asap di kawasan hutan Ulu Poi, Kanowit. Tidak mahu membuat sebarang terlahan secara rawak, mereka bertindak membuat peninjauan dengan lebih terperinci ke atas kawasan hutan tersebut.


Walaupun hanya bertiga sahaja, ianya tidak menjadi kegentaran kepada mereka sebaliknya mereka terus menghampiri lokasi yang disasarkan biarpun terpaksa merangkak di dalam hutan bagi memastikan pergerakan mereka tidak dihidu oleh musuh. Setelah membuat pemantauan selama hampir lima jam dan mengamati sendiri segala pergerakan musuh barulah ketiga-tiga mereka mengambil keputusan untuk beredar dan memohon bantuan daripada rakan-rakan yang lain.


Hendak dijadikan cerita, di ketika hendak beredar daripada kawasan persembunyian mereka iaitu yang berada dekat dengan kawasan musuh itulah dikatakan Koperal Andang telah memetik senjatanya tanpa sengaja. Disaat itulah kehadiran mereka sudah mula disedari oleh segerombolan komunis yang sedang berehat-rehat di kawasan perkhemahan mereka.


Mendengar sahaja bunyi senjata itulah beberapa orang komunis yang menjadi sentri di kawasan perkhemahan mereka sudah mula mengangkat senjata dan membuat tembakan ke arah mereka. Tanpa takut dengan jumlah komunis yang dihadapi ketiga-tiga mereka iaitu Inspektor Gomez, Sarjan Muari dan Koperal Andang berbalas tembakan maka bermulalah perang di hutan Ulu Poi, Kanowit sekitar jam 2 pagi pada tanggal 21hb 1973.


Perang di Ulu Poi ini tidaklah lama iaitu berlangsung sekitar 10 minit sahaja namun sesuatu yang mengkagumkan biarpun hanya bertiga sahaja, mereka berjaya membunuh empat pengganas komunis serta ramai juga yang cedera parah. Manakala komunis yang lain pula berjaya meloloskan diri dengan membawa apa sahaja senjata yang sempat digapai mereka.


Difahamkan bahawa trio Gomez, Andang dan Mauri pada hari itu bukanlah berhadapan dengan anggota komunis yang sedikit sebaliknya mempunyai kekuatan hampir 18 orang berdasarkan kepada jejak-jejak pakaian, selipar serta banyak lagi yang mampu dilihat di kawasan perkhemahan mereka. Diceritakan juga walau hanya bertiga pada waktu itu, mereka masih lagi terpaksa bermalam di kawasan perkhemahan itu bersama-sama dengan mayat komunis yang mati memandangkan hari sudah terlalu gelap.


Menjelang siang apabila hari sudah terang barulah pasukan bantuan daripada ibupejabat mula mendatangi lokasi mereka. Bayangkanlah sekiranya gerombolan komunis yang berjaya meloloskan diri itu kembali semula ke kem mereka sudah pasti Gomez dan dua lagi anggotanya akan mati dikerjakan oleh komunis yang ramai. Mungkin mereka bernasib baik kerana komunis tidak berbuat demikian pada waktu itu.


Atas keberanian dan kepahlawanan inilah pada tahun 1974, Gomez dianugerahkan dengan Pingat Gagah Berani daripada Yang Dipertuan Agong Malaysia yang menjadikan beliau merupakan penerima anugerah PGB yang termuda di dalam sejarah Malaysia iaitu baru sahaja berusia 24 tahun pada masa itu.


Setelah berkhidmat di beberapa cawangan dunia kepolisian akhirnya pada tahun 1980, Gomez menamatkan perkhidmatannya dan seterusnya melanjutkan pelajarannya di dalam bidang perundangan di University of Buckingham, London, United Kingdon. Usai ditauliahkan sebagai peguam, beliau pernah berkhidmat di Melaka dan negerinya sendiri iaitu Sarawak yang mana pada ketika itu juga beliau mula menjengah dunia politik Sarawak mengikut jejak langkah mendiang ayahnya yang juga salah seorang pemimpin tersohor parti lokal Sarawak iaitu SNAP suatu waktu dahulu.


Dunia polis dan sukan permotoran lasak itu bagai aur dengan tebing dan dek kerana itulah sukan lasak masih lagi menjadi hobi bagi Gomez. Gomez mewakili pasukan “4x4 drives and Safari” bagi negeri Sarawak di ketika pertandingan Silverstone Trans Borneo Expedition yang menyaksikan beliau dan pasukannya mengelilingi pulau Borneo sejauh 5,000 km pada Mac 1996.


Pada tanggal 5hb Februari 2013, Malaysia amnya dan Sarawak khususnya telah kehilangan seorang pahlawan bangsa yang begitu berani di dalam sejarahnya apabila ASP (B) Wilfred Gomez Melong menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat menderita sakit kanser kolon. Mendiang meninggalkan seorang balu iaitu Puan Angela Austin dan dua cahayamata. Pengabdian kekal pahlawan Sarawak ini adalah di Kampung Entingan Cemetery.


Lest We Forget!




Rujukan:


1. Utusan Online, 8 Januari 2013 - Jangan Lupa Bekas Polis

http://ww1.utusan.com.my/utusan/Sabah_%26_Sarawak/20130108/wb_01/'Jangan-lupa-bekas-polis'\

2. The Star Online, 8 February 2013 - Gomez, a fearless warrior who sacrificed for the nation

http://www.thestar.com.my/news/community/2013/02/08/gomez--a-fearless-warrior-who-sacrificed-for-the-nation/

3. Borneo Post, 3 February 2013 - PGB recipient Gomez dies battling cancer

http://www.theborneopost.com/2013/02/03/pgb-recipient-gomez-dies-battling-cancer/


bottom of page