FROM TELAGA AIR WITH LOVE
FROM TELAGA AIR WITH LOVE
DAHULUNYA hanya sebuah perkampungan nelayan yang terpencil kerana lokasinya namun sejajar dengan waktu, perkampungan Melayu ini sudah berjaya menjadi antara destinasi percutian untuk warga Kuching samada di cuti hujung minggu mahupun ketika cuti sekolah. Selain itu disinilah juga antara salah satu destinasi untuk kaki-kaki pancing kerana sumber lautnya yang lumayan.
Menurut sejarahnya kawasan yang dikenali sebagai Matang Air pada asalnya adalah satu kawasan hutan simpan hanya setelah tahun 1970an barulah ramai yang datang membuka tanah dan seterusnya menjadikan kawasan ini menjadi tempat kediaman. Dan oleh kerana ianya terletak di kuala maka sememangnya mempunyai hubungan dengan laut lepas sehingga menjadikan perkampungan ini antara tempat yang menjadikan hasil laut sebagai sumber ekonomi penduduknya.
Diceritakan sekitar tahun 1978, ketua-ketua kepada tiga perkampungan yang terletak di sekitarnya iaitu Kampung Trombol, Kampung Sibu Laut dan Kampung Santin telah bersatu hati untuk membuka kawasan yang baru. Dikala inilah mereka memilih kawasan hutan simpan yang dikenali sebagai Matang Air untuk dijadikan lokasi penempatan yang baru.
Namun turut dikatakan bahawa bukanlah senang pada ketika itu untuk “memasuki” kawasan hutan simpan ini kerana mengikut kepercayaan penduduk setempat kawasan hutan ini “keras”. Antara yang menghiasi cerita kawasan hutan simpan ini adalah dikatakan sesiapa sahaja yang tidak mempunyai ilmu yang tinggi maka tidak akan menjumpai jalan pulang jika memasukinya.
Jadi di awal pembukaan kawasan hutan ini dek kerana mempercayai mitos tersebut maka dikatakan ada beberapa peraturan yang harus diikuti mereka. Jadi hal yang pertama harus dilakukan adalah mencari satu banir kayu ara yang terletak di dalam kawasan hutan tersebut. Untuk mencarinya bukanlah senang namun kerana keinginan yang kuat maka segala rintangan diredah jua.
Satu banir kayu ara ini dipercayai mempunyai satu lopak air yang tidak pernah kering walaupun ketika kemarau berpanjangan. Maka usai sahaja menjumpainya maka kesemua peneroka hutan haruslah membasuh muka mereka dengan air di dalam lopak tersebut. Tanpa ini dilakukan dipercayai bahawa peneroka-peneroka itu tidak akan mampu melihat jalan pulang kelak.
Apabila segala peraturan sudah dipatuhi maka barulah hutan simpan ini mula diterokai. Dimulai dengan beberapa orang sahaja akhirnya menjadi ramai iaitu lebih kurang 69 orang. Maka bermulalah mereka membina rumah untuk kegunaan keluarga mereka mengikut kesepaduan luas yang dibenarkan.
Sekitar penghujung tahun 1979, penerokaan kawasan hutan simpan ini semakin berkembang sehinggalah tertubuhnya satu jawatankuasa kampung. Maka mengambil kira betapa banir kayu ara iaitu lopak air itu menjadi sumber masyarakat baru membuka penempatan di situ maka lopak air itu mula dijadikan telaga.
Hanya pada tahun 1985 iaitu apabila Gabenor Sarawak pada masa itu membuat lawatan rasmi ke kawasan perkampungan penempatan baru di hutan simpan Matang Air barulah ianya ditukar kepada nama Kampung Telaga Air. Ianya mengambil bersempena dengan satu telaga yang pada asalnya adalah lopak air banir kayu ara.
Melihat kepada tarikan yang ada di Kampung Telaga Air iaitu samada dari segi keindahannya kerana terletak di kawasan kuala dan juga penghasilan lautnya yang segar dan lumayan, telah dibina jeti untuk memudahkan segala aktiviti perikanan. Sejak itu juga sistem infrastruktur yang menghubungkan perkampungan ini dengan bandaraya Kuching mula dinaiktaraf dan hanya mengambil masa lebih kurang 40 minit memandu ke kawasan ini dengan perjalanan darat.
Bagi memberikan kerancakan industri perlancongan setempat, di Kampung Telaga Air ini tidak pernah kurang dengan rumah-rumah enap desanya (homestay) yang siaga menanti pelancong untuk bermalam. Terbinanya Tebingan Telaga Air juga menjadikan tidaklah sukar untuk mencari menu untuk mengisi perut kerana gerai-gerai makanan laut segar sentiasa mampu menghidangkan makanan laut yang enak-enak untuk pengunjungnya.
Kampung Telaga Air dahulunya hanya sebuah kawasan hutan simpan tanpa berpenghuni, sekarang telah ditransformasi sebagai salah satu kawasan perkampungan yang “wajib pergi” apabila berkunjung ke Kuching, Sarawak.
Setiap daerah mempunyai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayangnya.
Rujukan:
1. Borneo Post, 12 April 2015 by Chang Yi - Idyllic Telaga Air Beckons
http://www.theborneopost.com/2015/04/12/idyllic-telaga-air-beckons/
2. http://telagaairvillage.blogspot.my/2015/12/sejarah-kampung-telaga-air.html
3. https://prezi.com/uqn8pgrzdznp/profiling-kampung-telaga-air/