31 OGOS, HARI PENYATUAN RAKYAT MALAYSIA
31 OGOS, HARI PENYATUAN RAKYAT MALAYSIA
31 OGOS, itulah tarikh keramat yang saban tahun dirayakan sebagai hari kemerdekaan untuk Malaysia. Di sebalik segala kemeriahan sambutannya tetap ada nada-nada kurang berpuashati apabila berbicara tarikh mahupun angka sambutannya itu. Di dalam konteks Sarawak yang mana rata-rata rakyatnya sekarang sudah begitu celik sejarah maka seringkali ianya menjadi 1001 persoalan di sanubari dan minda kita semua.
Hakikatnya, tiada sesiapa boleh menidakkan bahawa pada tanggal 31 Ogos 1957 itulah tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Manakala untuk Sabah (Borneo Utara) dan Sarawak pula lebih kepada “ke arah berkerajaan sendiri” iaitu tanggal 31 Ogos 1963 untuk Sabah dan Sarawak pada 22 Julai 1963. 54 tahun yang lalu, Persekutuan Malaysia yang dibentuk oleh empat entiti iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura (keluar pada tahun 1965) dimasyhurkan sebagai satu gagasan pada tanggal 16 September 1963. Itulah sejarah sebenar yang tidak boleh diubah waima dengan tinta darah sekalipun.
Berbicara soal merdeka ini usahlah kita panjang-panjangkan kerana waima usianya mungkin tidak masuk akal bagi yang bijak matematik tetapi perlulah diingatkan bahawa tarikh 31 Ogos ini sebenarnya adalah satu tarikh yang penuh patriotisme bagi kita. Kerana pada tarikh ini juga sinonim dengan hari penyatuan untuk kita semua sebagai satu anak bangsa Malaysia yang bebas merdeka. Malaysia yang mempunyai kepelbagaian kaum dan agama serta jarak lokasi yang sehingga membelah Laut China Selatan mampu berdiri bersama apabila lagu “Negaraku” berkumandang dan megah mengibar bendera Jalur Gemilang sebagai simbolik bahawa kita tidak lagi dijajah oleh mana-mana kerajaan di dunia.
Ingatlah bukan senang untuk membina sebuah negara dan hormatilah tarikhnya. Sama-sama kita hargai perjuangan dan pengorbanan pahlawan anak bangsa serta perwira anggota keselamatan kita yang bergadang nyawa untuk apa yang kita ada sekarang.
Selamat Menyambut Hari Kebangsaan dan 31 Ogos, hari penyatuan rakyat Malaysia.