BAGAIMANA KOTA SAMARINDA MENDAPAT NAMA
BAGAIMANA KOTA SAMARINDA MENDAPAT NAMA
TERKENAL dengan sejarah lampaunya yang begitu mengasyikkan lebih-lebih lagi di wilayah inilah berhimpunnya cerita keagungan kerajaan-kerajaan kuno yang pernah gah namanya seperti Kerajaan Kutai Kartanegara, Kerajaan Banjar dan Kerajaan Negara Dipa. Kota Samarinda yang terletak di provinsi Kalimantan Timur menyimpan 1001 sejarah lampau masyarakatnya yang terdiri daripada kepelbagaian kaum dan agama.
Dengan dibelah oleh Sungai Mahakam, Kota Samarinda adalah ibu kota untuk KalTim, Republik Indonesia dan ianya menjadi antara pintu gerbang utama untuk menyelusuri pedalaman Kalimantan Timur baik dengan melalui jaluran sungai-sungai, perhubungan darat mahupun udara.
Menyusuri cerita bagaimana Samarinda mendapat namanya sudah tentu mempunyai keunikan tersendiri seperti juga kota-kota yang lain di seluruh Kalimantan, Republik Indonesia. Setakat ini tiada yang benar-benar mengkhusus mengenai bagaimana munculnya nama Samarinda sebaliknya banyak beralaskan cerita oral yang diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain di Samarinda.
Versi Satu:
Sekitar tahun 1600an masihi iaitu di ketika masih wujudnya Kerajaan Kutai Kartanegara, berlaku satu penghijrahan yang besar masyarakat Bugis dari Makasar, Sulewesi. Walaupun mereka “orang luar” pada masa itu namun kedatangan mereka diterima baik oleh pemerintah Kerajaan Kutai.
Atas hubungan yang baik itulah makanya pemerintah Kutai telah memberikan penempatan mengkhusus untuk mereka iaitu dibahagian tebingan Sungai Mahakam. Maka dari situlah masyarakat Bugis Wajo telah mendirikan rumah-rumah rakit di tepi-tepi sungai. Pembinaannya pula agak terurus dan memanjang serta mempunyai hubungan titian terapung antara satu sama lain.
Dek kerana itulah apabila dipandang dari jauh, rumah-rumah rakit ini kelihatan “sama rendah” baik tatkala air sungai surut atau pasang dan akhirnya masyarakat setempat memanggil kawasan tersebut “sama rendah” yang akhirnya lidah penutur memanggilnya “samarinda”.
Versi Kedua:
Untuk versi kedua lebih mengkhusus kepada keadaan geografi bagi Sungai Mahakam suatu waktu dahulu. Boleh dikatakan ketinggian Sungai Mahakam dengan kawasan daratannya adalah sama tinggi dan ianya dikategorikan sebagai kawasan tanah rendah. Jadi sejak azalinya dikatakan kawasan ini suatu waktu dahulu sering berlakunya banjir kerana air sungai akan senang memasuki kawasan daratan apabila air pasang.
Malah menurut sejarahnya sehinggalah tahun 1950an, kawasan ini masih lagi sering berlaku banjir sehinggalah ada usaha dari kerajaan untuk meninggikan kawasan daratannya dan membuat beberapa pengubahsuaian di dalam sistem perparitannya. Jadi sudah menjadi lali bagi masyarakat di Kalimantan Timur menggelar kawasan ini dengan kawasan sama rendah yang akhirnya jika dipertuturkan secara pantas akan menjadi “samarinda” pada akhirnya.
Versi ketiga:
Versi ketiga pula menampilkan bahawa asal muasal nama wilayah ini adalah “Samarendo” dari bahasa Sanskrit yang bermaksud selamat sejahtera. Jika diperkira ianya mungkin mempunyai beberapa perkaitan dengan kedudukan wilayah Kerajaan Kutai suatu waktu dahulu iaitu dengan ditemuinya satu prasasti atau batu bersurat Kutai sekitat tahun 1870 di Bukit Berubus, Muara Kaman, Kalimantan Timur.
Batu bersurat tersebut ditulis dengan menggunakan bahasa saskrit yang menjadi antara bahan kajian sejarah paling agung di dalam membicarakan letak duduknya Kerajaan Kutai antara kerajaan tertua pernah wujud di Borneo suatu waktu dahulu. Jadi sekiranya ada masyarakatnya yang menggunakan bahasa sanskrit di dalam menamakan sesuatu kawasan di wilayah tersebut maka ianya bukan sesuatu yang janggal sama sekali.
Selain itu turut diambilkira adalah sebutan bagaimana masyarakat Melayu di Samarinda sekarang yang kebanyakkannya masih lagi menggunakan konsonan “e” pada setiap bual bicara mereka seharian. Jadi dari perkataan “Samarendo” lalu dipertuturkan menjadi Samarinde atau Samarinda boleh menjadi satu kebarangkalian yang boleh diambilkira di dalam menyatakan bagaimana kawasan ini mendapat namanya.
Inilah antara cerita ceriti bagaimana nama Kota Samarinda yang cukup gah itu mendapat nama. Mempunyai keunikannya tersendiri seperti bagaimana betapa warna-warninya sejarah ketamadunan yang pernah wujud di bumi Samarinda suatu waktu dahulu. Dari hanya satu perkampungan kuno namun sekarang sudah menjadi antara pemain sektor ekonomi penting bagi Republik Indonesia amnya dan Kalimantan Timur amnya.
Rujukan:
1. Buku bertajuk Sejarah Kota Samarinda oleh Mohd Nur Ars, Yunus Rashid, Hasyim Achmad dan Mukhlis P.
2. https://daerah.sindonews.com/read/948807/29/cerita-di-balik-nama-samarinda-1420882955