KINABALU DAN KEPERCAYAAN MASYARAKAT KADAZANDUSUN
KINABALU DAN KEPERCAYAAN MASYARAKAT KADAZANDUSUN GUNUNG Kinabalu merupakan ikon negeri bagi Sabah sehingga membolehkan bayangannya ada di bendera kebangsaan Sabah, Malaysia. Gunung Kinabalu juga merupakan produk pelancongan yang paling terkenal bagi Sabah dan kerana keindahan serta ketinggiannya telah mengamit ramai pendaki-pendaki untuk cuba menaklukinya. Inilah Gunung Kinabalu yang mempunyai seribu satu manafaatnya kepada Sabah dan juga Malaysia khususnya. Menurut sejarahnya, suatu waktu dahulu Gunung Kinabalu tidaklah boleh didaki oleh sesiapa melainkan etnik Kadazandusun sahaja. Ini kerana etnik Kadazandusun mempercayai bahawa merekalah penjaga, pemelihara dan pelindung bagi Gunung Kinabalu daripada dicemari. Hanya pada tanggal 7 Mac 1851, seorang bangsa Eropah iaitu Gabenor British di Labuan yang bernama Sir Hugh Low telah dibenarkan untuk mendaki gunung suci dengan bertemankan seorang Malim Gunung anak tempatan yang bernama Gunting Lagadan.
Jika sekarang ianya mengambil masa 2 hari untuk sampai ke puncak Kinabalu tetapi pada masa dahulu ianya mengambil masa selama 3 minggu untuk mereka sampai ke puncak Kinabalu. Dan sebagai bangsa Eropah yang pertama mendaki sehingga ke puncak itulah, terdapat satu puncak di Kinabalu yang dinamakan Low Peak. Low dan Gunting Lagadan inilah yang menjadi perintis kepada perjalanan pendakian ke puncak Kinabalu yang dilalui oleh pendaki-pendaki Gunung Kinabalu sebelum berlakunya tragedi gempa bumi beberapa tahun yang lepas. Sebagai satu gunung yang menjadi kebanggaan seluruh bangsa Sabah, sudah tentu Gunung Kinabalu mempunyai unsur-unsur mistik dan cerita legendanya yang tersendiri. Dan cerita legenda ini adalah apa yang telah menjadi warisan turun-temurun bagi etnik Kadazandusun yang juga dikatakan etnik yang menjadi penjaga dan pemelihara kepada Gunung Kinabalu itu sendiri. Jadi tidaklah menghairankan sekiranya mengapa ramai anak etnik Kadazandusun menjadi Malim Gunung kerana inilah pekerjaan yang mulia mengikut fahaman masyarakat tempatan sehingga mewarisi pekerjaan Malim Gunung dari satu generasi ke generasi lagi. Di dalam cerita legenda ini, etnik Kadazandusun mempercayai bahawa suatu waktu dahulu dewa tertinggi telah menciptakan dunia dan Gunung Kinabalu. Dan Gunung Kinabalu merupakan satu tempat persemadian yang suci bagi setiap roh-roh Bobohizan yang mana di puncak inilah roh-roh ini bersemadi selepas mereka tiada. Oleh kerana itulah setiap tanah yang dipijak mahupun alam floranya serta lopak-lopak air di Gunung Kinabalu itu mempunyai pantang larangnya yang tersendiri. Berdasarkan kepada legenda inilah maka setiap pantang larang yang menjadi kepercayaan etnik Kadazandusun harus sentiasa dijaga dan dipelihara kerana sebarang onar yang dibuat di puncak Kinabalu sudah tentu akan mengundang amarah “semangat roh-roh” yang bersemadi di situ. Dan oleh kerana itulah kejadian sebelum berlakunya gempa bumi berskala 5.9 richter yang melanda Gunung Kinabalu pada tanggal 5 Jun 2015 yang lepas, ramai masyarakat Sabah mempercayai bahawa roh-roh yang bersemadi di puncak Kinabalu marah atas tindakan manusia yang telah berbogel di atas puncak Kinabalu beberapa hari sebelum tragedi itu menimpa. Bagi sesiapa yang pernah mendaki Gunung Kinabalu sudah semestinya mengetahui bahawa di kaki Gunung Kinabalu itu ada satu pintu gerbang yang dinamakan Pondok Timpolohon. Ianya menjadi saksi bisu kepada setiap pendaki-pendaki Kinabalu untuk sentiasa menghormati pantang larang ini. Di Pondok Timpolohon inilah setiap pendaki dikehendaki untuk membaca doa mengikut anutan agama masing-masing serta akan diberi penerangan oleh Malim Gunung tentang apa yang menjadi pantang larang bagi masyarakat di Gunung Kinabalu.
Sesungguhnya sesiapapun samada anda percaya atau tidak harus menghormati setiap kepercayaan penduduk setempat. Seperti kata pepatah lama, masuk kandang lembu menguak dan masuk kandang kambing mengembek, seharusnya bidalan ini sudah cukup menggambarkan betapa setiap tingkah laku kita harus dijaga ketika berada di rumah atau tempat orang biarpun kita merasakan bahawa kita ini sudah tinggi pelajarannya, sudah alim benar agamanya serta sudah moden benar penghidupannya jangan sesekali memperkotak-katikkan kepercayaan masyarakat setempat.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta! #KamekSayangSarawakBah!
Rujukan:
1. History Of Mount Kinabalu
http://mountaintorq.com/history-of-mt-kinabalu/
2. Mount Kinabalu: The Mountain Revered by The Kadazan People
http://www.kadazanhomeland.com/mount-kinabalu.html
3. Myths & Legends Of Mount Kinabalu
https://www.amazingborneo.com/travel/myths-legends-of-mount-kinabalu