SAINT LUKE SCHOOL SINCE 1863
SAINT LUKE SCHOOL, SRI AMAN SINCE 1863
KEDATANGAN mubaligh Kristian ke Sarawak di era pemerintahan 100 tahun keluarga Brooke sebenarnya banyak mempengaruhi kewujudan sekolah-sekolah di Sarawak. Contoh terdekat adalah St. Thomas School yang terletak di Kuching, Sarawak merupakan sekolah tertua yang pernah didirikan iaitu sekitar tahun 1848. Dan seperti mana kewujudan sekolah ini ianya turut diperkembangkan ke kawasan pedalaman Sarawak.
Saint Luke School atau Sekolah St Luke yang terletak di Sri Aman misalnya adalah antara yang mewarnai cerita perkembangan pengaruh kristianiti di seluruh pedalaman Sarawak. Kesemuanya bermula apabila seorang Reverend iaitu Father William Crossland yang berbangsa Eropah telah dihantar untuk memperkembangkan kegiatan misionari kristian ke satu kawasan di Lingga iaitu secara spesifik ke Banting sekitar tahun 1863. Rata-rata yang menghuni perkampungan Banting ini adalah daripada etnik Iban.
Setelah cuba memperkembangkan kegiatan misionari kristian akhirnya beberapa bulan kemudian, beliau berpendapat adalah perlu untuk setiap kanak-kanak mahupun orang dewasa di perkampungan tersebut serta kawasan sekitarnya diberikan pendidikan agar lebih berdaya saing. Demi merealisasikannya maka beliau telah bermurah hati untuk mengajar sendiri anak-anak di Banting pada masa itu dengan menjadikan rumah tempatnya berteduh sebagai kelas pembelajaran.
Di ketika itu juga bukanlah senang untuk meyakinkan para ibubapa membenarkan anak-anak mereka ke sekolah kerana yang lebih penting adalah untuk membantu keluarga mencari rezeki. Namun berkat kesabaran akhirnya kelas pendidikan pada hari yang pertama dibawah beliau dihadiri oleh seramai 15 orang kanak-kanak dari pelbagai peringkat umur.
Namun dek kerana tuntutan tugas sebagai mubaligh kristian makanya beliau turut terbeban dengan banyak kerja maka kebanyakan kelas-kelas pendidikan dibawah beliau hanya boleh dilakukan di waktu lapang sahaja. Dari rumah beliau akhirnya beliau berjaya membuka sebuah sekolah kecil iaitu di satu kawasan bernama Sabu. Sejak itu pelajar St Luke School semakin bertambah dari hari ke hari.
Sekitar tahun 1967, Father Crossland akhirnya mengambil keputusan untuk kembali ke tanahair kerana masalah kesihatan dan pada ketika itulah buat seketika sekolah ini terpaksa ditutup kerana tiada tenaga pengajar untuk menyambung tugas-tugas murni beliau. Hanya pada tahun 1878, ketibaan seorang lagi rakan mubaligh beliau iaitu William Howell akhirnya pembelajaran di St Luke School dibuka semua.
Sistem pendidikan untuk St Luke di ketika William Howell juga tidak jauh berbeza semasa era Father Crossland dan sehinggalah pada tahun 1928, iaitu ketika beliau bersara ianya telah diambilalih oleh Father Arthur. Dan dibawah kelolaan Father Arthur, St Luke telah banyak berubah baik dari segi pembelajaran yang lebih teratur dan tenaga pengajar.
Dan sesuatu yang mungkin ramai tidak tahu bahawa antara jasa Father Arthur adalah dengan memastikan bahawa sekolah St Luke tidaklah berada jauh daripada Gereja St Luke sendiri. Beliaulah yang telah berjaya memindah dan juga mendirikan sekolah ini ke Munggu Soap iaitu lokasi sekarang St. Luke School.
Berkat cara beliau yang begitu sistematik di dalam memastikan bahawa anak-anak iban pada masa itu mendapat pendidikan, beliau juga turut memilih beberapa pelajar yang pintar untuk dijadikan sebagai guru. Guru-guru dikalangan anak-anak Iban ini perlu bagi memastikan pendidikan yang berterusan untuk bakal generasi mereka kelak.
Antara nama-nama anak tempatan yang telah menjadi guru di St Luke dari tahun 1931 adalah Encik Hentai, Encik Willie, Encik Lee Hoa Sen, Encik Alfred Linggang, Encik Liboh Mourice, Pasangan suami isteri Giri Koon Kay. Perlulah diingatkan pada ketika ini gaji yang diterima sebagai guru bukanlah seperti yang ada sekarang iaitu sekitar $8.00 sebulan. Tetapi dek kerana tahu betapa besarnya ilmu di dalam penghidupan makanya mereka tetap meneruskan khidmat bakti mereka.
Dari hanya 15 orang pelajar akhirnya jumlah pelajar di St Luke semakin ramai. Dari hanya berkaki ayam dan hanya mengenakan pakaian apa adanya akhirnya pelajar-pelajar St Luke sudah mempunyai pakaian seragam sekolah sendiri. Pada masa itu pakaian seragam adalah baju kemeja berwarna putih dan berseluar panjang atau pendek berwarna hitam bagi lelaki dan berskirt hitam bagi pelajar perempuannya.
Impak ketika musim Jepun merentah Sarawak juga turut terpalit kepada sistem pendidikan St Luke. Dan lebih memilukan pengelola mereka pada ketika itu iaitu Father Arthur turut ditangkap oleh tentera Nippon-Go dengan menyumbatkannya ke Kem Tahanan Perang Batu Lintang. Walaupun sedemikian dek kerana perancangan beliau yang sebelumnya iaitu menjadikan bekas pelajar terbaik St Luke menjadi pengajar akhirnya sistem persekolah di sekolah ini tetap diteruskan oleh Encin Anding, Encik Linggang dan Puan Lily Gary.
Dan demi kelangsungan sekolah St Luke juga, tenaga pendidik mereka terpaksa menerima sistem pendidikan ala-ala Jepun seperti yang diperintah oleh Jeneral Tentera Jepun Borneo pada masa itu. St Luke juga di dalam sejarah adalah antara sekolah-sekolah yang mengajar bahasa Jepun kepada pelajar serta mewajibkan setiap kelas dimulai dengan lagu kebangsaan Jepun. Jika ini tidak dilakukan maka ramailah pengajar serta pelajarnya yang akan dihukum di panas teriknya mentari oleh tentera Jepun sekiranya ketahuan.
Setelah Jepun menyerah kalah akibat daripada pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945, Father Arthur yang dibebaskan telah kembali semula ke St Luke kerana disinilah cintanya bermula. Beliau kembali kepada tugasannya sehinggalah beliau bersara pada tahun 1957. Dan tahun-tahun selepas itu, St Luke School terus melahirkan ramai anak-anak tempatan yang pintar dan bijak-bijak serta mampu kembali menabur bakti buat sekolah lama mereka ataupun ada yang sudah mampu menjawat pekerjaan di sektor awam mahupun kerajaan sehinggalah sekarang.
Saint Luke School kewujudannya sudah lebih 154 tahun semenjak ditubuhkan pada tahun 1863 dan sehingga sekarang masih berdiri megah sebagai antara nadi penting untuk pendidikan bagi anak-anak di Sri Aman.
Setiap daerah mempunyai nilai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayangnya.
Photo credit to St. Thomas Cathedral Kuching Official Website
Rujukan:
1. 14 SMKs That Are Over 100 Years Old And Still Going Strong
http://says.com/my/news/ole-school-malaysian-highschool
2. Sejarah SMK Saint Luke
http://smksaintlukelumni.weebly.com/history.html
3. St Thomas’ Cathedral Kuching Official Website
http://stthomascathedralkuching.org/web/?page_id=7341