top of page

LAPANGAN TERBANG BARIO


LAPANGAN TERBANG BARIO


MUNGKIN ramai tidak mengetahui bahawa Sarawak adalah antara lokasi di dunia yang menghimpun jumlah paling banyak lapangan terbang kecil atau di dalam istilah dunia aero angkasa digelar “STOLport”. Dan untuk konteks Sarawak bila berbicara taburan lapangan terbang kecil yang banyak adalah kerana adanya perang yang tidak perlu pernah berlaku iaitu Konfrontasi Indonesa-Malaysia suatu waktu dahulu.


Namun berbeza dengan satu lapangan terbang yang masih wujud di Sarawak sehingga ke hari ini iaitu yang terletak kira-kira 3280 di atas paras laut iaitu Lapangan Terbang Bario. Ini kerana walau daerah ini terletak jauh nun seperti di atas kayangan kerana terletak di dataran tanah tinggi Kelabit tetapi ianya menyimpan satu sejarah yang amat unik sekali.


Menguak pintu sejarah lapangan terbang Bario ini sebenarnya mempunyai perkaitan secara langsung dengan kedatangan tiga orang mubaligh kristian dari Australia ke bumi Sarawak pada tahun 1928. Mereka adalah Hudson Southwell, Frank Davidson dan Carey Tolley. Ketiga-tiga mereka merupakan pengasas kepada Borneo Evangelical Mission yang mendapat kebenaran daripada Rajah ketiga Sarawak Kingdom iaitu Sir Charles Vyner Brooke untuk menjalankan misionari kristianiti di Sarawak pada ketika itu iaitu bermula di Limbang dan kawasan sekitarnya.


Hanya pada taun 1939, Borneo Evangelical Mission (BEM) mula menghampiri bumi Bario iaitu apabila perjalanannya dimulai oleh Frank Davidson. Sejak daripada itu masyarakat Kelabit yang rata-ratanya sebelumnya adalah mereka yang mempercayai bahawa setiap penghidupan mempunyai perkaitan secara langsung dengan sumber alam semulajadi telah memilih agama kristianiti sebagai kepercayaan azali mereka. Malah dikatakan hanya pada lewat tahun 1920an baharulah perang meluaskan wilayah yang menyaksikan banyak kepala bercerai daripada badan itu benar-benar terhenti di kalangan masyarakat Kelabit dan kawasan sekitarnya.


Bukanlah sesuatu yang mudah untuk menukar kepercayaan masyarakat Kelabit pada masa itu dan dengan usaha yang bersungguh-sungguh akhirnya ia mendapat tempat jua dihati masyarakat tempatan. Menurut sejarahnya mereka yang paling awal memeluk agama Kristian adalah seorang ketua kampung di Pa’ Terap Settlemant iaitu yang bernama Taman Bulan. Sejak daripada itu satu demi satu anak buahnya memilih untuk mengikuti agama Kristian yang diperkembangkan oleh BEM pada ketika itu.


Jika kita menggodek sejarah lama iaitu di ketika Perang Dunia Kedua berlangsung mungkin kita akan merasa pelik kenapa harus Operasi Z atau Operasi Semut itu dimulai dengan satu grup tentera berpayung terjun menjengah ke bumi Bario? Ini kerana pada ketika itu Bario masih belum mempunyai lapangan terbang langsung untuk mereka mendarat pesawat mereka.


Hanya pada tahun 1953 barulah Lapangan Terbang Bario itu dibina di bumi Bario dan bukanlah oleh pihak tentera mahupun kerajaan Koloni Mahkota Sarawak Borneo sebaliknya adalah dibiayai sepenuhnya oleh Borneo Evangelical Missionary. Tuntutan untuk mempunyai satu lapangan terbang di Bario pada masa itu perlu bagi memperhebatkan lagi kegiatan missionari di seluruh wilayah pada masa itu.


Sekitar tahun 1961, barulah Lapangan Terbang Bario mendapat perhatian daripada pihak Koloni Mahkota Sarawak Borneo dengan menaiktaraf lapangan terbang itu sepenuhnya. Dan sejak itu lapangan terbang itu terus dijadikan antara wadah pengangkutan untuk menghubungkan Bario dengan dunia. Hanya pada tahun 1996, barulah Kerajaan Sarawak, Malaysia mula membina landasan konkrit sehinggalah baru-baru ini ianya dinaiktaraf semula sesuai dengan tuntutan masakini.


Buat masa sekarang jika hendak ke Bario masih belum ada penerbangan langsung daripada Kuching International Airport (KIA) sebaliknya haruslah mengambil penerbangan dari Ba’ Kelalan atau Marudi atau Miri. Pesawat yang digunakan adalah pesawat MAS yang dikendalikan oleh MASwings iaitu jenis twin otter dan mengambil masa jarak perjalanan kira-kira 50 minit untuk sampai ke destinasinya.


Berbicara mengenai pesawat twin otter ini untuk ke Bario pula mempunyai keunikan yang tersendiri. Ini kerana setiap penumpang disyaratkan hanya boleh membawa bagasi sekitar 10 kilogram sahaja ke Bario. Dan dari Bario pula hanya dibenarkan membawa 15 kilogram bagasi. Kesemuanya diberikan peraturan sebegitu rupa kerana dikatakan landasan lapangan terbang Bario terlalu pendek dan tidak boleh menerima berat yang berlebihan.


Dek kerana hubungan pengangkutan udara itu adalah yang utama bagi Bario maka acapkali permintaannya samada dari penumpang masyarakat tempatan dan pelancong terlalu banyak. Jadi bagi mengelak keperluan masyarakat tempatan dimonopoli oleh keuntungan dari pelancong yang berpusu-pusu ke Bario, pengendali MASwing telah memberikan keistimewaan kepada mana-mana masyarakat Bario untuk terlebih dahulu mendapat tempat di penerbangan mereka dan kemudian barulah mereka yang dari luar.


Itu cerita keistimewaan untuk masyarakat Bario sebelum siapnya landasan yang baru kerana sekarang segalanya sudah dinilai samarata kerana kadar penerbangan ke Bario sudahpun banyak berbanding sebelumnya. Bario walaupun daerah yang terasing nun jauh di tanah tinggi namun lokasinya sentiasa memikat jiwa pengunjungnya baik kerana keunikannya yang masih mengekalkan tradisi masyarakat Kelabit juga kerana keadaan semulajadinya yang tidak terusik oleh waktu.


Tidak kenal maka tidak cinta.




Rujukan:

1. The Borneo Evangelical Mission (BEM) and The Sidang Injil Borneo (SIB) 1928-1979 by Jim Huat Tan

2. http://www.ocms.ac.uk/abstracts/pdf/2008_jhtan.pdf

  1. http://bariohighlandcountrycottageresort.blogspot.my

bottom of page