top of page

ORENG @ ILUT ETNIK PENAN


ORENG @ ILUT ETNIK PENAN

- Seruling Mulut Dan Tangan Masyarakat Penan, Sarawak

BERBICARA mengenai peralatan alat muzik tradisional yang ada di dalam masyarakat Sarawak sebut sahaja sape sudah terkenal seantero dunia malah sekarang sudahpun membarisi persembahan acara-acara bertaraf dunia. Malah tarian-tarian tradisional seperti Ngajat bagi masyarakat Iban, Tarian Beuh bagi Bidayuh dan Datun Julud untuk Kaum Orang Ulu sememangnya antara seni tari yang global sekarang.


Untuk konteks etnik Penan iaitu salah satu pembentuk masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak sudah tentu amat kurang kita mengetahui mengenai mereka. Baik dari tarian mahupun alat muzik tradisional mereka yang mana jika diikutkan sejarah mereka adalah antara yang terawal sekali dijejaki pernah ada di Borneo. Walau tidak banyak publisiti namun hakikatnya etnik Penan itu tidak pernah kurang dengan seni budaya mereka dan keunikannya juga tidak pernah kalah dengan etnik-etnik yang pelbagai di Sarawak Bumi Kenyalang.


Oreng atau Ilut merupakan alat muzik tradisional masyarakat Penan yang begitu unik sekali untuk kita ketengahkan. Ini kerana jika disamakan dengan peralatan muzik moden yang sering dimainkan di dunia barat ianya hampir seia dengan instrumen yang dikenali dengan nama “jaw harp”. Bezanya jika di dunia barat ianya boleh dimainkan oleh mana-mana jantina tetapi untuk masyarakat Penan pula, Oreng atau Ilut itu hanya jantina wanita yang boleh memainkannya.


Umum mengetahui betapa masyarakat Penan itu begitu menghormati alam semulajadi dan setiap bibit penghidupan mereka sehingga ke hari ini masih lagi dikuasai oleh kepercayaan seperti itu. Dan kerana suatu waktu dahulu, etnik Penan ini terkenal dengan berburu di hutan belantara sebagai mata pencarian mereka maka ianya juga sinonim dengan kepercayaan mengenai hanya wanita sahaja dibenarkan untuk memainkan oreng. Sekiranya ada jantina lelaki yang memainkannya adalah dipercayai mereka akan sesat di hutan yang mana sesuatu yang agak mustahil bagi etnik yang terkenal dengan berburu ini.


Dek kerana etnik Penan ini sentiasa mendekatkan diri mereka dengan alam semulajadi maka banyak juga peralatan muzik tradisional mereka juga diperbuat daripada pokok yang ada di dalam kitaran hidup mereka. Sebagai antara etnik di Sarawak yang mana makanan ruji mereka adalah berasaskan pokok sagu seperti linut maka mereka juga turut mengunakan setiap apa yang ada dari pokok itu. Maka Oreng atau Ilut juga diperbuat daripada pokok sagu kerana ianya senang didapati malah begitu mudah untuk membelahnya menjadi sebatang Oleng selain ringan.


Jangan pandang sipi-sipi untuk menjadi seorang pakar di dalam meniup seruling mulut dan tangan ini kerana ianya tidaklah semudah yang disangka. Di dalam tiupan Oreng harus ada kelembutannya agar ianya boleh memberi impak kepada setiap halwa telinga yang mendengarnya. Masyarakat Penan mempercayai bahawa setiap irama atau nada Oreng yang dimainkan sebenarnya mampu mengukir rasa dalaman setiap peniupnya samada di dalam emosi gembira mahupun kesedihan.


Mungkin ramai antara kita tidak pernah mendengar Oreng ini dimainkan kerana ianya tidak begitu diketengahkan dan yang lebih membimbangkan dikatakan yang pakar-pakar peniup Oreng hanya dikalangan warga emas masyarakat Penan. Ini kerana generasi muda mereka tidak begitu berminat untuk mempelajarinya.


Harus ada satu mekanisma yang pro-aktif bagi memastikan alunan Oreng atau Ilut ini akan dimainkan sampai bila-bila kerana ini merupakan satu warisan yang harus kita pertahankan. Janganlah satu hari nanti kita hanya mampu melihat Oreng dengan peniupnya di dalam gambar-gambar vintage ataupun “youtube”, itupun jikalau pernah ada yang merekodkannya.


Tidak kenal maka tidak cinta.




Kredit gambar: CJ.MY


Rujukan:


1. Citizen Journalist Malaysia, 16 Mei 2012 oleh Gayut Lim

http://cj.my/post/64555/keunikan-alat-muzik-masyarakat-penan/

2. Penan Music

https://picnicwiththepenan.wordpress.com/2011/03/07/penan-mu

https://picnicwiththepenan.wordpress.com/2011/03/07/penan-music/

bottom of page