top of page

BANGUNAN PAVILION


BANGUNAN PAVILION


JEJAK warisan peninggalan pemerintahan keluarga Brooke hampir 100 tahun di Sarawak boleh dilihat dari Kuching sehinggalah ke Limbang. Banyak kubu-kubu Brooke bertebaran di mukabumi Sarawak dan begitu juga dengan arkitektur bangunan ala-ala Eropah yang tertumpu di ibunegerinya iaitu Kuching.


Berbicara mengenai berdiri dengan megahnya bangunan ala-ala di negara Eropah sebenarnya kebanyakannya didirikan di ketika pemerintahan Rajah ke-2 iaitu Sir Charles Brooke. Ini kerana beliau mempunyai satu prinsip iaitu menginginkan Sarawak itu dilihat sebagai sebuah negara yang berkonsepkan senibina eropah walau berada di gugusan nusantara.


Bangunan Pavilion adalah antara senibina tinggalan Brooke yang masih wujud sehingga ke hari ini. Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa bangunan Pavilion ini merupakan bangunan bertingkat yang pertama pernah wujud di Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu. Dibina pada tahun 1907 dengan mengetengahkan arkitektur zaman “renaissance” dan kolonial Inggeris. Ianya juga turut menjadi sejarah apabila dikatakan sebagai satu-satunya bangunan yang menggunakan binaan konkrit bercerucuk kayu.


Pembinaan bangunan Pavilion sewaktu zaman Brooke adalah semata-mata untuk memenuhi tuntutan kesihatan dan perubatan penjawat-penjawat bangsa Eropah dan keluarga Brooke. Dek kerana itulah suatu waktu dahulu ianya turut digelar sebagai “European Hospital” kerana hanya bangsa Eropah bersama keluarga Brooke sahaja yang dibenarkan untuk mendapat rawatan disini.


Diceritakan “European Hospital” yang menempatkan Ibupejabat Perubatan Sarawak Kingdom dilengkapi dengan pelbagai asas dan ruang kesihatan yang terkini. Di aras bawahnya sahaja dilengkapi dengan beberapa buah bilik konsultansi, sebuah makmal perubatan dan ruang pejabat para pegawai perubatan. Manakala aras satunya pula menempatkan barisan katil-katil pesakit serta mempunyai beberapa buah bilik ekslusif seandainya ada keluarga Brooke yang tidak sihat.


Dan bagi memudahkan jururawat dan kakitangan perubatan Sarawak Kingdom yang bertugas di “European Hospital” ini, aras tiga pula dijadikan asrama untuk mereka. Selain itu atas kehendak para penjawat awam bangsa Eropah juga untuk bahagian bumbung bangunan ini sengaja direka di dalam bentuk mendatar agar memudahkan mereka untuk melihat cahaya matahari sewaktu pagi dan juga panorama senja Kuching suatu waktu dahulu.


Itu ceritanya bangunan Pavilion sewaktu zaman Brooke dan lain pula apabila sewaktu “musim Jepun merentah Sarawak”. Walau ada sesetengah bangunan di Sarawak yang hancur dibom sewaktu Perang Dunia Ke-2 berlangsung, ternyata bangunan Pavilion masih lagi dipanjangkan umurnya. Tidak sedikitpun ianya tercalar malah keberadaannya yang masih baik itu menyebabkan pemerintah tentera Nippon Go pada masa itu menjadikan ianya sebagai pejabat pemerintahan mereka.


Oleh kerana ianya sebuah hospital pada asalnya maka dikatakan disinilah juga pegawai tinggi tentera Jepun mendapat khidmat perubatan. Dan sekali lagi ianya juga merupakan hospital ekslusif yang dikhaskan untuk para jeneral Jepun sahaja sementara tentera dan orang ramai masih lagi ditempat lain.

Di era Sarawak menjadi jajahan Koloni Mahkota Sarawak British pula, bangunan Pavilion dijadikan sebagai ibupejabat kepada Jabatan Pelajaran Sarawak. Malah di ketika Sarawak sudah membentuk Malaysia bersama-sama dengan Malaya, Singapura dan Sabah, ianya masih lagi menjadi pejabat kepada jabatan kerajaan itu sehingga tahun 1970.


Oleh kerana kedudukan bangunan Pavilion ini begitu dekat dengan bangunan Mahkamah Sarawak iaitu hanya bersebelahan sahaja maka selepas tahun 1970, ianya dijadikan sebahagian daripada pejabat kepada Jabatan Kehakiman Sarawak. Sehinggalah pada tahun 2000, penghuni bangunan Pavilion telah berpindah tangan dengan menjadikannya sebagai Muzium Tekstil Sarawak sehinggalah sekarang.


Di Muzium Tekstil inilah berhimpunnya segalanya mengenai sejarah tekstil Sarawak seperti pua kubu, pakaian tradisi dan banyak lagi. Ianya menjadi antara tempat wajib dilawati apabila berkunjung ke Kuching, Sarawak Bumi Kenyalang. Dan bangunan Pavilion ini masih utuh lagi dipulihara sebagai antara saksi bisu Sarawak yang telah ditransformasi dari era pemerintahan yang berbeza.


Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.




Kredit foto: Sarawak Tourism



Rujukan:

1. Jabatan Muzium Sarawak Official Website - Muzium Tekstil

http://madtech.com.my/demo/museum/index.php/bm/mengenai-muzium/muzium-tekstil/

2. Sarawak Historical Sites; A Glimpse Of Sarawak By-Gone Era

http://www.sarawak-vacation-destinations.com/sarawak-historical-sites.html

3. The Star, 17 January 2017 by Kuching Wonderful Architecture by Geryl Ogilvy

http://www.thestar.com.my/metro/focus/2017/01/17/kuchings-wonderful-architecture-many-historical-sites-illustrate-the-influence-of-early-settlers/

4. Sarawak Textile Museum, Kuching

http://www.timothytye.com/asia/malaysia/sarawak/kuching/sarawak-textile-museum.htm

bottom of page