SERANG HENDAP KOMUNIS DI BUKIT BEGUNAN, 1970
SERANG HENDAP KOMUNIS DI BUKIT BEGUNAN, 27 DISEMBER 1970
BERBICARA konteks perang-perang yang pernah terjadi di Sarawak, anggota Pasukan Polis Hutan adalah antara yang menjadi benteng barisan hadapan mempertahankan kedaulatan negara. Tidak begitu banyak yang didokumenkan mengenai kisah perjuangan mereka dan ini tidak bermakna kita harus melupakannya.
Menguak pintu sejarah zaman komunis di Sarawak, banyak wilayah Sarawak pada masa itu disenaraikan sebagai kawasan hitam dan salah satunya adalah Simanggang, nama lama bagi Sri Aman sekarang. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa pernah ada satu pertempuran berlaku di satu lokasi bernama Bukit Begunan pada tahun 1970. Satu serangan hendap yang dilakukan oleh sekumpulan komunis durjana ke atas satu konvoi pasukan Polis Hutan dari Kem Temudok, Simanggang pada waktu itu.
Kesemuanya bermula apabila 12 orang anggota PPH telah diarahkan untuk menyertai satu Program Jiwa Murni di satu perkampungan di Lachau, Pantu, Simanggang. Program Jiwa Murni adalah antara program kemasyarakatan yang sentiasa dilakukan oleh anggota keselamatan kita samada membina rumah, jambatan serta banyak lagi bagi kemudahan penduduk setempat.
Pada tanggal 27 Disember 1970, setelah menikmati sarapan pagi kesemua 12 orang anggota PPH telah berhimpun di Kem Temudok dan menggunakan dua kenderaan dengan berkonvoi ke perkampungan tersebut. Konvoi pertama adalah sebuah trak manakala konvoi kedua merupakan kereta perisai polis. Sudah menjadi kebiasaan sejak dahulu lagi, setiap perjalanan anggota keselamatan akan dibahagikan bagi tujuan keselamatan kerana terjahan daripada musuh boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengira tempat.
Sekitar jam 9.00 pagi ketika melalui satu jalan diantara perkampungan Ran dan Punggu, Simanggang tanpa konvoi anggota PPH ini sedari, pergerakan mereka diperhatikan oleh sekumpulan gerila komunis yang bersembunyi di sebalik hutan belukar jalan tersebut. Bukannya sedikit yang menunggu mereka sebaliknya difahamkan 18 orang komunis yang sudah siaga dengan senjata mereka di dalam tiga kumpulan.
Usai sahaja konvoi pertama iaitu trak anggota PPH cuba membelok di satu selekoh pada masa itulah hujan peluru mula meledak ke atas trak tersebut. Terkesima dengan serangan tanpa amaran itu menyebabkan ramai antara anggota PPH di dalam trak cuba mencari perlindungan yang ada sambil-sambil berbalas tembakan. Walaupun hanya berlapan orang pada masa itu, sedikit mereka tidak gentar berhadapan dengan 18 orang komunis. Dengan kudrat yang ada, lawan tetap lawan walaupun nyawa jadi taruhan.
10 minit berlangsung serang hendap terhadap konvoi yang pertama barulah konvoi kedua iaitu kereta perisai menghampiri kawasan serangan. Untuk meninggalkan rakan-rakan seperjuangan yang sedang bertempur bukanlah adat mereka malah walau hanya berempat di dalam kereta perisai, anggota PPH ini turut berbalas tembakan dengan kumpulan komunis tersebut.
Namun sayangnya perjalanan konvoi kedua terhenti betul-betul di tengah jalan apabila dikatakan komunis berjaya menembak tepat pada tayar kereta perisai. Dikala itulah pemanduan sudah tidak terkawal menyebabkan kereta perisai tersebut melanggar satu bukit. Di kala ini kesemua yang di dalam kereta perisai sudah menjadi sasaran mudah pihak komunis. Dengan semangat yang ada, Lans Koperal Empaga dan dua lagi rakannya keluar dari kereta perisai dan berlindung di sebalik tebing bahu jalan. Dari situlah mereka mendakap erat senjata M16 mereka menghambur peluru ke arah komunis yang menyerang.
Sementara itu, Lans Koperal Tajau Siong pula masih di dalam kereta perisai. Bukannya beliau takut untuk keluar tetapi beliau tidak berenggang langsung dengan senjata brent kereta perisai. Dari situlah beliau menghambur pelurunya secara rambang biarpun keseorangan di dalam kenderaan.
Di dalam hujan peluru bertali arus itulah tanpa Lans Koperal Empaga sedari, beliau sudah terkena tembakan musuh. Ianya betul-betul mengenai bahagian belakang kepalanya dan hanya setelah diberitahu oleh rakannya baharulah beliau merasai kesakitan akibat tembakan tersebut.
Mengikut ceritanya hanya selepas hampir 20 minit pertempuran berlangsung baharulah unit bantuan tiba tetapi dikala itu pihak komunis sudah meloloskan diri. Mungkin mereka mengetahui bahawa pertembungan dengan unit bantuan tidak mampu mereka hadapi. Walau tiada yang terkorban dari kedua-dua pihak namun serang hendap ini sudah berjaya mencederakan beberapa orang anggota PPH termasuklah Lans Koperal Empaga. Kesemua mereka dihantar ke Hospital Simanggang untuk rawatan lanjut.
Inilah antara cerita perang yang dialami oleh anggota Polis Hutan yang mana nyawa mereka sentiasa diambang maut pada bila-bila masa. Kadang-kadang misi mereka adalah untuk menabur bakti pada masyarakat setempat tetapi seringkali di tengah perjalanan pasti akan disekat oleh strategi komunis yang melakukan serangan hendap.
Biar bilangan anggota mereka kurang berbanding dengan musuh tetapi menyerah kalah bukanlah tertulis di dalam diari mereka sebagai anggota polis hutan. Selagi bernafas selagi itulah berjuang untuk agama, bangsa dan negara.
Lest We Forget.
Rujukan:
1. Utusan Online, 6/9/2011 - Jangan Dilupai Perwira Menentang Komunis
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0906&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm
2. Himpunan berita-berita dari Sri Aman
http://sriamannews.blogspot.my/2011/06/sarjan-b-empaga-kijang-pengorbanan.html
3. Sarawak Police Force - Borneo Oracle