top of page

ST ANTHONY SCHOOL SINCE 1932


ST ANTHONY SCHOOL, SARIKEI SINCE 1932


“NON Scholae Sed Vitae” di dalam bahasa latin yang membawa maksud “Education Is For Life” di dalam bahasa Inggeris. Itulah motto sebuah sekolah yang kewujudannya di bumi Sarawak sejak di zaman pemerintahan Brooke lagi. Sekolah St. Anthony nama diberi diasaskan oleh seorang mubaligh Kristian yang di dalam misi untuk menebarkan fahaman Kristian Roman Katolik di bumi Sarawak kira-kira 85 tahun yang lalu.


Menguak pintu sejarah sekitar tahun 1900an, kegiatan misionari amat digalakkan oleh pemerintahan Sarawak Kingdom kerana masih ramai lagi masyarakat di Sarawak masih belum mempunyai pegangan agama yang kukuh. Dan mungkin ramai sudah sedia maklum bahawa penyebaran misionari Kristianiti banyak dilakukan di kawasan pedalaman suatu ketika dahulu.


Untuk lebih mengkhusus di Sarikei sekitar tahun 1930an, seorang paderi telah dengan rela hati bersama-sama dengan mubaligh yang lain telah berkunjung ke Sarikei buat pertama kalinya. Mereka pada masa itu menyinggahi satu kawasan di Sarikei dan kedatangan mereka mendapat sambutan daripada masyarakat tempatan. Jadi mereka dengan begitu cekal telah berjaya membina sebuah gereja kecil buat kegunaan penduduk setempat.


Buat seketika setelah bercampur gaul dengan masyarakat tempatan baharulah mereka memahami betapa sebenarnya ramai anak-anak tempatan pada masa itu masih lagi di dalam lingkungan buta huruf (tidak tahu membaca dan menulis). Dek kerana itulah Bishop John Baus telah mengambil inisiatif untuk mendirikan sebuah bangsal beratapkan nipah dan bertiangkan kayu di satu tempat berdekatan dengan Jalan Repok sekarang.


Biar hanya sebuah bangsal dan serba-serbi kekurangan namun demi untuk memastikan anak-anak tempatan mampu diberikan pendidikan asas ianya bukanlah persoalan yang besar. Bagi menghormati ajaran misionari Kristianiti Roman Katolik yang dibawa oleh Bishop John Baus dan rakan-rakannya maka sekolah tersebut dinamakan bersempena dengan nama Saint Antony of Padua yang juga dikenali sebagai Anthony of Lisbon, seorang paderi lagenda kelahiran Lisbon, Portugal yang sebenarnya anak orang berada tetapi meninggalkan segalanya bagi memastikan misionari kristian Roman Katolik disebarkan di seluruh dunia suatu waktu dahulu.


Bukanlah senang untuk membuat satu pembaharuan di dalam masyarakat lebih-lebih lagi apabila kita berkata dogma pemikiran masyarakat di pedalaman suatu waktu dahulu. Dan begitulah juga diawal penubuhan sekolah St. Anthony kerana diceritakan dari awal ianya dibuka iaitu pada tahun 1932 hanya mempunyai lapan orang pelajar dan diajar oleh hanya seorang guru. Namun atas kesabaran guru ini pada tahun berikutnya jumlah pelajar iaitu pada tahun 1933 seramai 24 orang murid kesemuanya.


Pada tahun 1935 pula, keperluan untuk mendapatkan sebuah sekolah yang lebih besar semakin mendesak yang pada akhirnya Reverend Father Quadekker telah berhempas pulas memohon persetujuan daripada Rajah Sarawak pada masa itu untuk memberikan satu tanah kepada mereka. Hasil usaha tanpa henti beliau berbaloi apabila permintaan mereka didengar oleh Rajah CV Brooke lantas memberikan satu tanah betul-betul berhadapan dengan Jalan Repok.

Dikatakan bantuan untuk membina sekolah St. Anthony juga turut disumbangkan maka terbinalah satu sekolah yang lebih baik daripada hanya sebuah bangsal yang menempatkan empat buah bilik darjah. Dan oleh kerana bantuan kewangan tidaklah seberapa bangunan sekolah St. Anthony pada masa itu turut bersambung dengan tempat kediaman guru-guru yang mengajar di sekolah tersebut. Jangkamasa pembinaan sekolah ini hanya benar-benar siap pada tahun 1937 iaitu hampir dua tahun tempohmasanya.


Dikala “musim Jepun merentah Sarawak’ pada tahun 1941 hingga 1945 menyaksikan sistem pembelajaran di sekolah ini terhenti sama sekali. Ini kerana Jeneral Nippon Go pada masa itu lebih mementingkan kehendak untuk tentera-tenteranya. Hampir 5 tahun, sekolah ini dihuni sepenuhnya oleh tentera Jepun sebagai kuarters kediaman mereka.


Selepas Sarawak dijadikan jajahan Koloni Mahkota Sarawak British, sekolah ini terus berkembang dengan jayanya. Satu persatu penambaikan pada bangunan sekolah telah menjadikan ianya menjadi satu sekolah yang serba serbi ada. Jumlah pelajar juga semakin bertambah sesuai dengan kepekaan masyarakat tempatan bahawa pendidikan itu adalah salah satu yang utama di dalam penghidupan mereka.


Sehingga ke hari ini, Sekolah St Anthony di Sarikei masih kekal gagah sebagai antara sekolah yang berjaya mengeluarkan ramai pelajar-pelajar bijak pandai pelbagai kaum di Sarawak. Malah sekolah ini masih lagi mengungguli sekolah terbaik di Sarikei yang saban tahun memberikan keputusan yang cemerlang baik dari segi peperiksaan awam mahupun sukan. Bukan sedikit alumni “Anthonian” yang membarisi jawatan utama di sektor awam mahupun swasta di Sarawak.


Setiap daerah mempunyai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayangnya.




Rujukan:


1. Borneo Post, 20 Disember 2013 - SMB St Anthony Still Top School In Sarikei

http://www.theborneopost.com/2013/12/20/smk-st-anthony-still-top-school-in-sarikei/

2. St Anthony School, Sarikei (SAS) Public Group FB

https://www.facebook.com/groups/6329626777/


bottom of page