KAPT (B) DAVID FU CHEE MING
JEJAK PAHLAWAN SARAWAK: KAPT (B) DAVID FU CHEE MING
BERBICARA dari konteks penerima anugerah keberanian yang ada di Malaysia umumnya dan Sarawak khususnya, sudah tentu jika kita menggodek senarainya nama-nama etnik bumiputera yang akan membarisinya dengan banyak sekali. Dan tanpa kita sedari ada satu nama yang begitu istimewa kerana beliau merupakan seorang kaum Cina dari Sarawak yang keperwiraannya di dalam satu pertempuran di bumi Semenanjung Malaysia tidak boleh disangkal sama sekali.
Kapten (B) David Fu Chee Ming mungkin satu nama yang tidak begitu popular di kalangan rakyat Sarawak namun sebenarnya kehebatan anak kelahiran Sibu ini amat dihormati oleh rakan dan taulan di dalam dunia ketenteraan sehinggalah beliau bersara. Dilahirkan pada tanggal 24hb Mei 1945 merupakan anak ketiga daripada 10 orang adik beradik. Diceritakan ayahnya merupakan seorang penjawat awam Kerajaan Sarawak iaitu bertugas sebagai juruteknik di Jabatan Tanah Dan Survei di Sibu.
Bekas penuntut Sekolah Methodist Sibu ini, lulus GCE pada tahun 1963 dan langsung memulakan karier sebagai salah seorang penjawat awam di Jabatan Pertanian Sarawak di Bintulu. Namun walaupun sudah mempunyai pekerjaan tetap yang akan menjamin masa depannya, dikatakan jiwanya sentiasa memberontak untuk menjadikan dunia ketenteraan sebagai karier mutlaknya. Makanya pada tanggal 28hb Julai 1967, beliau mendaftarkan diri sebagai seorang pegawai Kadet dibawah program Short Service Commission di Kolej Tentera Diraja di Sungai Besi.
Usai menamatkan kursus asas ketenteraan dan pada masa itu 6 Renjer baru sahaja dibentuk dan beliaulah antara anggota tentera berpangkat Leftenan Muda pertama yang terpilih untuk menyertai 6 Renjer di Kem Terendak, Melaka pada masa itu. Dek kerana kepintaran dan cara beliau membawa diri juga menyaksikan beliau turut diberikan kepercayaan untuk menjadi Ketua Platun 8 Kompeni C 6th Renjer pada masa itu.
Kesemuanya bermula apabila pada akhir bulan Julai 1970, pihak risikan tentera telah mendapat maklumat bahawa adanya kelibat satu kumpulan gerila komunis berada di satu kawasan di Kulim, Kedah. Menurut sumber itu juga turut menyatakan bahawa kumpulan gerila komunis ini adalah mereka yang selama ini berada di sempadan Thailand/Malaysia. Mereka cuba memasuki Semenanjung Malaysia untuk membuat kekacauan selepas Peristiwa 16 Mei 1969.
Dek kerana itulah, 6th Ranger yang dibawah pegawai pemerintah Leftenan Kolonel Mansor bin Mohamed Yunus telah diarahkan untuk ke Kulim, Kedah seberapa segera bagi menghalang kumpulan komunis ini untuk terus memasuki wilayah Semenanjung Malaysia. Setelah sampai di Kedah, mereka kemudiannya dihantar ke satu kawasan bernama Pelam Estate di Kulim.
Namun hampir sebulan menunggu di situ masih tiada kelibat musuh yang dijumpai sehinggalah mendapat arahan berdasarkan laporan dari unit risikan mengenai adanya sekumpulan komunis dengan jumlah kekuatan hampir 60 orang sedang di dalam perjalanan ke Tanah Hitam bagi menyerang Balai Polis Grik. Jadi pada masa itu Kompeni C 6th Ranger telah diterbangkan melalui Kroh dan kemudiannya ke Klian Intan pada tanggal 23hb Ogos 1970.
Pada jam 3.00 pagi, kesemua anggota Kompeni C sudahpun berada di Tanah Hitam iaitu di bahagian selatan Klian Intan dengan menggunakan trak tentera. Dikatakan trak tentera tersebut langsung tidak berhenti sebaliknya dipandu perlahan sementara anggota Kompeni C terjun dari kenderaan tersebut satu persatu dan kemudian mereka berjalan menuju ke Gunung Paku seterusnya ke Grik.
Bayangkan bukanlah sesuatu yang mudah bagi seorang anggota tentera untuk melakukan pergerakan senyap seperti itu. Ini kerana kita sendiri sudah sedia maklum bahawa setiap anggota tentera sudah tentu akan membawa beg galas yang beratnya hanya mereka sahaja yang mengetahui dan bersenjata. Manakala pergerakan senyap anggota Kompeni C pada masa perlu bagi memastikan kehadiran mereka tidak disedari oleh penduduk tempatan yang mungkin juga salah seorang pemberi maklumat kepada komunis.
Setelah kesemua Kompeni C berkumpul di satu kawasan, sudah ada anggota komando dari unit Vat 69 menanti mereka. Dengan perancangan yang teliti, Kompeni C telah dibahagikan kepada tiga unit platun. Platun 7 dibawah Leftenan Muda Amar Kumar Chaudurry, manakala Platun 8 pula diketuai oleh Leftenan David Fu Chee Ming sementara Mejar Ismail sendiri mengepalai Platun 9. Ketiga-tiga unit platun ini ditugaskan untuk menyerang hendap pada lokasi yang berbeza dari pelbagai arah.
Platun 8 pimpinan Leftenan David seramai 26 orang keanggotaannya merupakan platun barisan hadapan. Mereka membuat pertahanan di satu kawasan berbukit dan mula membuat apa yang dirancangkan. Menurut perancangan, unit platun 8 hanya mempunyai masa 48 jam untuk membuat segala yang diarahkan. Jadi sememangnya ia menuntut kerja-kerja tanpa henti sepanjang tempoh tersebut.
Platun 7 dan Platun 9 juga berada di tempat masing-masing. Juga mempunyai kerja-kerja pertahanan yang harus disiapkan dalam tempoh 48 jam. Dan demi memastikan kehadiran mereka langsung tidak disedari, aktiviti memasak mahupun menyalakan api langsung tidak boleh diadakan pada waktu malam sebaliknya bila siang sahaja. Kesemua mereka hanya bergantung pada bekalan yang dibawa bagi menggalas perut mereka. Minum air kosong dari anak sungai kecil itu sudah biasa bagi mereka.
Hampir dua hari menunggu tanpa ada petanda gerila komunis mendatangi kawasan mereka akhirnya pada tanggal 27 Ogos 1970, beberapa orang anggota unit Platun 8 terdengar bunyi-bunyian ranting kayu dipijak di kawasan mereka. Bunyi ranting-ranting kayu dipijak ini semakin banyak yang menyebabkan kesemua anggota unit Platun 7, 8 dan 9 siaga di kedudukan masing-masing dan terus berdebar-debar menunggu musuh yang boleh menjelma pada bila-bila masa.
Dan seperti yang dijangkakan musuh benar-benar muncul di kawasan unit Platun 8 pimpinan Leftenan David Fu. Pada jarak dekat seorang daripada musuh sudah mendepani Renjer Abu bin Mat dan Lans Koperal Abdullah tanpa dia sedari. Tanpa berlengah dikala itulah Lans Koperal Abdullah menghambur pelurunya ke arah musuh. Maka bermulalah hujan peluru antara kedua-dua belah pihak. Diperkira pertempuran ini berlaku sekitar jam 3.45 petang, 27 Ogos 1970.
Leftenan David turut menghamburkan peluru dari senjata M79 kearah musuh. 15 minit kemudian beliau terdengar jeritan kesakitan seorang wanita di sebalik pohon tidak jauh beliau berada. Dikala itulah beliau mampu melihat pada jarak dekat ada seorang lagi lelaki sedang bersusah payah membantu wanita tersebut untuk sama-sama meloloskan diri. Bagi memastikan tiada musuh yang mampu meloloskan diri, Leftenan David menggunakan senjata SLR menembak kedua-duanya.
Sekitar jam 4.20 petang barulah kawasan itu senyap sunyi dari bunyi tembakan. Kesemua unit platun 8 telah mula berhimpun dan mana-mana yang cedera diberikan rawatan. Namun dalam pada itu mereka sentiasa masih siaga kerana sekiranya ada terdengar bunyi dari musuh, maka grenade akan dihumbankan ke kawasan tersebut. Leftenan David amat risau dengan keberadaan unit platun 7 dan 9 maka beliau telah cuba berkomunikasi radio dengan Mejar Ismail. Rupa-rupanya di bahagian Mejar Ismail dan platun 9 masih lagi di kancah pertempuran. Sekitar jam 5.20 petang baharulah ianya reda.
Walaupun sudah reda namun kesemua unit platun Kompeni C tetap siaga kerana kebarangkalian untuk musuh menyerang kembali itu ada. Hanya sebelah pagi esoknya barulah mereka mula memeriksa kawasan sekitarnya. Mayat-mayat musuh dikumpul satu persatu. Pada pertempuran ini lima mayat musuh ditemui dan salah seorangnya wanita. Salah seorang mayat lelaki adalah orang yang paling dikehendaki pada masa itu malah ganjaran $8,000 bagi sesiapa yang berjaya menangkap mahupun membunuhnya di negara jiran. Disamping itu turut dirampas beberapa senjata berat pihak musuh.
Biar kemenangan di pihak anggota pertahanan Malaysia namun Kompeni C 6th Renjer masih berkubu di kawasan tersebut selama dua hari lagi. Dikala itulah kejayaan mereka diraikan oleh Briged Komander serta beberapa orang ketua polis Vat 69. Kompeni C 6th Renjer telah berjaya mematahkan serangan ke atas Balai Polis Grik. Jika tidak kerana strategi dan keberanian mereka sudah tentu nyawa anggota polis dan orang awam di Grik akan ramai yang melayang.
Usai pertempuran di Tanah Hitam itu menyaksikan Kapten David Fu nekad untuk bersara awal kerana ingin pulang ke pangkuan keluarganya di Sibu. Beliau bersara pada 25 Februari 1971 setelah hampir 4 tahun mencurahkan bakti dan tenaganya untuk negaranya, Malaysia. Atas keberaniannya juga, Mejar Ismail dan Leftenan David Fu Ming Chee telah dianugerahkan Pingat Gagah Berani oleh Yang Dipertuan Agung pada 2hb June 1971.
Agi Idup Agi Ngelaban
Rujukan:
1. Keberanian Dan Pengorbanan - Malaysia Army Official Website
https://army.mod.gov.my/index.php/en/about-us/hsitory/sacrifice
2. http://renjervalour.blogspot.my/2005/11/major-ismail-salleh-pgb-lt-david-fu.html
3. Penerima Pingat Gagah Berani
https://btdmonline.net/wp-content/uploads/pdf-light-viewer/10322-pdfs/page-00021.pdf