FROM BELADIN WITH LOVE
FROM BELADIN WITH LOVE
LOKASINYA terletak di muara Sungai Saribas yang berhadapan dengan Laut China Selatan menyaksikan ianya antara perkampungan yang sinonim dengan aktiviti lautnya. Terletak kira-kira 468 km dari bandaraya Kuching iaitu ibunegeri Sarawak Bumi Kenyalang.
Beladin merupakan satu pekan kecil yang terletak di bawah jurisdiksi Bahagian Betong iaitu Bahagian ke-11 yang membentuk Sarawak. Berjiran dengan Maludam juga Pusa dan terdiri daripada beberapa buah perkampungan nelayan seperti Kampung Hulu, Kampung Tengah, Kampung Hilir dan Kampung Darat. Sumber ekonomi utama bagi penduduk di Beladin adalah sumber laut dan dikatakan Beladin merupakan antara perkampungan nelayan Melayu Sarawak yang terbesar.
Sehingga ke hari ini belum ada satu dokumen yang boleh diambil sebagai rujukan bagaimana Beladin mendapat nama. Dan yang hanya ada adalah sumber oral atau lisan dari orang dulu-dulu yang kemudiannya diceritakan dari satu generasi ke generasi yang lain menjadi sandaran.
Alkisahnya suatu waktu dahulu, Beladin merupakan antara salah satu jajahan kepada Kerajaan Kesultanan Brunei. Pada waktu itu untuk kawasan Beladin dan Pusa dijaga oleh seorang pembesar lantikan Brunei. Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari telah datang sebuah kapal seorang saudagar berlabuh di kawasan berhampiran dengan perkampungan Melayu yang tidak bernama itu. Turut dikatakan keberadaan saudagar itu adalah untuk berteduh beberapa hari dari keadaan laut yang bergelora.
Kedatangan saudagar itu disambut baik oleh Ketua Kampung maka diadakan satu jamuan untuk meraikannya. Begitulah adat orang dulu-dulu untuk mengeratkan hubungan antara mereka. Dari perbualan maka Ketua Kampung mengetahui bahawa saudagar itu cuma mencari tempat berteduh sementara menunggu laut tenang kembali.
Dan setelah beberapa ketika akhirnya tibalah masa untuk saudagar berserta anak kapalnya memulakan pelayaran ke destinasi seterusnya. Sebagai tanda persahabatan sebelum saudagar itu memulakan pelayarannya, maka dihadiahkan sebilah pisau atau ladin di dalam bahasa Melayu Sarawak kepadanya. Ditinggalnya pesan kepada saudagar bahawa sekiranya beliau di dalam kesusahan iaitu terpaksa menghadapi cuaca yang buruk di lautan, saudagar itu harus membuang ladin atau pisau itu ke dalam laut luas. Nescaya tiada yang buruk akan berlaku ke atas beliau dan kapalnya.
Hendak dijadikan cerita di ketika di dalam perlayaran ke destinasi seterusnya iaitu beberapa hari kemudian, dikatakan kapal saudagar terpaksa menempuhi perjalanan yang beronak berduri. Cuaca buruk di laut hampir sahaja menenggelamkan kapalnya sehinggalah satu ketika si saudagar teringat akan pesan Ketua Kampung itu lantas membuang ladin yang diberi ke dalam laut.
Dengan tidak semena-mena laut yang mengganas boleh reda dan ini menyebabkan si saudagar merasa sungguh terhutang budi dengan jasa Ketua Kampung. Disebabkan hal itu juga menyebabkan beliau tidak jadi belayar sebaliknya mudik ke kampung di muara Sungai Saribas. Berita mengenai ladin sakti itu tersebar luas di seluruh pelusuk kampung yang mana akhirnya kampung yang tidak bernama itu dinamakan Beladin oleh masyarakatnya.
Ianya mengambil bersempena dengan nama sejenis pisau atau ladin di dalam dialek penduduk tempatan. Mungkin apa yang ditampilkan ini merupakan antara salah satu versi bagaimana Beladin mendapat nama. Dek kerana ianya diceritakan secara oral atau lisan sudah tentu bentuk penceritaannya akan berubah-ubah menurut generasi yang menyampaikannya.
Sumber ekonomi utama masyarakat Beladin yang majoritinya dari kaum Melayu Sarawak adalah sumber berasaskan laut. Rata-rata mereka menjadi nelayan yang membelah lautan saban hari untuk mencari rezeki. Deretan bot-bot tunda dari yang kecil sehingga besar membuktikan masyarakat Melayu di Beladin sudah biasa dilambung ombak dari dahulu sehingga sekarang.
Dek kerana kehebatan mereka menjadi pencari sumber lautan inilah timbulnya beberapa industri berasaskan perikanan di Beladin. Nama Beladin cukup gah sebagai antara tempat pembekal ikan terubuk untuk pasaran tempatan Sarawak. Juga tidak terkecuali dengan produk sotong kering tunok (bakar) dan manis. Selain itu antara “signature dish” bagi masyarakat di Beladin untuk bersarapan mahupun minum petang adalah cucur tepung lemantak. Ianya diperbuat daripada tepung lemantak atau tepung sagu iaitu yang didapati dari pohon rumbia.
Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa sungguhpun Beladin ini nun berada di pedalaman namun namanya begitu gah sekali dengan industri pembuatan kapal dari kayu belian. Sejarah membuktikan bahawa masyarakat Melayu di Beladin telah melahirkan ramai pembuat kapal yang menggunakan teknologi pembuatan kapal Melayu Sarawak. Ianya adalah satu kerja yang mengkhusus yang mana menyaksikan setiap kepakaran itu diwarisi oleh anak cucu sahaja. Kapal-kapal hasil buatan Melayu Sarawak dari Beladin walaupun masih lagi bersifat pembuatan tradisional namun begitu berkualiti tinggi dan tahan lama.
Dahulu mungkin Beladin hanya boleh dihubungi dengan pengangkutan air sahaja kerana terletak di muara sungai namun sejajar dengan waktu dan limpahan pembangunan yang mendatangi Sarawak, Beladin boleh dihubungi dengan pengangkutan air dan darat melalui bandar dan kampung seperti Pusa, Sebuyau, Kuching, dan Sarikei.
Ia mempunyai jalan raya menghubungkan bandar dan kampung di sekitarnya. Jika dari Kuching dengan menaiki kenderaan dengan perjalanan darat terus ke Pusa. Kemudian perlu menaiki feri di Triso dan seterusnya dengan hubungan jalanraya boleh ke Semarang, Meludam serta beberapa perkampungan lagi.
Suatu waktu dahulu, anak-anak Beladin mungkin hanya mengwarisi pekerjaan nenek moyang mereka sebagai nelayan yang bergadang nyawa di lautan luas. Sekarang ramai anak-anak Beladin sudah menjejakkan kaki di menara gading dalam dan luar negara. Ramai antara mereka sudah menjadi penjawat awam dan swasta di bandar-bandar besar di Sarawak.
Setiap daerah mempunyai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayangnya.
Kredit foto: Beladin.pi1m.my
Rujukan:
1. Jelajah Kampung Nelayan
https://www.hmetro.com.my/node/129800\
2. Kapal Kayu Belian Mampu Bertahan Lama
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1214&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_16.htm
3. Beladin - Makanan
http://beladin.pi1m.my/index.php/warga-pi1m/sosio-ekonomi/pelancongan/makanan/49-makanan\