PERJANJIAN ORANG KAYANGAN BERSAMA SUKU SEBUYAU
SIRI 1: KISAH BATANG KAYAN - The Untold Story
- Perjanjian Orang Kayangan Bersama Suku Sebuyau
BATANG Kayan itulah nama satu sungai yang lokasinya di Lundu, Sarawak. Mungkin agak janggal bagi rakyat Sarawak yang sudah maklum bahawa masyarakat Kayan banyak tertumpu penempatannya di Miri, Sarawak. Amat jauh sebenarnya lokasi antara kedua-dua buah tempat ini sehingga memungkinkan ada satu nama sungai yang dinamakan bersempena dengan suku Kayan yang merupakan salah satu pembentuk Kaum Orang Ulu di Sarawak dinamakan di kawasan Lundu sekarang.
Hakikatnya ada satu cerita yang amat jarang diketahui oleh rakyat Sarawak sejarahnya. Dan ditambahlagi sejarah ianya berlaku tidak didokumenkan melainkan menerusi cerita oral orang tua dulu-dulu. Suku Kayan sebenarnya pernah mendiami kawasan Lundu suatu waktu dahulu iaitu menurut cerita oral ianya berlaku diketika Sarawak masih lagi menjadi tanah kuripan kepada Kesultanan Brunei sehingga ke pemerintahan Rajah Sir James Brooke.
Menurut penceritaan secara oral Penghulu Kalong menyatakan bahawa suatu waktu dahulu, masyarakat pelbagai di Sarawak tidak pernah lari daripada sejarah perang saudara. Ianya banyak berkisar kepada niat untuk meluaskan wilayah masing-masing dan membuktikan kekuasaan mereka di satu tempat sehingga orang tempatan ada yang terpaksa mengalah mahupun mengangkat senjata mempertahankan tanah mereka dari didominasi oleh orang luar.
Alkisahnya suatu waktu dahulu pernah berlaku perang saudara antara suku Kayan dengan Orang Undop di Lundu. Sejarah lisan memperkatakan bahawa pada masa itu, suku Kayan telah diburu oleh Orang Skrang dari kawasan Bung Bratak. Dan sememangnya di dalam sejarah kita mengetahui bahawa Orang Skrang sememangnya pernah melakukan penjarahan di Bung Bratak sehingga memaksa Orang Bidayuh bangun menentang mereka. Dan diceritakan juga suku Kayan turut ada di Bung Bratak tetapi di dalam jumlah minoriti.
Akibat daripada serangan dan buruan Orang Skrang menyaksikan suku Kayan yang minoriti ini melarikan diri sehingga ke kawasan Lundu demi survival masyarakat mereka. Namun lain pula jadinya apabila berada di Lundu kerana suku Kayan terlalu bermaharajalela lebih-lebih lagi mereka turut terkenal antara masyarakat yang gah dengan perang kayau mereka.
Di ketika inilah dikatakan Orang Undop menjadi mangsa kerakusan mereka meluaskan kuasa mereka. Mahu tidak mahu Orang Undop yang merupakan antara masyarakat tempatan di Lundu bangun menghunus senjata dan bersatu dengan Orang Sebuyau yang mendiami kawasan persisiran pantai Lundu. Pada masa itulah diceritakan bagaimana kekuasaan mistik Orang Sebuyau banyak membantu kemenangan berpihak kepada mereka.
Tiba pada hari yang ditetapkan maka bersiagalah kesemua pahlawan suku Undop dan suku Sebuyau memerangi Suku Kayan di satu tempat tidak jauh dari Gunung Gading. Jauh sebelum itu diceritakan suku Sebuyau telah menjalankan satu upacara untuk berhubung dengan Puteri Gunung Gading dan Orang Kayangan bernama Rintaiamis bagi memohon bantuan.
Bermulalah episod yang mana sewaktu pertempuran berlangsung diceritakan air sungai tempat lokasi pertempuran telah menjadi aliran sungai yang deras. Pada masa itu juga dikatakan pahlawan Undop dan Sebuyau sedang bersiaga di tepi sungai sementara menanti Suku Kayan berperahu masuk ke sungai tersebut. Dengan aliran yang deras secara tiba-tiba itulah, pahlawan Suku Kayan tidak mampu mengawal perahu mereka sehingga ada mereka terjatuh di dalam sungai dan mati lemas.
Bagi pahlawan suku Kayan yang masih hidup “nyawa-nyawa ikan” pada masa itu dan mampu berenang ke tepian sungai terpaksa berhadapan dengan pahlawan Undop dan Sebuyau seperti panglima Geransi Ribut Litap yang dengan mudahnya memenggal kepala mereka bercerai dari badan. Kemudian mayat-mayat yang terbunuh dibuang ke dalam sungai tersebut sehingga air sungai menjadi merah pekat lalu sejak itulah sungai yang tidak bernama itu diberikan nama Batang Kayan. Ianya mengambil bersempena dengan nama mayat-mayat suku Kayan yang bergelimpangan di sungai tersebut.
Sementara itu biarpun sudah reda peperangan, Orang Kayangan masih tetap membantu Orang Undup dan Orang Sebuyau iaitu dengan menyaksikan seluruh kawasan Gunung Gading pada masa itu hilang dari penglihatan manusia. Ini adalah untuk memastikan bahawa keamanan akan terus dikecapi di kawasan tersebut dan bagi mengelak ada lagi saki baki suku kayan dan masyarakat yang lain memulakan peperangan di kawasan mereka.
Oleh kerana adanya perjanjian antara Orang Kayangan bersama Suku Sebuyau itulah menyebabkan daerah itu aman damai dan amat jarang berlaku peperangan perluasan kuasa oleh masyarakat lain walau di ketika perang kayau banyak berlaku di Sarawak.
Inilah antara cerita oral yang menghiasi dunia perang kayau atau perang perluasan kuasa di kawasan Lundu suatu waktu dahulu. Adanya unsur-unsur mistik dan supernatural menjadikan ianya begitu menarik untuk diketengahkan kepada umum.
Nota: Nantikan siri 2 yang akan menyusul kemudian.
Rujukan:
Artikel ini ditulis melalui sidang temubual yang dilakukan oleh penulis ke atas orang tua-tua suku Iban Sebuyau yang masih lagi mendiami kawasan Lundu, Sarawak.