PERTEMPURAN DI TANJUNG KUNYIT, BINATANG 1972
PERTEMPURAN DI TANJUNG KUNYIT, BINATANG 1972
“SIAPA anak jantan, ikut saya!!”.. itulah antara laungan cabaran seorang renjer anak Sarawak kepada rakan seperjuangan ketika berhadapan dengan musuh. Cabaran ini dibuat kerana mereka hanyalah berenam sahaja sedangkan yang harus ditentang pula kekuatannya lima kali ganda daripada jumlah mereka.
Menguak pintu sejarah di ketika zaman komunis bermaharajalela di negara kita, banyak operasi ketenteraan yang telah dikerahkan oleh pasukan keselamatan Malaysia demi memastikan keamanan terus dikecapi oleh kita semua pada waktu itu. Untuk konteks Sarawak tidak pernah kurang dengan pengkisahan mengenai pengorbanan anggota keselamatan kita cuma ianya amat jarang diwar-warkan kepada umum.
Kesemuanya bermula sekitar Mei 1972, apabila Batalion 1 Renjer, Kompeni D, Kem Pagar Ruyung di Sibu telah dihantar ke Tanjung Kunyit, Binatang atau nama sekarang Bintangor untuk menyertai satu operasi ketenteraan menghapuskan si komunis durjana di sana. Dek kerana kawasan yang terlibat cukup besar, maka setiap anggota Kompeni D telah dibahagi untuk menjadi beberapa unit platun kecil dengan keanggotaan antara 10 ke 11 sahaja.
Dikala inilah satu platun yang dipanggil Platun 11 dibawah platun komander, PWII Chambai anak Gawan mengambil tempatnya. Turut menganggotai platun tersebut adalah Sarjan Indang anak Engkas, Koperal Matu anak Liban, Koperal Ranggau anak Pasang, Koperal Nyawin anak Nyandang, Lans Koperal Anyai anak Ranggi, Lans Koperal Ayor anak Gawing, Renjer Ason anak Jampi, Renjer Makau anak Ijam, Renjer Kintan anak Bakap, Renjer Emak anak Ditang dan Renjer Masing anak Berasap.
Diperkira kesemua unit platun 11 adalah anak kelahiran Sarawak dari etnik Iban yang sememangnya sudah gah namanya sebagai pakar penjejak di hutan. Dek kerana kepakaran itulah, maka platun 11 telah diberikan tanggungjawab yang besar iaitu untuk menjadi unit platun yang pertama membuat kerja-kerja rondaan di sekitar kawasan utara-barat Tanjung Kunyit.
Setelah mendengar segala taklimat daripada platun Komander iaitu PWII Chambai maka Sarjan Indang sebagai platun sarjan membawa lima daripada anggotanya untuk memulakan tugasan rondaan. Ketika di dalam rondaan itulah, mereka telah menemui beberapa kesan adanya kewujudan musuh di kawasan sekitar tersebut. Kesan-kesan musuh itu diekori oleh mereka sehinggalah mereka terhenti di satu kawasan rumah yang dipunyai oleh seorang kaum Cina.
Bagi mempersiapkan diri pada sebarang kemungkinan, pada ketika itulah Sarjan Indang mengarahkan agar Koperal Ranggau bersama dengan dua lagi anggota platun 11 untuk membuat penyiasatan ke atas rumah tersebut. Sementara menanti laporan siasatan daripada Koperal Ranggau itu, Sarjan Indang secara solo telah meneruskan penjejakan beliau sekitar 500 meter dari rumah tersebut manakala dua lagi anggota diarahkan untuk bersiaga.
Sewaktu membuat rondaan itulah, Sarjan Indang telah menjumpai sesuatu yang pelik iaitu kawasan rumah tersebut penuh dengan beras yang berselerakan. Dan sekali lagi apabila Koperal Ranggau menyudahi kerja siasatannya juga melaporkan bahawa rumah cina tersebut yang dihuni oleh beberapa orang kaum Cina turut mempunyai kesan beras yang bertaburan di sana sini.
Walaupun musykil dengan hal yang berlaku, Sarjan Indang membiarkan sahaja kemusykilan itu bermain di benaknya dan mengarahkan agar unit platun yang bersamanya untuk makan tengahari dahulu. Ini kerana sejak ketibaan mereka di Tanjung Kunyit mereka belum lagi menjamah apa-apa makanan.
Sekitar jam 2.00 petang iaitu di ketika mereka sedang menjamu selera dengan bekalan makanan yang dibawa itulah, Sarjan Indang dan rakan-rakannya mendengar seperti pohon kayu ditebang. Lantas Sarjan Indang mengarahkan yang lain untuk bersiaga sementara beliau sendiri dengan langkah yang diatur dan senyap menghampiri kawasan yang dari mana bunyi bising itu bermula.
Keberadaan Sarjan Indang rupa-rupanya langsung tidak dapat dikesan oleh pihak musuh dan berselindung di sebalik semak samun hutan itulah beliau mampu mengesan adanya sekumpulan lelaki yang siap dengan senjata serta berpakaian warna hijau sedang melakukan kerja-kerja mendirikan tapak khemah untuk mereka. Dari amatan beliau sudah menjangka bahawa kumpulan ini bukanlah dari pasukan anggota keselamatan Malaysia kerana turut kelihatan beberapa orang wanita yang menyertai kumpulan tersebut.
Selepas memantau buat seketika akhirnya Sarjan Indang mengatur langkah berhati-hati berundur seketika mendapatkan unit platunnya yang menunggu beliau dengan penuh sabar. Setelah membuat beberapa taklimat dan mengatur strategi dan dengan semangat yang berkobar-kobar, Sarjan Indang dan lima rakannya telah mara mendekati kumpulan tersebut. Perancangan mereka adalah untuk menyerang hendap musuh.
Setelah siaga segalanya dan kesemua anggota platun 11 dibawah Sarjan Indang betul-betul berada di kedudukan masing-masing, maka beliaulah yang memulakan tembakan pertamanya dengan menggunakan laras senjata M16. Di kala itulah hutan Tanjung Kunyit yang senyap sunyi menjadi riuh dengan bunyi peluru daripada anggota keselamatan Malaysia.
Di pihak anggota musuh pula terkesima dengan serangan hendap tersebut cuba menyelamatkan diri dengan berselindung dengan apa jua yang ada. Diceritakan juga, bagi memberi impak yang maksima, Sarjan Indang sempat melontarkan bom tangan (grenade) ke arah kedudukan musuh namun sayang ia tidak meletup. Tidak tertahan dengan asakan bertali arus, musuh berjaya meloloskan diri dengan mencapai apa sahaja senjata yang mampu mereka bawa pergi.
Sementara itu, bunyi hamburan peluru dari senjata Sarjan Indang dan rakan-rakannya telah membawa kepada PWII Chambai dan seorang lagi rakannya bekejaran ke arah mereka. Sayangnya apabila sampai ke lokasi, serang hendap sudahpun reda dan komunis berjaya meloloskan diri. Operasi pembersihan langsung dilakukan dan ternyata serang hendap Sarjan Indang telah berjaya membunuh dua orang komunis berjantina lelaki dan perempuan serta lima buah senjata pelbagai jenis.
Boleh dikatakan kemenangan sudahpun memihak kepada Platun 11 pada ketika itu dan mereka sebenarnya boleh sahaja untuk menunggu anggota yang lain berkumpul bersama mereka. Namun tiada siapa boleh menahan desakan semangat agi idup agi ngelaban di dalam jiwa kental anak Iban Sarawak semua, Sarjan Indang mencabar anggotanya yang sedikit itu iaitu hanya anak jantan sahaja yang berani menentang musuh yang ramai waima mereka hanya sedikit jumlahnya.
Sudah menjadi lumrah, tiada sesiapa yang mahu dipanggil bacul atau pengecut ditambahlagi kesemua mereka adalah barisan anggota tentera yang terkenal dengan keberanian mereka. Cabaran Sarjan Indang sebenarnya disahut oleh kesemua anggota Platun 11 tetapi Sarjan Indang hanya memilih mereka yang benar-benar pakar di dalam senjata sahaja. Disinilah hanya lima yang dipilih oleh beliau iaitu Koperal Nyawin, Lans Koperal Anyai, Renjer Makau, Renjer Kintan, Renjer Masing dan Renjer Emak. Tanpa menunggu lama, keenam-enam “Bujang Berani” ini terus menjejak kumpulan komunis tadi sementara yang tidak terpilih diminta untuk menunggu di satu kawasan agar senang bantuan menjejaki mereka.
Tepat jam 4 petang, di dalam suasana hutan yang semakin menggelap itulah, Koperal Nyawin sebagai penjejak musuh barisan hadapan mendapati bahawa kesan tapak musuh berakHir di satu anak sungai. Sekali lagi kepakaran anak Iban sebagai penjejak hutan itu digunakan oleh Sarjan Indang iaitu dengan mengarahkan anggotanya untuk mengikut arah sungai mengalir dan berjalan menyusuri tebingan sungai. 50 meter daripada jejak itu hilang iaitu disebelah seberangnya dengan penuh jelas kesan tapak kaki musuh dalam jumlah yang banyak dilihat.
Sarjan Indang dan lima lagi anggota Platun 11 menyeberangi anak sungai dengan penuh berhati-hati. Mereka mengetahui bahawa kedudukan musuh sudah semakin mendekat. Langkah diatur dengan penuh senyap dan tatkala sampai di tebingan sungai di seberang itulah mereka mampu melihat musuh dari kejauhan iaitu kira-kira pada jarak 300 meter sahaja. Dan pada kali ini musuh bertindak bijak dengan membahagikan diri mereka kepada dua kumpulan dan berada di sebelah kiri dan kanan.
Strategi serangan dengan diatur yang mana Sarjan Indang dan dua anggota akan menyerang dari sebelah kiri manakala Koperal Nyawin dan dua lagi akan menyerang dari sebelah kanan. Siaga segalanya mereka menghampiri kawasan musuh dengan merangkak. Senjata sentiasa digenggam erat di tangan mereka dan tatkala berada di satu kedudukan iaitu Sarjan Indang yang mana pada ketika itu sedang cuba melihat peta untuk mengetahui kedudukan mereka, pada ketika itulah beliau ditembak oleh musuh. Rupa-rupanya musuh sudah mengetahui bahawa kedudukan anggota keselamatan kita.
Sarjan Indang bernasib baik sebenarnya kerana peluru musuh tidak mengena beliau sebaliknya sipi ke sebatang pohon tempat dimana beliau berlindung. Namun aksi peluru tidak diundang itu menyebabkan kesemua anggotanya terus memuntahkan peluru ke arah kumpulan musuh. Sekali lagi hujan peluru dari kedua-dua arah memecah suasana petang di hutan Tanjung Kunyit tanpa belas ihsan.
Ada satu masa iaitu di ketika hebat dengan muntahan peluru itu, Koperal Nyawin pula diserang secara senyap dari arah belakang. Pada ketika itu diceritakan, Nyawin sedang sibuk mengisi peluru ke dalam senjatanya dan seorang komunis wanita telah meletakkan hujung senjatanya dibahagian kepala Nyawin meminta beliau menyerah diri. Umpama kata bidalan lama biar putih tulang menyerah kalah tidak sekali, sepantas kilat Nyawin mengambil “duku” iaitu pedang tradisional Iban yang tersisip di pinggangnya lantas meradak perut komunis wanita tersebut.
Komunis wanita itu belum lagi mahu beralah, Nyawin terus bertingkah menggunakan pedang ibannya dan setiap kali beliau mengangkat dukunya pasti anggota badan wanita itu tercedera. Akhirnya komunis wanita itu mati juga apabila Lans Koperal Anyai yang berada dekat di kedudukan Nyawin berjaya menembaknya dari jarak dekat. Usai itu semua, kumpulan Koperal Nyawin, Lans Koperal Anyai dan Renjer Emak berkumpul semula dan terus-terusan membalas tembakan musuh.
Sementara kumpulan Sarjan Indang, Renjer Makau dan Renjer Masing pula terus berbalas tembakan dengan musuh tanpa henti. Setelah bergelut hampir15 minit itulah, tiba-tiba hutan Tanjung Kunyit senyap semula. Kesemua enam anggota platun 11 masih siaga di kedudukan masing-masing walaupun sudah mengetahui bahawa kumpulan komunis sudah berjaya kabur dari lokasi pertempuran.
Tidak lama kemudian barulah bantuan dari platun yang lain tiba dan diketika operasi pembersihan dilakukan didapati Sarjan Indang dan lima lagi “Bujang Berani” telah berjaya membunuh lima gerila komunis iaitu dua lelaki dan tiga perempuan selain beberapa senjata milik komunis dan dokumen mereka.
Kisah pertempuran di Tanjung Kunyit, Binatang ini berlaku pada tanggal 22 Mei 1972 dan ia melibatkan enam orang “Bujang Berani” dari Platun 11 Kompeni D, Batallion 1st Ranger. Enam orang melawan 30 orang kekuatan musuh komunis tanpa sedikitpun calar mahupun korban dipihak mereka. Benarlah cabaran yang diungkap oleh Sarjan Indang anak Engkas, bahawa hanya yang benar-benar anak jantan akan berani menghadapi pertempuran seperti ini.
Agi Idup Agi Ngelaban.
Rujukan:
1. Sergeant Indang ak Engkas, P.G.B. In A Firefight At Tanjung Kunyit
http://renjervalour.blogspot.my/2005/10/sergeant-indang-ak-engkas-pgb-in.html
2. Star Online, 26 Ogos 2007 - Bold and Fearless Veteran
https://www.thestar.com.my/news/nation/2007/08/26/bold-and-fearless-veteran/
3. Sejarah Pingat Gagah Berani Malaysia
http://un2ukdia.blogspot.my/2013/12/sejarah-pingat-panglima-gagah-berani-pgb.html