SENI SULAM CABUT SARAWAK
SENI SULAM CABUT SARAWAK
- Seni Kraftangan Melayu Sarawak Yang Semakin Dipinggirkan
BILA kita berbicara mengenai seni kraftangan di Sarawak sememangnya ianya banyak dan keunikannya terletak kepada produk kraftangan itu sendiri. Ini kerana setiap produk kraftangan turut menjadi lambang kepada kebudayaan, kepercayaan serta kreativiti masyarakat Sarawak pelbagai etnik. Pua Kumbu, tikar selasah, bakul bemban, ukiran kayu, tembikar serta manik adalah antara produk kraftangan yang cukup gah namanya yang sudahpun mampu menjengah pasaran di peringkat antarabangsa.
Untuk seni kraftangan Melayu Sarawak pula tidak begitu banyak yang kita ketahui melainkan seni sulaman songket Sarawak mahupun tudung keringkam. Mungkin generasi Sarawak dari tahun 1980an dan 1990an pernah mempunyai atau mendengar seni sulam cabut iaitu yang ditampilkan sulamannya pada rekaan baju melayu dan baju kurung kerana diketika era itulah ianya benar-benar popular di kalangan masyarakat Sarawak.
Sulam Cabut itulah seni kraftangan Melayu Sarawak yang pernah menjadi kebanggaan pada setiap pemakainya kerana ianya menampilkan seni kreatif masyarakat Melayu Sarawak yang jarang didendangkan. Sulam tersebut dilakukan pada hujung lengan, bahagian poket hadapan baju kurung dan baju Melayu secara manual. Dan keunikan sulam cabut ini akan tampak lebih menarik dan unik apabila ton warna benang yang berlainan pula digunakan.
Dan apabila berkata mengenai proses pembuatannya bukanlah mudah malah menuntut kesabaran yang tinggi selain daripada memeras otak kreatif untuk menyajikan sulaman yang pelbagai bentuk. Antara corak sulaman cabut yang pernah mendominasi dunia busana pakaian tradisional Melayu Sarawak adalah seperti corak susun bata, pucuk rebung, anyam ketupat, bunga raya. Kipas, tali air, tampal tapak kaki itik dan ayam, tampuk manggis, tikar mengkuang, akar kipas, tukang belut, bunga cengkih, pelita hati serta banyak lagi.
Buat masa sekarang sememangnya masih ada tukang jahit dan tukang sulam yang meneruskan legasi pembuatan sulam cabut di Sarawak. Dan berdasarkan kajian lisan yang dikatakan tempahan untuk sulam simo iaitu satu lagi sulaman yang dilakukan pada bahagian leher baju kurung masih mendapat tempat dihati rakyat Sarawak. Namun lain pula jadinya pada nasib yang menimpa sulam cabut kerana ianya agak kurang sambutan seumpama bidalan lama hidup segan, mati tidak mahu.
Seni sulam cabut Sarawak harus diangkat semula kehebatannya agar ianya tidak hilang ditelan zaman.
Rujukan:
1. Kajian Mengenai Sulam Cabut Di Sarawak oleh Siti Nurhazimah bte Haris Shafuddin
https://www.academia.edu/33447181/KAJIAN_MENGENAI_SULAM_CABUT_DI_SARAWAK_jurnal.docx?auto=download
2. Sulam Cabut Sarawak Untuk Baju Melayu dan Baju Kurung
http://sulamsarawak.blogspot.my/2011/11/1004-1005-ia-nampak-simple-tetapi-sukar.html