LEGENDA NKADIS NIRUK
LEGENDA NKADIS NIRUK DI DALAM MASYARAKAT BIDAYUH SERIAN
NKADIS Niruk adalah merujuk kepada satu nama tempatan untuk sejenis belalang kecil yang mana di bahagian badannya mempunyai warna biru. Mungkin ianya tampak cantik dilihat mata namun disebalik kecantikan itu sebenarnya mempunyai cerita legenda mengenai keberadaannya yang banyak di desa-desa yang dihuni oleh masyarakat Dayak Sarawak.
Suatu waktu dahulu bukanlah satu rahsia bahawa di kalangan di masyarakat Dayak Sarawak cukup gah dengan tradisi bekayau iaitu tradisi memotong kepala musuh. Dan tradisi bekayau pula bukan sahaja dilakukan di dalam skala besar namun turut ada yang berskala kecil.
Dek kerana itulah tradisi ini sentiasa menjadi igauan ngeri bagi setiap masyarakat dahulukala di Sarawak. Banyak kepala yang bercerai dari badan akibat dari tradisi itu lebih-lebih lagi setiap mereka yang berjaya membawa pulang satu kepala bagi dirinya akan dijulang sebagai pahlawan lantas mampu menobatkan dirinya sebagai anak jantan terbilang.
Tersebutlah cerita mengenai tujuh orang adik beradik dari satu keluarga masyarakat Bidayuh yang tinggal di sebuah perkampungan di Serian, Sarawak. Dikatakan tujuh orang pemuda ini hendak pergi mengayau ke sebuah perkampungan yang lokasinya agak jauh daripada tempat tinggal mereka. Sebelum mereka memulakan perjalanan untuk pergi mengayau itu, ketujuh-tujuh anak Bidayuh ini telah meminta ibu mereka untuk menyediakan bekalan makanan buat perjalanan mereka kelak.
Permintaan daripada anak-anak sudah tentu akan cuba diadakan oleh si ibu lantas mulalah si ibu membuat apa yang sepatutnya. Namun pada kali ini, permintaan daripada anak-anak lelaki beliau agak pelik iaitu si ibu harus menumbuk benih padi yang disimpan khusus untuk merayakan tamat musim menuai. Hal ini telah menjadi satu kegusaran bagi si ibu kerana menurut pantang masyarakat Bidayuh, benih padi seperti itu tidak boleh ditumbuk sembarangan.
Walau cuba dihalang oleh ibu mereka agar tidak melanggar pantang namun ketujuh-tujuh anak lelakinya tetap berkeras. Akhirnya demi kasih sayang terhadap anak-anaknya maka diturutilah jua yang mana si ibu telah berjaya menumbuk benih padi tersebut lalu dijadikan kuih kering atau penganan buat bekalan anak-anaknya mengembara nanti.
Setelah siaga segalanya maka bermulalah episod tujuh adik beradik ini memulakan perjalanan untuk mengayau mereka. Setelah berjalan kaki menerusi denai-denai hutan dan sungai-sungai kecil iaitu hampir seminggu lamanya maka tibalah mereka ke perkampungan yang mereka tuju. Oleh kerana niat mereka untuk mengayau maka kehadiran mereka tidak harus diketahui oleh penduduk perkampungan tersebut.
Lantas mereka mendirikan perkhemahan mereka tidak jauh daripada perkampungan itu sambil-sambil memantau segala aktiviti penduduk perkampungan tersebut. Ini perlu kerana jumlah mereka hanyalah bertujuh sahaja dan kerana ianya mengayau kecil maka segalanya harus dilakukan di dalam bentuk serang hendap dan senyap.
Hendak dijadikan cerita mungkin kerana sudah terlalu letih akibat dari perjalanan yang jauh makanya kesabaran mereka untuk menanti hari yang sesuai untuk menyerang sudah memuncak. Langkah tujuh adik beradik ini menyerang perkampungan tersebut pada suatu petang telah membawa kemudharatan kepada mereka. Walau mereka berjaya memenggal kepada seorang kanak-kanak remaja di ruai rumah panjang tersebut namun tindakan mereka telah mampu dijejaki oleh penduduk rumah panjang itu.
Bunyi bising yang dibuat oleh para wanita rumah panjang tersebut telah membawa kepada seluruh penduduk rumah panjang itu berkumpul dan bersatu memerangi mereka. Di dalam kelam kabut untuk melarikan diri itu tujuh pemuda telah termasuk perangkap penduduk rumah panjang tersebut. Akhirnya mereka berjaya ditangkap lalu kepala mereka pula yang dipenggal sebagai hukuman ke atas perbuatan mereka.
Walaupun kemenangan sudah berpihak kepada penduduk kampung, hutang darah dibayar darah namun sebenarnya ada satu hal yang tidak diselidiki oleh penduduk perkampungan tersebut. Menurut pantang larang masyarakat dayak dahulukala bukan sewenang-wenangnya untuk memenggal kepala manusia biarpun musuh sekalipun. Seharusnya ada beberapa upacara dilakukan seperti apa yang sering kita baca mengenai ritual-ritual adat mengayau.
Dek kerana tindakan sembrono itu dikatakan ketujuh-tujuh anak Bidayuh yang dipenggal kepala itu sebenarnya mempunyai roh pelindung atau disebut sebagai Kamang. Oleh kerana tuannya telah dibunuh maka dikatakan kamang itu telah mengamuk kerana hilang hala tujuan. Kamang mengamuk dengan bunyi jeritannya sentiasa mampu didengar siang dan malam sehingga menjadi ketakutan kepada penduduk kampung tersebut.
Tidak tertahan dengan segala amukan ini menyebabkan penduduk kampung itu bersatu hati mengupah seorang dukun bagi menyelamatkan mereka. Melalui perantaraan dukun itulah akhirnya Kamang telah berjaya dijelmakan menjadi belalang biru. Nkadis niruk itulah nama gelarannya bagi masyarakat Bidayuh di Serian. Ianya tetap mengeluarkan bunyi bising tetapi tidaklah seseram sewaktu ianya menjadi kamang.
Inilah antara cerita legenda yang amat jarang diwar-warkan buat pengetahuan kita semua. Sesungguhnya sastera rakyat di Sarawak tidak pernah kurang malah sentiasa menampilkan keunikan jalan ceritanya yang indah dan tersendiri.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta!
Rujukan:
1. Dozen Anthropologist, University of Auckland, New Zealand. By Professor Dr. William Robert Geddes. (Published 1951).