top of page

“PENDEKAR”, SARAWAK BUMI KENYALANG DAN KISAH PERANG BUBAT


“PENDEKAR”, SARAWAK BUMI KENYALANG DAN KISAH PERANG BUBAT

- Sejarah Mengajar Kita


“SAYA, 2 hari tek dianugerah sidak guru silat dengan gelaran Pendekar Ulung. Pendekar juak saya tok. Patutlah ada pendekar sorang gik ya nak encoba saya. Lom tauk you o you”.. kata-kata dari Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Haji Abang Abdul Rahman Zohari di dalam satu majlis dua hari lepas dijadikan pembuka bicara untuk apa yang sedang bergolak sekarang. Dan semalam pula melalui rancangan Dialog siaran RTM 1 sekali lagi sejarah Sarawak dimanipulasi oleh orang yang sama dihadapan kita semua sebagai rakyat Sarawak.

Seperti apa yang dilaungkan oleh KM Abang Jo, biarlah dia nak berkata apa kerana Sarawak adalah negeri bermaruah yang mempunyai kaedahnya tersendiri untuk berbincang dengan Kerajaan Malaysia mengenai hak-hak Sarawak di dalam Perjanjian Malaysia 1963. Dan kami di Borneo Oracle memberi mandat 101% kepada barisan kepimpinan Sarawak untuk memberikan apa yang terbaik bagi merealisasikan impian dan aspirasi rakyat Sarawak selama ini untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Usah gusar dengan segala perjuangan ini kerana sejak di zaman Allahyarham Pehin Sri Adenan lagi sudah menyatakan bahawa..”Yesterday we are in Malaysia, today we are in Malaysia, tomorrow and forever we are in Malaysia”. Jadi sekiranya Tuan Speaker hendak mengeluarkan buku “Berpisah Tiada” maka sememangnya tuntutan yang diperjuangkan oleh Sarawak selama ini tiada satu pun yang menuju ke arah Sarawak Keluar Malaysia.

Dek kerana memberi mandat kepada Kerajaan Negeri Sarawak maka kami tidak akan menyentuh segala “isi perut” Perjanjian Malaysia 1963, kita biarkan kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari untuk membincangkannya dengan Perdana Menteri Malaysia. TETAPI kerana semalam juga menyaksikan si Pendekar cuba menidakkan sejarah keagungan “emas hitam” di Sarawak yang mana menurut beliau segala mengenai minyak dan gas itu hanya ada sewaktu Persekutuan Malaysia ditubuhkan maka disini kami membantah kenyataan bidaah beliau sekeras-kerasnya.

Menyoroti sejarah eksplorasi penggalian minyak di Sarawak sebenarnya sudahpun wujud jauh sebelum Brooke memerintah Sarawak. Mungkin yang menjadi rujukan si Pendekar itu adalah sejarah buatannya sendiri sedangkan jika menggodek sejarah lama seperti yang diperjelaskan oleh seorang penjawat awam Sarawak Kingdom yang juga Residen pertama Marudi iaitu Claude Champion Crespigni yang ditulis pada tahun 1882 dan 1884 ada menyatakan bahawa terdapat 18 buah telaga minyak yang digali secara manual oleh rakyat Sarawak yang mendiami bumi Miri.

“…the oil district near the mouth of the Miri River should be thoroughly searched and reported on.” “Earth oil” was used by local people for lighting lamps, waterproofing boats, and medicinal purposes…” – Crespigni,1884.

Berdasarkan kepada laporan ini sudah cukup menyatakan bahawa sejak dahulukala rakyat Sarawak sudah mengetahui kegunaan “emas hitam” di dalam penghidupan mereka. Bukan sedikit sejarah sebenar mengenai explorasi minyak ini dijadikan artikel buat semua dari penulisan Borneo Oracle. Antaranya bolehlah dirujuk di pautan ini. https://www.facebook.com/BorneoOracle/photos/a.449424688437754.96326.449400651773491/1121030811277135/?type=3&theater


Di dalam kita berdebat sehingga timbulnya emosi kurang stabil kita sebagai rakyat Malaysia amnya dan rakyat Sarawak khususnya, ingin Borneo Oracle membawa pembaca semua untuk bersama-sama memahami satu peristiwa dahulukala yang pernah terjadi di Nusantara.

Kisah sejarah ini adalah yang dinamakan Perang Bubat yang terjadi pada 1279 Saka atau tahun 1357 masihi. Dek kerana penangan sejarah Perang Bubat ini dikatakan sehingga sekarang orang Sunda melarang sama sekali ada dikalangan mereka menikahi orang Jawa. Sekiranya larangan ini dilanggar, orang Sunda amat mempercayai bahawa perkahwinan itu tidak akan bahagia, melarat dan segala macam hal yang tidak baik akan berlaku.



Kisah Perang Bubat Tahun 1357

Peristiwa Perang Bubat diawali dari niat Prabu Hayam Wuruk yang ingin memperisterikan puteri Dyah Pitaloka Citraresmi dari Negeri Sunda. Kononnya Hayam Wuruk jatuh cinta pandang pertama apabila melihat satu lukisan sang puteri dari Majapahit yang dilukis secara diam-diam oleh seorang pelukis yang bernama Sungging Prabangkara.


Dalam pada itu turut dikatakan Hayam Wuruk sememangnya berniat mengahwini Dyah Pitaloka atas alasan politik iaitu untuk mengikat persekutuan dengan Negeri Sunda. Atas restu dari keluarga kerajaan Majapahit, Hayam Wuruk menghantar perutusan kepada Maharaja Linggabuana bagi melamar Dyah Pitaloka. Di dalam perutusan itu dinyatakan juga bahawa upacara pernikahan akan berlangsungkan di Majapahit.


Maka berangkatlah Maharaja Linggabuana bersama-sama dengan rombongan Sunda iaitu permaisurinya dan puteri Dyah Pitaloka dengan turut diiringi beberapa orang menteri serta tentera ke Majapahit. Kerana mereka rombongan diraja maka telah ditempatkan di Pesanggrahan Bubat.


Sewaktu di Majapahit, rombongan pernikahan yang pada asal niatnya adalah untuk menjalin ikatan dua negara telah bertukar pendirian pula. Ini kerana seorang yang amat berkuasa di dalam Kerajaan Majapahit yang bernama Patih Gajah Mada mempunyai niat yang berlainan. Dikatakan Gajah Mada ingin memenuhi Sumpah Palapa yang dibuatnya pada masa sebelum Hayam Wuruk naik tahta. Ini kerana banyak sudah kerajaan di Nusantara menjadi jajahan takluk Majapahit sementara hanya Kerajaan Sunda yang masih belum dikuasai mereka.


Bagi merealisasikan niatnya itu, Gajah Muda telah mendesak Hayam Wuruk untuk menganggap bahawa kedatangan rombongan Sunda di Pesanggrahan Bubat adalah sebagai satu bentuk penyerahan diri Kerajaan Sunda kepada Majapahit. Gajah Mada mendesak Hayam Wuruk untuk menerima Dyah Pitaloka bukan sebagai pengantin, tetapi sebagai tanda takluk Negeri Sunda dan pengakuan berkuasanya Majapahit ke atas Sunda di Nusantara. Hayam Wuruk walaupun bimbang dengan niat yang sudah lari dari landasan ini, terpaksa akur kerana Gajah Patih adalah kekuatan Majapahit pada saat itu.


Akhirnya niat yang sudah bertukar itu sampai juga ke pengetahuan Maharaja Linggabuana. Kemarahan semakin memuncak sehingga Gajah Mada dimaki-maki oleh rombongan Negeri Sunda. Jika difikirkan tiada siapa yang tidak akan marah jika diperlakukan sedemikian. Namun Gajah Mada tidak memperdulikan segalanya sebaliknya diluar pengetahuan Hayam Wuruk, beliau telah mengerahkan bala tenteranya yang dikenali sebagai Bhayangkara untuk memerangi rombongan Negeri Sunda di Pesanggrahan Bubat.


Maka terjadilah perang yang sememangnya tidak adil sama sekali berlaku di era Majapahit berkuasa di Nusantara. Majapahit dibawah Gajah Mada mempunyai ribuan tentera memerangi Negeri Sunda yang hanya mempunyai beberapa orang menteri serta sedikit tentera bersama mereka. Namun dek kerana bagi menjaga maruah negara mereka, biar hanya sedikit bala tentera Gajah Mada ditentangi sehingga ke titisan darah yang terakhir.


Kerana perang yang tidak seimbang ini menyaksikan keseluruhan rombongan Negeri Sunda terkorban di Bubat. Diceritakan si bakal pengantin perempuan iaitu Puteri Dyah Pitaloka sahaja yang tidak dibunuh pada masa itu namun kerana kecewa dengan hal yang berlaku itu menyebabkan beliau melakukan tradisi bela pati iaitu membunuh diri bagi membela kehormatan bangsa dan negaranya.


Di pihak Hayam Wuruk pula apabila mengetahui nasib malang yang menimpa rombongan Sunda di Bubat telah menyesali segalanya. Dihantarnya perutusan darmadyaksa dari Bali bagi membuat permohonan maaf kepada Mangkubumi Hyang Bunisora Surapati. Beliau juga berjanji segala perkisahan yang berlaku di Bubat itu akan dimasukkan di dalam Kidung Sundayana agar generasi seterusnya akan mengambil hikmat akan cerita sejarahnya.


Dari saat itu juga dikatakan bahawa hubungan Hayam Wuruk dengan Gajah Mada menjadi renggang sehinga membawa kepada Gajah Mada diarahkan untuk tinggal di Madakaripura. Akur dengan titah dari Hayam Wuruk akhirnya Gajah Mada kekal di Madakaripura yang mana menyaksikan beliau sebenarnya sudah diarahkan untuk bersara dan meninggalkan dunia politik Majapahit.


Peristiwa Perang Bubat ini menyaksikan hubungan dua negara iaitu Majapahit dan Sunda tidak pernah pulih sehinggalah saat satu-satunya putera Maharaja Linggabuana yang masih hidup iaitu Pangeran Niskalawastu Kancana iaitu adik Puteri Pitaloka selamat kerana beliau pada ketika itu tidak ke Sunda kerana masih kecil diangkat menjadi Prabu Sunda dengan gelaran Prabu Niskalawastu Kancana apabila umurnya remaja. Walau sudah lama, Prabu Niskalawastu tetap tidak boleh menerima apa yang berlaku ke atas keluarga sehingga beliau sendiri apabila berkuasa telah memutuskan segala hubungan antara Sunda dan Majapahit sampai bila-bila.


Begitulah kisah Perang Bubat pada tahun 1357 yang jika kita rakyat Sarawak memahami mengapa Borneo Oracle mengetengahkan cerita ini sebenarnya mempunyai banyak persamaan apa yang dilalui sekarang. Sejarah itu mengajar kita semua untuk apa yang berlaku pada masa hadapan.


Penulisan ini kami sudahi dengan satu petikan kata-kata dari rombongan Maharaja Linggubuana ke atas Gajah Mada yang ditulis di dalam bahasa Jawa Kuno di dalam Kidung Sundayana. ”Mangke agung kokohanmu, uwabmu lwir ntuting gasir, kaya purisya tinilar ing asu, mengkene kaharěpta, tan pracura juti, ndi sasana tinutmu gurwaning dustârusuh, dadi angapusi sang sadubudi, patitânêng niraya atmamu těmbe yen antu”


Yang bermaksud.


“Sekarang, besar juga kata-katamu. Bau mulutmu seperti kentut jangkrik, seperti tahi anjing. Sekarang maumu itu tidak sopan dan berkhianat. Ajaran apa yang kau ikuti selain engkau ingin menjadi guru yang berdusta dan berbuat buruk. Menipu orang berbudi syahdu. Jiwamu akan jatuh ke neraka, jika mati!”


Sejarah mengajar kita!


Munpahambisak*



bottom of page