top of page

BORNEO LITERATURE BUREAU


BORNEO LITERATURE BUREAU


DENGAN singkatannya BLB atau Borneo Literature Bureau atau Biro Kesusasteraan Borneo mungkin agak asing bagi generasi Sarawak sekarang. Namun sekitar tahun 1950an hingga 1970an, BLB merupakan antara pemain utama di dalam mendokumenkan sastera-sastera rakyat di Sarawak mahupun Sabah suatu ketika dahulu.


Menyelusuri sejarahnya penubuhan satu biro yang ditaja sepenuhnya oleh dua kerajaan di Borneo iaitu Sabah (North Borneo) dan Sarawak bermula pada 30hb Mei 1959. Ianya adalah inisiatif dari kerajaan pada masa itu bagi memartabatkan sastera-sastera rakyat seperti cerita lagenda dalam pelbagai bahasa tempatan agar ianya tidak hilang begitu sahaja memandangkan kebanyakan sastera rakyat diwarisi secara lisan dari satu generasi ke generasi yang lain.


Dari hanya bermula sebagai satu pertandingan menulis yang mana menyaksikan ramai penulis amatur anak tempatan menyertainya telah membuahkan idea untuk menjilidkan setiap artikel di dalam satu buku. Usulan daripada penganjur pada ketika itu telah berjaya menarik perhatian Koloni Mahkota Sarawak British untuk memberikan sedikit peruntukan pada tanggal 5hb Januari 1960. Tanpa berlengah, artikel sastera rakyat di dalam pertandingan menulis sebelumnya telah berjaya diterbitkan dengan buku pertamanya menemui pembaca di Sarawak pada tanggal 12hb Januari 1960.


Walaupun pada ketika itu hanya beberapa kerat sahaja toko-toko buku yang ada di Sarawak namun ternyata penjualannya amat laris di kalangan rakyat Sarawak. Dari hanya di dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu akhirnya pada 1hb Julai 1960 menyaksikan BLB menerbitkan buku sastera di dalam bahasa Iban yang pertama dan seterusnya bahasa Bidayuh, Orang Ulu serta banyak lagi.


Bukan setakat itu sahaja kerana di dalam menjadikan sastera rakyat Sarawak ini sentiasa malar segar di hati rakyat jelata lebih-lebih lagi generasi muda pada masa itu, BLB turut mempelbagaikan produksi buku mereka dengan memperkembangkannya di dalam bentuk majalah. Nama-nama majalah seperti Perintis dan Dolphins adalah majalah yang dibekalkan kepada sekolah-sekolah secara bulanan di Sarawak sebagai sumber bacaan tambahan kepada pelajar-pelajar suatu ketika dahulu.


Nilai-nilai moral yang banyak terdapat di dalam sastera rakyat sememangnya banyak membantu sahsiah serta perkembangan minda generasi muda Sarawak. Dan BLB dari hanya bergantung pada dana kerajaan pada mulanya sudah mampu mengurustadbir biro tersebut dengan keuntungan dari penjualan buku dan majalah mereka. Selain itu, BLB juga adalah asas kepada penulis amatur di Sarawak untuk berkarya sehingga ramai antara mereka sudah mampu menjadi penulis professional yang dikenali ramai.


Sayangnya satu biro yang banyak berjasa di dalam memartabatkan serta mendokumenkan sastera-sastera rakyat di Sarawak mahupun Sabah serta melahirkan ramai penulis tempatan telah dibubarkan sekitar tahun 1970. Fungsinya sudahpun diambilalih oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia setelah organisasi tersebut melebarkan sayapnya ke Sabah mahupun Sarawak.





Rujukan:


1. http://www.sarawak.com.my/info/BorneoLitt/index.html

2. Borneo Literatre Bureau - Dolphin and Other Publications

http://sarawakiana.blogspot.my/2008/03/borneo-literature-bureau-dolphin-and.html

bottom of page