top of page

PERISTIWA 10/10/45


PERISTIWA 10/10/45

- Diambang “Tragedi 13 Mei” Sarawak

SEBAGAI sebuah negeri yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, Sarawak sehingga ke saat ini masih lagi terkenal dengan toleransi kaum dan perpaduannya yang utuh. Hakikatnya bukanlah senang untuk membina akan hal sedemikian sehingga ianya mampu menjadi kebanggaan kita semua. Dalam pada itu mungkin ramai antara kita terlalu selesa didodoikan bahawa perpaduan Sarawak itu semuanya “mojor joros” belaka sehingga menidakkan bahawa suatu waktu dahulu itu pernah terjadi satu peristiwa yang seakan-akan cerita tragedi 13 Mei yang berlaku di bumi Malaya.


Peristiwa 10/10/45 adalah antara satu sejarah hitam yang pernah berlaku di Sarawak iaitu usai sahaja tamatnya Perang Dunia Kedua berlaku. Tatkala itu, Sarawak adalah dibawah pemerintahan tentera yang mana menyaksikan Tentera Australia tiba di Sarawak bagi mengekalkan keamanan selepas pasca perang. Peristiwa 10/10/45 adalah satu pergaduhan besar yang berlaku antara kaum Cina Sarawak menentang kaum Melayu Sarawak di Kuching pada masa itu.


Menguak pintu sejarahnya peristiwa hitam ini sebenarnya sudahpun bermula di ketika musim Jepun merentah Sarawak. Kita sendiri mengetahui bahawa di ketika pendudukan Jepun, kaum Cina adalah antara kaum yang sering menjadi sasaran mudah kekejaman pentadbiran Tentera Jepun. Dek kerana ada sejarah hitam antara Indo-Cina dan Jepun maka ianya turut terpalit pada penghidupan masyarakat Cina di Sarawak pada masa itu.


Dalam pada itu semasa saat akhir pendudukan Jepun di Sarawak menyaksikan Jepun yang pada mulanya masih mendapat sokongan dari Melayu dan Iban Sarawak telah mula dibenci. Ini kerana diambang kehilangan kuasa lebih-lebih lagi banyak kapal-kapal perang Jepun tenggelam dek kerana dihentam berhabis-habisan oleh Tentera Perikatan di lautan menyaksikan Jepun sudah tertekan sehingga mereka turut menjadi masyarakat tempatan Melayu mahupun Iban menjadi mangsa.


Menurut sejarahnya pada ketika itu, masyarakat Iban amat membenci Jepun kerana tentera-tentera Jepun telah menggunakan kekerasan keatas petani-petani Iban bagi mendapatkan bekalan beras daripada mereka. Selain itu kerana bimbang masyarakat Iban bangun menentang mereka, segala bentuk senjata seperti senapang patah dan sebagainya pula diharam dan dirampas dari mereka sehingga memaksa masyarakat Iban begitu sukar untuk keluar memburu iaitu antara kepakaran mereka dari dahulu sehingga sekarang.


Sementara untuk masyarakat Cina di Sarawak pula setelah Jepun menyerah kalah pula ditanamkan dengan dogma bahawa sebenarnya yang membantu kekalahan Jepun pada masa itu adalah Kerajaan Chiang Kai-Shek. Ini kerana Kerajaan Chiang Kai Shek pada masa Perang Dunia Kedua berlaku juga adalah antara mereka yang berada di blok kerajaan tentera bersekutu.


Dek kerana itulah apabila Tentera Australia mula memasuki bandar-bandar di Sarawak pada masa itu, mereka terkejut dengan sambutan meraikan pengunduran Jepun dengan bersimpang siurnya bendera-bendera Negara China di seluruh pelusuk bandar di Sarawak lebih-lebih lagi Kuching dan Sibu pada masa itu. Dan sambutan kemenangan itu langsung sudah melupakan bendera sebenar Kerajaan Sarawak yang seharusnya dinaikkan.


Apa yang dilakukan oleh masyarakat Cina di Sarawak itu menimbulkan rasa tidak senang hati kaum Melayu dan etnik yang pelbagai di Sarawak pada masa itu. Hal ini bukan sahaja terjadi di bandar-bandar besar malah juga di daerah terpencil seperti di Saratok, Betong dan Simanggang. Sekali lagi apa yang dilakukan oleh masyarakat Cina di ketiga-tiga daerah ini telah mewujudkan rasa kurang puashati masyarakat Iban yang merupakan majoriti penduduk di daerah tersebut.


Akhirnya rasa ketidakpuasan hati ini sudah tidak mampu dibendung lagi apabila pada 10 Oktober 1945, tiang-tiang bendera serta banner-banner yang mengarah kepada mengagungkan Kerajaan Chiang Kai-Shek telah diturunkan oleh masyarakat Iban di ketiga-tiga daerah tersebut lalu dinaikkan bendera Sarawak yang sebenarnya. Maka bermulalah episod jeling menjeling dan bertikam lidah antara masyarakat Iban dan Cina pada masa itu sehingga membangkitkan suasana tegang antara mereka.


Itu ceritanya di Saratok, Betong dan Simanggang manakala lain pula yang berlaku pada tanggal 10 Oktober 1945 di Kuching. Pada hari itu iaitu sekitar jam 9.30 pagi diceritakan hampir 1,000 orang masyarakat Cina di Kuching sudah mula berhimpun di jalanraya sekitar Brooke Dockyard dan Main Bazaar. Jumlah yang ramai dari masyarakat Cina pada masa itu adalah untuk memulakan pergaduhan dengan kaum Melayu Sarawak di Kuching.


Tindakan rusuhan pada masa itu akan dimulai dengan menyerang masjid-masjid dan perkampungan Melayu sekitar kawasan tersebut. Dan akibat daripada itu juga menyaksikan masyarakat Melayu di Kuching telah mula menyusun barisan mereka malah bila-bila masa sahaja sekiranya ia berlaku, mereka tidak akan berpeluk tubuh malah akan berhabis-habisan mempertahankan maruah bangsa dan agama mereka dari diperlekeh-lekehkan. Ini kerana masyarakat Cina pada ketika itu menuduh masyarakat Melayu sebagai pembelot kepada Kerajaan Sarawak.


Dan bersyukurlah kita suasana tegang ini langsung tidak mengorbankan sebarang jiwa dari kedua-dua pihak kerana Tentera Australia telah bertindak lebih pantas. Tentera-tentera Australia telah dikerahkan untuk bersiaga di Kuching dan menangkap siapa sahaja yang cenderung untuk membuat onar pada masa itu. Segala senjata juga turut dirampas dan seterusnya perintah berkurung 24 jam telah berkuatkuasa di Kuching serta merta.


Walau pergaduhan besar ini mampu dileraikan buat seketika namun rasa tidak puashati di kalangan masyarakat Cina dan Melayu Sarawak tetap sentiasa ada cuma disimpan di dada. Tatkala inilah pemimpin-pemimpin tersohor kedua-dua kaum ini memainkan peranan bagi menjernihkan suasana. Dikatakan Baba Ong Tiang Swee sebagai pemimpin Cina Kantonis Kuching telah duduk semeja dengan Datuk Pahlawan Abang Haji Mustapha Moasili, seorang pemimpin Melayu Kuching telah seia sekata menandatangani perjanjian perdamaian.


Inilah peristiwa 10/10/45 yang berlaku di Sarawak yang menyerupai Tragedi 13 Mei kerana melibatkan rasa kurang puashati antara tiga kaum di Sarawak. Walaupun aksi-aksi gasar kedua-dua kaum tidak dilestarikan mengikut apa yang dirancang namun api di dalam sekam itu jangan pernah dianggap enteng. Sekiranya ia berlaku mungkin sejarah kita sekarang di Sarawak agak berbeza seperti sekarang.


Jadi, pelajarilah segala sejarah lepas yang sesekali kita sebagai rakyat Malaysia amnya dan Sarawak khususnya sentiasa cenderung dengan mainan isu agama mahupun anti bangsa itu ini dan sebagainya. Nenek moyang kita cukup mempertahankan toleransi kaum dan agama kita dan jangan sesekali kita sebagai rakyat Sarawak terbuai dengan mainan politik sesetengah pihak.


Kita dahulukan kesatuan kita sebagai urang Sarawak dan janganlah kita hanya gah sebagai rakyat Sarawak yang bersatu padu duduk semeja dengan makan di restoran sahaja sedangkan minda kita sudah mula menular menjadi orang Sarawak yang “racist”. Orang Sarawak semuanya bersaudara lihatlah sahaja di dalam keluarga Cina pasti ada keturunan Melayu atau Iban atau Bidayuh dan sebaliknya menjadi anggota keluarga kita. Cubit paha kanan, paha kiri juga terasa.


Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh! Sejarah mengajar kita.




Rujukan:


1. Buku berjudul: Perjuangan Anti Cession Sarawak oleh Haji Mohd Hasbie bin Sulaiman (1989)

2. Peristiwa 10/10/45 atau 13 Mei Di Sarawak - Pergaduhan Cina/Melayu

http://happysus.blogspot.my/2007/07/peristiwa-101045-pergaduhan-cinamelayu.htm

bottom of page