top of page

RIBUT GREG 26/12/1996


RIBUT GREG 26/12/1996

- Sejarah Hitam Keningau Dalam Kenangan


DAERAH Keningau merupakan salah satu bandar yang terletak di pedalaman atas dan merupakan antara yang terbesar di Sabah. Menurut maklumat daripada portal rasmi Jabatan Tanah Dan Ukur Sabah, keluasan Keningau adalah dianggarkan seluas 13,377.1 kilometer persegi dan terbahagi kepada beberapa daerah iaitu Keningau, Tambunan, Tenom dan Pensiangan.


Pengunjung yang berhajat untuk datang ke daerah Keningau boleh menggunakan jalan darat dari Kota Kinabalu melalui Tambunan atau melalui Kimanis di mana masing-masing mempunyai jarak sekitar 128 kilometer yang mengambil masa kira-kira 2 jam setengah perjalanan bergantung kepada kelajuan kenderaan.


Sejarah dan asal-usul Keningau dikatakan bermula daripada sebuah perkampungan tradisonal etnik Murut bernama kampung Keningau atau sesetengah sumber mengatakan Kodigau, iaitu nama sejenis pohon rempah-ratus yang cukup terkenal di Nusantara, iaitu kayu manis. Pohon kayu manis atau Keningau ini tumbuh melata di sekitar kawasan kampung berkenaan. Sewaktu berada di bawah naungan empayar Kesultanan Melayu Brunei, kawasan ini menjadi pengeluar utama kayu manis bagi empayar Kesultanan dan merupakan salah satu pusat perdagangan rempah-ratus terbesar di Brunei, sungguh pun berada di bawah naungan Brunei Darussalam suatu ketika dahulu namun kehidupan etnik pribumi di kawasan ini tidak begitu terganggu dan aktiviti seharian mereka tetap berjalan seperti mana kebiasaan.


Zaman silih-berganti, kerajaan Brunei Darussalam akhirnya menjadi sebahagian daripada Tanah Jajahan British, tidak terkecuali, empayar-empayarnya yang berada di beberapa tempat di Borneo, salah satunya adalah Keningau. Sewaktu era penjajahan British, Keningau sekali lagi menjadi pengeluar kayu manis yang utama, begitu juga apabila Jepun datang menjajah, bahkan sehingga ke hari ini, reputasi Keningau sebagai antara pengeluar kayu manis utama di negara kita masih ampuh walaupun mungkin tidak segah di masa lalu.


Keningau juga dianggap istimewa kerana selain berperanan sebagai pengeluar kayu manis, ia juga pernah menjadi pusat pentadbiran dan pendaftaran kawasan pedalaman sementara British sewaktu penentangan Paduka Mat Salleh. Di sini juga, Batu Sumpah Keningau, yang merangkumi janji kesepakatan Sabah yang merupakan sebahagian daripada koloni Mahkota British bergabung membentuk Persekutuan Malaysia.


Antara tarikan pelancongan yang utama di Keningau termasuklah Keningau Resort, yang menempatkan kemudahan seperti Chalet Penginapan, Restoran dan Mini Zoo, Keningau Golf Club, Kuil Guan Ji, kawasan perkelahan Bandukan dan Tindian dan kepada yang gemar kepada aktiviti lasak, boleh lah menyertai ‘Jungle trekking’ menyusuri kawasan hutan tebal untuk meneroka Gua Laing yang mengikut lagenda tempatan merupakan sebuah tajau atau tempayan gergasi.


Selain menyimpan khazanah sejarah dan memiliki destinasi-destinasi pelancongan yang menarik untuk diterokai, Keningau juga pernah menyaksikan satu peristiwa hitam yang meninggalkan noda pada tinta perjalanan sejarah daerah ini yang akan dikenang buat selamanya. Di saat Negeri Di Bawah Bayu berada di musim tengkujuh yang menyaksikan beberapa daerah dilanda banjir dan tanah runtuh, molek rasanya bagi kita untuk mengenang kembali peristiwa hitam ini sebagai pengajaran agar tidak leka dan senantiasa berwaspada dengan persekitaran di sekeliling.


Lapan tahun sebelum negara kita digegarkan dengan peristiwa tsunami yang melanda beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia pada 26 Disember 2004 kita sebenarnya pernah dilanda malapetaka bencana alam yang disifatkan Pimpinan Tertinggi Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca Malaysia pada masa itu, Dr Lim Joo Tick menyebut badai yang berkekuatan 35 knot atau 70 kilometer per jam sebagai antara yang terburuk dalam tempoh 51 tahun sejarah bencana yang pernah melanda negara.


Pada tarikh yang serupa namun tahun yang berbeza, 26 Disember 1996, ribut Greg yang dijangka melanda Thailand telah mengubah haluan dan menuju ke Sabah. Impak daripada bencana ini telah menyebabkan beberapa daerah di Pantai Barat Sabah seperti Kota Kinabalu, Keningau, Tuaran dan Papar terjejas, namun yang paling teruk menerima impak pasca bencana adalah daerah Keningau.


Tiada siapa yang menyangka, aliran Sungai Pampang yang kecil dan cetek berbatu mampu bertukar menjadi laluan bah yang dahsyat dan meranapkan penempatan di sekitar tebing sungai dan mengorbankan nyawa manusia yang bukan sedikit. Angin badai yang berkekuatan 35 knot atau 70 kilometer per jam itu benar-benar mengubah lanskap di sekitar tebing Sungai Pampang.


“Keadaan kawasan perkampungan yang dilanda ribut yang dahsyat itu amat sukar digambarkan dengan kata-kata. Boleh dikatakan semua yang pernah ada di tanah tersebut dihanyutkan arus ke kawasan sungai dan yang tinggal hanyalah pokok-pokok tumbang dan tapak rumah,” itu merupakan antara sebahagian perkongsian daripada Penguasa Kanan Bomba II, Ahmad Zaidi Safuan, yang merupakan antara 24 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang ditugaskan untuk menjalankan operasi di kawasan tersebut menerusi temubual antara beliau dan akhbar Utusan bertarikh 24 Mei 2014. Beliau yang pada ketika itu bertugas sebagai Koperal Penyelamat SMART di Bahagian Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, turut mengungkapkan bahawa apa yang tinggal hanyalah pokok-pokok tumbang dan air lumpur di sebalik tubuh-tubuh yang tidak bernyawa.


BAGAIMANA BENCANA BERMULA?


Beberapa hari sebelum kejadian, dikatakan tidak ada langsung petanda awal yang menunjukkan bahawa bencana besar akan terjadi, bahkan Sungai Pampang yang meragut ratusan nyawa itu juga hanya bersaiz seperti sebuah parit dengan kedalaman tidak sampai satu meter, apa yang digambarkan oleh penduduk kampung yang terselamat sangat mengejutkan, ‘SEPERTI AIR YANG DITAKUNG DALAM SEBUAH BALDI BESAR SEBELUM DICURAHKAN SEKALIGUS!’. Hujan yang turun selama beberapa hari rupa-rupanya telah menyebabkan air bertakung di puncak bukit Kimanis yang menjadi latar kepada kampung Agudon, kampung Masak, Kampung Contoh, Penempatan Tator (Tana Toraja, Indonesia, sebahagian mereka merupakan pekerja di kilang papan yang berhampiran), kampung Masjid dan kampung Limbawan yang terlibat dalam bencana.


MALANGNYA, TIDAK ADA SEORANG PUN YANG MENYEDARI AKAN HAL ITU!!!


Para mangsa yang terjejas turut menjelaskan bahawa fasa pertama ketika bencana berlaku paras air tiba-tiba naik mendadak sebelum surut secara tiba-tiba diikuti fasa kedua, kedatangan arus besar yang mengejut bersama kayu balak dan batu. Rumah para penduduk yang terbuat daripada kayu juga tidak musnah sekaligus, sebaliknya berlayar satu persatu ibarat sebuah bahtera sebelum sampai ke jambatan Sungai Pampang yang menjadi pemisah antara kampung Masjid dan Limbawan.


Detik-detik ngeri pun terjadi apabila mangsa-mangsa yang masih terperangkap di dalam rumah yang hanyut ini menempuhi saat-saat tragis apabila setiap rumah yang tiba di jambatan Sungai Pampang seolah disedut dan dikisar sebelum memuntahkan serpihan rumah, kayu balak, batu dan mangsa bersama arus deras kearah kampung Limbawan.


Ada yang mengatakan bahawa bencana terjadi sekitar pukul 5 pagi sebelum surut sepenuhnya pada jam 9 pagi, namun sesetengah sumber memetik bencana alam itu berlaku sekitar pukul 2 pagi sehingga 6 pagi di saat para penduduk sedang lena diulit mimpi sebaik usai merayakan hari Natal sehari sebelumnya. Usaha menyelamat menjadi sukar disebabkan jambatan yang menghubungkan kawasan itu dengan laluan utama roboh dihanyutkan arus deras.


Menurut Ahmad Zaidi, ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat, pasukannya hanya menemui jasad-jasad yang tidak bernyawa, tidak ada seorang pun yang terlibat secara langsung dengan bencana dahsyat itu ditemui selamat. Menurut anak kelahiran Selangor ini, pasukan pencari yang lain juga berhadapan situasi yang sama. Tidak ada apa yang tinggal di kawasan bencana, beberapa penempatan manusia bahkan hilang sama sekali daripada peta.


Secara keseluruhan, ribut Greg telah memakan korban jiwa seramai 300 orang. Kebanyakan mayat yang ditemui terbenam di dalam tanah dan pasir sedalam dua meter, lebih menyayat hati terdapat mayat-mayat yang ditemui mati memeluk bayi dan anggota keluarga mereka, bahkan ada yang dihanyutkan sejauh 50 kilometer dari Keningau, menerusi akhbar-akhbar berita di Indonesia, kebanyakan mangsa yang terkorban adalah rakyat Indonesia yang merupakan pekerja dan menetap di kawasan berhampiran, pada ketika itu, seramai 200 orang mangsa dikatakan hilang dengan 97 orang daripadanya adalah pekerja Indonesia, sebahagian besar daripada mangsa-mangsa ini masih hilang dan keberadaan mereka kekal misteri.


Ramai yang percaya, kawasan yang terjejas telah menjadi kubur tanpa tanda kepada ramai mangsa yang masih sukar dijejak sehingga ke hari ini. Disebabkan majoriti mangsa yang berasal dari Indonesia datangnya daripada provinsi (tidak tahu istilahnya dalam bahasa melayu) Sulawesi Selatan, maka Gabenor Sulawesi Selatan pada ketika itu, H Zainal Basrie Palaguna bersama Bupati (juga tidak tahu maksudnya apa) TanaToraja, Drs Tarsit berangkat melawat tapak bencana sekaligus menghulurkan bantuan kepada mangsa korban.


KONKLUSI


Pasca tragedi yang menjadi antara bencana terburuk di Asia menjelang akhir tahun 1996, Keningau bangkit semula membina reputasi peradaban zaman-berzaman. Menjadikan setiap yang berlaku sebagai hikmah tersembunyi daripada Illahi, Keningau kini rancak membangun sebagai antara lima buah bandar utama di Sabah selain Lahad Datu, Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu. Seandainya anda berkunjung ke Keningau, kenanglah kota ini, bukan sekadar kerana keramah-tamahan penduduknya yang berbilang etnik dengan etnik Dusun dan Murut sebagai etnik utama, atau keindahan sawah padi yang terbentang luas, atau betapa meriahnya tamu besar di pinggir bandar, atau signifikan warna merah dan hitam kepada dua etnik terbesar daerah ini, tetapi betapa Keningau pernah suatu masa dahulu pernah berendam selut dan nyaris karam, sebelum bingkas menikmati arus kemodenan, dan menjadikan masa silam sebagai satu kenangan yang akan dijadikan pengajaran berguna pada masa hadapan.




Foto pasca bencana. Kredit untuk Bangkok Post dan Berita harian (BHplus)


Rujukan :


1. http://syarida82.blogspot.my/2010/04/blog-post.html (DALAM SEJARAH - TRAGEDI RIBUT GREG DI SABAH)

2. https://www.bharian.com.my/node/108248 ( Misteri amukan Greg).

3. http://www.sentiasapanas.com/…/misteri-ribut-greg-keningau-… ( Misteri ribut Greg Keningau 1996).

4. https://www.youtube.com/watch?v=nYH73ALA0RY (Link youtube, Ribut Greg di Sabah).

5. http://transformasikeningau.blogspot.my/…/sejarah-asal-usul… (Sejarah asal-usul Keningau).

6. A. Hadi R. (2006). Asal Usul Keningau. Keningau: KB Publication Sdn. Bhd.

bottom of page