PULAU KELAPA DAN CERITA ASAL USUL POKOK KELAPA DI SARAWAK
PULAU KELAPA DAN CERITA ASAL USUL POKOK KELAPA DI SARAWAK
KELAPA atau nyiur (bahasa Inggeris: Coconut) adalah salah satu tumbuhan pelbagai guna yang cukup terkenal seantero nusantara. Boleh dikatakan daripada pokok sehinggalah kepada isi buahnya sememangnya digunapakai di dalam setiap aspek penghidupan manusia. Dan dari penghasilan produk kelapa juga turut menjadi asas kepada banyak menu-menu kita sebagai orang timur lebih-lebih lagi apabila berkata mengenai santan kelapa yang menjadi antara “wajib ada” kandungannya di dalam resipi-resipi masyarakat tempatan.
Asal Usul Kelapa Seantero Dunia
Berbicara dari konteks asal muasal pokok kelapa sehingga ke hari ini ianya masih lagi menjadi perbahasan pakar-pakar sejarah dan botani seantero dunia. Ada yang mendakwa bahawa ianya berasal dari semenanjung Asia Tenggara manakala tidak kurang yang menyatakan bahawa ia berasal dari barat laut Amerika Selatan.
Dari segi penemuan arkeologi pula pernah ada rekod fosil ditemui di New Zealand yang menunjukkan pokok kecil serupa kelapa tumbuh di negara tersebut sejak 15 juta tahun yang dahulu. Manakala penemuan fosil di Rajasthan, India pula membuktikan bahawa kelapa telah terlebih dahulu pernah tumbuh di negara tersebut iaitu lebih lama dari New Zealand. Untuk kelapa yang tumbuh segar dan mekar di Kepulauan Hawai pula dinyatakan keberadaannya di kepulauan tersebut adalah secara sengaja dibawa dan seterusnya ditanam oleh orang Polinesia yang membawanya belayar dari tanah asal mereka di Pasifik Selatan.
Pulau Kelapa, Kepulauan Seribu, Riau
Pulau Kelapa, begitulah satu nama pulau yang merupakan salah satu gugusan pulau-pulau kecil yang menghiasi Kepulauan Seribu di Riau. Dan dinamakan sedemikian rupa kerana di pulau inilah banyak ditumbuhi pohon-pohon kelapa berbanding kawasan nusantara yang lain. Malah menurut cerita lisan, suatu waktu dahulu dikatakan pohon kelapa lebih banyak daripada manusia yang mendiami pulaunya.
Namun dek kerana banyaknya sumber ekonomi yang mampu dijana daripada keberhasilan kelapa maka Pulau Kelapa menjadi tarikan masyarakat untuk bermukim tetap di pulau tersebut. Malah sehingga ke hari ini, Pulau Kelapa dihuni oleh pelbagai masyarakat majmuk seperti orang Betawi, Banten, Bugis, Jawa, Sumatera serta banyak lagi.
Penghijrahan beramai-ramai sebenarnya berlaku di ketika zaman kegemilangan kupra menjadi salah satu pemain ekonomi di rantau nusantara sehingga menyaksikan pelabuhan-pelabuhan di Pulau Kelapa terlalu sibuk dengan kapal-kapal saudagar yang datang untuk mengambil hasil kelapa di pulau tersebut. Dan kedatangan saudagar-saudagar bukan hanya dari wilayah nusantara malah juga orang-orang Eropah.
Cerita Asal Usul Kelapa Di Sarawak
Mengikut satu cerita lisan yang telah didokumenkan oleh seorang penulis bernama Marican Salleh pada tahun 1958, masyarakat di Sarawak tidaklah mengenali apa itu pokok kelapa. Malah kewujudan pokok mahupun buahnya langsung tidak diketahui sehinggalah ada satu cerita yang membenarkan ianya berlaku.
Al-sahibul hikayat suatu waktu dahulu iaitu sebelum kedatangan James Brooke ke Sarawak, ada seorang saudagar Sarawak yang sering belayar antara gugusan kepulauan di nusantara. Nakhoda Selar begitulah namanya yang dikatakan sebagai orang Sarawak yang pertama mengetahui tentang kelapa. Ini kerana diceritakan Nakhoda Selar yang sering singgah ke Pulau Kelapa di Kepulauan Seribu, Riau begitu tertarik dengan sumber ekonomi utama pulau tersebut. Mungkin sebagai seorang saudagar, Nakhoda Selar mengetahui bahawa sekiranya kelapa mampu ditanam di Sarawak sudah tentu ianya akan memberikan keuntungan kepada penanamnya.
Hendak dijadikan cerita, pada satu hari ketika beliau melabuhkan bahteranya di laut Pulau Kelapa, beliau terlihat ada tiga biji buah kelapa sedang terapung-apung berdekatan bahteranya. Dan tanpa berfikir panjang, beliau mengarahkan anak-anak buahnya untuk mengambil buah kelapa tersebut untuk dibawa pulang ke Sarawak. Usai urusannya di Pulau Kelapa maka belayarlah pulang Nakhoda Selar dengan hasil perniagaan beserta dengan tiga biji kelapa yang ditemui itu.
Ketika hampir sampai di kawasan Tanjung Datu dikatakan cuaca tidaklah begitu baik maka Nakhoda Selar yang amat berpengalaman di dalam dunia lautan telah bertindak melabuhkan bahteranya berhampiran dengan Pulau Talang-talang kecil. Suatu waktu dahulu bukan sembarangan orang yang berani untuk berbuat demikian kerana dikatakan Pulau Talang-talang penuh dengan unsur mistik dan paranormal.
Dalam pada itu turut diceritakan hanya seorang sahaja individu Sarawak yang berani untuk berulang-alik ke Pulau Talang-talang iaitu yang bernama Abang Pata. Ini kerana Abang Pata mempunyai ilmu yang tinggi sehingga membenarkan beliau mampu untuk mengambil hasil-hasil telur penyu yang banyak di Pulau Talang-talang pada masa itu.
Melihat adanya bahtera yang berlabuh berhampiran Pulau Talang-talang telah menarik Abang Pata untuk mampir ke bahtera Nakhoda Selar. Salam perkenalan Abang Pata disambut dengan penuh hormat oleh Nakhoda Selar dan akhirnya mereka menjadi sahabat. Dan dari penceritaan seorang sahabat yang sememangnya berpengalaman luar belayar ke negara orang menjadikan Abang Pata tertarik dengan cerita Pulau Kelapa dan produk kelapanya. Oleh itu dari Nakhoda Selar juga tiga biji kelapa yang ditemui di laut Pulau Kelapa diberikan kepada Abang Pata untuk ditanam di Pulau Talang-talang.
Tujuh tahun kemudian barulah Abang Pata melihat tiga biji kelapa yang ditanamnya menjadi pohon kelapa yang tegak merimbun dengan buah-buahnya. Dan dari situlah juga, Abang Pata menyedari bahawa kelapa sememangnya mampu memberi keuntungan kepadanya sebagai seorang pekebun. Maka beliau berhasrat untuk menjadikan Pulau Talang-talang sebagai pusat penanaman kelapa di Sarawak pada masa itu.
Oleh kerana masih lagi dibelenggu oleh cerita mistik dan supernatural bahawa Pulau Talang-talang itu “keras” maka beliau memohon bantuan daripada Panglima Nawas. Panglima Nawas adalah seorang Dayak Lundu yang juga cukup gagah serta terkenal dengan ilmu kebatinannya. Beliau juga gah namanya sebagai salah seorang pahlawan kepada Raja Api dari Sematan. Dan berkat pertolongan daripada Panglima Nawas itulah dikatakan segala sumpahan mistik dan supernatural yang berada di Pulau Talang-talang berjaya dihapuskan.
Apabila segala hal-hal negatif di Pulau Talang-talang berjaya diselesaikan menyaksikan Panglima Nawas dan Abang Pata sehati sejiwa mula menanam pokok kelapa secara banyak di pulau tersebut. Dan bermula dari pulau inilah maka pokok-pokok kelapa mula ditanam di bahagian-bahagian lain di Sarawak seperti Sematan, Santubong serta tempat-tempat lain yang kita ketahui sekarang.
Begitulah ceritanya asal usul pokok kelapa di Sarawak yang menurut riwayatnya merupakan berasal dari tiga biji kelapa dari Pulau Kelapa, Kepulauan Seribu, Riau. Sungguhpun hanya cerita legenda mengenai kelapa namun ianya begitu unik dan menarik lebih-lebih lagi didalam menghubungkan ikatan kita di Sarawak dengan Kepulauan Riau yang sebenarnya dahulukala adalah sebahagian daripada jiran Borneo yang terdekat.
Hanya garis politik ciptaan Inggeris dan Belanda yang mana menyaksikan ianya menjadi Republik Indonesia memisahkan kita, namun dari segi masyarakat, sejarah serta tradisi mahupun cerita legenda kita masih berkongsi yang sama.
Rujukan:
1. Sejarah Pulau Kelapa
http://wisata-murah-pulau-seribu.blogspot.my/2012/11/sejarah-pulau-kelapa.html
2. Origin of Sarawak Coconuts by Marican Salleh (1958)