HARIMAU DAHAN BORNEO
- Jan 1, 2018
- 3 min read

HARIMAU DAHAN BORNEO (BORNEO CLOUDED LEOPARD)
DIDALAM dunia haiwan seantero dunia dinamakan Harimau Dahan Borneo atau Macan Dahan Kalimantan atau Borneo Clouded Leopard (Bahasa Inggeris) merupakan satu spesis harimau dahan yang berkeliaran semenjak sekian lama dalam pulau Borneo. Ianya dikatakan sama saja seperti spesis seperti harimau dahan lain yang ada di Tanah Besar (bermula dari Sumatera, Semenanjung Malaysia sehingga ke Indo China) disebabkan rupanya yang hampir sama. Maka dengan itu ia dikelaskan sama seperti Harimau Dahan Sunda yg terdapat di Sumatera, Semenanjung Malaysia, Thailand & Vietnam. Namun begitu, sekitar tahun 2005-2006, para Saintis telah membuat keputusan untuk meletakkan Harimau Dahan Borneo dalam kelas yang berbeza. Dalam ertikata lain, Harimau Dahan Borneo merupakan satu spesis BARU di Borneo. Ketika mereka membuat kajian khas di dalam projek 'Heart of Borneo' yang ditajakan oleh WWF, saintis mendapati sekurang-kurangnya 40 perbezaan ditemui ketika membuat perbandingan DNA antara kedua-dua spesis, Harimau Dahan Tanah Besar vs Harimau Dahan Borneo. Perbezaan yang agak ketara ini ditemui apabila mereka membuat ujian DNA ke atas sampel kulit antara kedua-dua spesis dan sememangnya luarbiasa bagi saintis kerana ini sudah menyamai seperti kita membezakan antara Harimau Belang dan Singa. Saintis juga mengakui telah terlepas pandang akan perbezaan ciri-ciri fizikalnya, Harimau Dahan Borneo mempunyai corak 'awan' atau tompok yang lebih kecil pada bulunya, dan warnanya jauh lebih gelap jika dibandingkan dengan corak yang terdapat pada Harimau Dahan Sunda yang lebih besar dan berwarna cerah. Paling mengejutkan, mereka mendapati Harimau Dahan Borneo juga mempunyai taring 'Canine' atau taring utama yang terpanjang dalam keluarga feline (kucing), dan berukuran sehingga 2 inci panjangnya. Walaupun saiz badan Harimau Dahan Borneo jauh lebih kecil dari Harimau Belang yang taringnya jauh lebih besar, ini bukan alasan untuk menafikan bahawa saiz taring Harimau Dahan sebenarnya antara yang terpanjang antara spesis kucing (feline). Bayangkan sekiranya saiz Harimau Dahan Borneo menjadi sebesar Harimau Belang Siberia atau Singa, ianya sama seperti anda melihat Harimau Sabre-Tooth (Sabre Tooth Cat) versi dunia moden! Menurut pakar pengkaji haiwan, Harimau Sabre-Tooth mempunyai taring yang panjangnya jika dibandingkan dengan saiz badannya, begitulah juga dengan sifat yang terdapat pada Harimau Dahan Borneo. Walaupun saiz badannya jauh lebih kecil, namun dengan taring yang luarbiasa panjang dan badannya sepanjang 35 inci (ukuran dari kepala hingga ke ekor) lebih kurang sebesar anjing Labrador, memberi kelebihan kepadanya untuk menjadi antara haiwan pemangsa dan pemanjat pokok yang handal di Borneo. Ia dipercayai mampu menumbangkan haiwan yang jauh lebih besar dari badannya, antara haiwan-haiwan mangsanya kegemarannya seperti monyet, rusa, babi hutan dan sebagainya. Apa yang menarik, sudah lebih ratusan tahun para pengkaji haiwan memerhatikan spesis Harimau Dahan Borneo ini berkeliaran di Pulau Borneo, namun tiada seorang pun yang menyedari dan secara tak langsung terlepas pandang akan keunikan spesis ini yang berlainan dengan spesis Harimau Dahan di Tanah Besar, sehinggalah penemuan baru ini pada tahun 2005-2006. Harimau Dahan Borneo dikatakan terpisah dari spesis yang ada di Tanah Besar lebih dari 1.4 juta tahun yang lalu menjadikan ia suatu variasi spesis yang berbeza.
Jadi pada sesiapa warga di Borneo yang menjumpai spesis ini berkeliaran di hutan atau ada yang mungkin sudah berani memunculkan dirinya pada awam seperti yang tular beberapa hari yang lepas iaitu kelibatnya ada di sempadan Miri/Brunei, maka janganlah ia dibunuh membabi buta kerana ianya termasuk di dalam senarai haiwan terlindung di Borneo. Bersama-samalah kita memulihara spesis-spesis haiwan yang terlindung agar ianya boleh dilihat oleh generasi kita seterusnya.


Comments