top of page

4 SABDA TUAN RAJAH CV BROOKE 1/7/1947

EMPAT SABDA TUAN RAJAH CHARLES VYNER BROOKE 1 JULAI 1947


UMUM mengetahui bahawa bukanlah senang untuk rakyat Sarawak menerima keputusan Sir Charle£s Vyner Brooke “memberikan” Sarawak sebagai salah satu jajahan takluk Koloni British. Laungan Anti-Penyerahan Sarawak selepas Perang Dunia Kedua tamat meresapi seluruh jiwa raga anak Sarawak di ketika keputusan itu didengar. Kemuncak kepada gerakan anti penyerahan ini adalah apabila Sir Duncan Steward dibunuh oleh Allahyarham Rosli Dhoby bersama rakan-rakan Rukun 13 yang mana akhirnya mereka dihukum gantung sampai mati pada tanggal 2 Mac 1950. Selepas itu api anti-penyerahan sudah sedikit demi sedikit pudar selepas peristiwa tersebut.


Dalam pada itu jika kita menguak pintu sejarah sebelum adanya rancangan penyerahannya ini adalah kerana pada hakikatnya Kerajaan Sarawak dibawah Brooke sebenarnya hampir muflis. Jika Sir Charles Brooke iaitu Rajah Kedua Sarawak digambarkan sebagai seorang rajah yang berjimat cermat dan pandai menguruskan kewangan Sarawak berlainan pula apabila tampuk pemerintahan bertukar tangan kepada Sir Charles Vyner Brooke.


Dengan gaya hidupnya yang lebih suka berpoya-poya dan lebih banyak membelanjakan kewangan Sarawak yang diwarisi dari ayahnya Sir Charles Brooke menyebabkan kedudukan kewangan agak tidak selamat. Dan lagi menambah luka apabila diwaktu pemerintahan beliau juga perang dunia kedua sudahpun mula meletus. Bagi memastikan Sarawak turut serta di dalam kempen pra-perang Kerajaan Berikat pada masa itu direkodkan Kerajaan Sarawak sendiri telah membelanjakan hampir £312,000 dan ini tidak termasuk daripada orang perseorangan mahupun penjawat awam di Sarawak pada masa itu.


Dan apabila Perang Dunia Kedua sudah mula menebar ke Asia Tenggara, Sarawak dibawah Rajah Charles Vyner Brooke terpaksa membuat beberapa persediaan untuk melindungi Sarawak daripada terjerumus ke dalam perang. Bukan sedikit infrastruktur yang telah didirikan seperti lapangan terbang, bunker-bunker serta memperkuatkan barisan pertahanan yang dikenali sebagai Sarawak Force atau SARAFOR pada ketika itu. Ada juga yang dirancangkan tidak disiapkan akibat kantong kewangan Sarawak hampir kosong.


Sehari sebelum perayaan Hari Krismas pada tahun 1941 menyaksikan Tentera Jepun sudah mula memijakkan kaki mereka melalui bumi Miri iaitu tempat dimana berhimpunnya ekonomi minyak Sarawak. Dan perlulah diketahui pada ketika itu, Sarawak sebenarnya amat lemah kerana hanya bergantung harapan kepada kekuatan tentera British di Asia Tenggara untuk bertahan dari segi udara dan kelengkapan. Ini kerana Sarawak masih lagi berpegang pada Perjanjian Negara Protectrate 1888 yang pernah ditandatangani dahulu antara Sarawak, Brunei, North Borneo dan British.


Namun sayangnya akibat daripada British sendiri terlibat di dalam perang dunia kedua makanya apa yang dijanjikan untuk Sarawak tidak pernah kunjung tiba. Hanya belas ihsan dari tentera udara British di Labuan yang membantu namun ianya tidak terhalang oleh kekuatan Nippon Go pada masa itu. Taktik bumi hangus yang dijalankan keatas infrastruktur minyak di Miri juga sebenarnya merugikan Sarawak. Walaupun selepas pendudukan Jepun, trup Kawaguchi Jepun berjaya membaikpulih infrastruktur tersebut dalam hanya dua ke tiga bulan sahaja namun ianya tetap musnah apabila perang masih lagi bertali arus untuk hari-hari seterusnya.

Akhirnya apabila Sarawak dikembalikan ke tangan keluarga Brooke hakikatnya Sarawak pada masa itu sudahpun tenat kewangannya dan tidak mampu lagi untuk menguruskan pentadbiran kewangannya. Dalam pada itu ada cerita disebalik tabir yang mengatakan bahawa Rajah CV Brooke sudahpun muak memerintah dan menerima pula habuan sebanyak £1,000,000 sebagai imbuhan penyerahan Sarawak kepada Koloni British. Namun sehingga ke hari ini ia hanya satu khabar angin sahaja tanpa ada dokumen yang berjaya menyahihkan kebenaran cerita tersebut.


Dan bilamana berkata mengenai Council Negri iaitu majlis negeri yang mempunyai hak untuk ekslusif sebarang hal yang berlaku di Sarawak, makanya Rajah CV Brooke harus mendapat persetujuan daripada mereka. Disini juga ada mempunyai corat-coret tentang hal pemimpin-pemimpin di Council Negri menerima imbuhan untuk bersetuju atas cadangan Rajah CV Brooke. Namun hakikatnya bukanlah semudah itu pemimpin-pemimpin Sarawak hendak menggadaikan ibu pertiwi mereka. Imbuhan yang diberikan telah dipulangkan semula kepada Rajah CV Brooke sebaliknya laungan anti penyerahan terus berkumandang di bumi Sarawak semakin kuat pada ketika itu biarpun Sarawak sudah sah diserahkan menjadi Koloni Mahkota Sarawak British pada tanggal 1 Julai 1946.


Begitulah secara ringkasnya perjalanan cerita penyerahan Sarawak yang merdeka sebagai sebuah entiti tersendiri lebih 100 tahun dibawah Brooke dan akhirnya menjadi jajahan koloni. Dan hanya selepas setahun diserahkan kepada Koloni British, barulah mantan Rajah ketiga berani membuat perutusan atau sabda kepada rakyat jelata Sarawak diatas keputusannya menyerahkan Sarawak iaitu pada tanggal 1 Julai 1947. Sabda Tuan Rajah ini dibuat di dalam empat bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Melayu, Iban dan Cina.



Rujukan:

1. Sarawak Historical Events 1946-1960 Compiled by Ho Ah Chon (PDF)

2. Sarawak Kingdom as Crown Colony Sarawak British

http://www.britishempire.co.uk/maproom/sarawak.htm\

3. Buku Perjuangan Anti Cession Sarawak - Peranan Utama Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak oleh Haji Mohd. Hasbie bin Sulaiman

4. Chronology Of Sarawak Throughout The Brooke Era To Malaysia Day

http://www.theborneopost.com/2011/09/16/chronology-of-sarawak-throughout-the-brooke-era-to-malaysia-day/


bottom of page