top of page

FROM SARATOK WITH LOVE


FROM SARATOK WITH LOVE


SARATOK, begitulah satu nama sebuah pekan dan daerah yang berada dibawah pentadbiran Bahagian Betong, Sarawak. Lokasinya terletak di bahagian timur laut dari ibukota Kuching. Di dalam daerah Saratok ini bagi memberikan tadbirurus yang berkesan maka telah dibahagikan kepada Daerah Kecil Roban dan Daerah Kecil Kabong. Diperkira jika berkata tentang sumber ekonomi, di Saratok inilah banyak terdapat ladang-ladang kelapa sawit berskala besar yang menjadi antara pemangkin sumber ekonomi bagi Sarawak amnya dan Saratok khususnya.


Sehingga ke hari ini, bagaimana Saratok mendapat nama masih lagi diperdebatkan. Namun begitu seperti kebiasaannya apabila merujuk kepada nama tempat sudah tentu banyak versi-versi cerita lisan. Antara versi cerita lisan yang diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain di Saratok adalah yang memperkatakan hubungan kawasan ini dengan satu pokok iaitu pokok Salak.


Diceritakan suatu waktu dahulu pokok Salak sangat banyak tumbuh di kawasan tersebut sehingga ianya menjadi tarikan warga penduduk dari kawasan lain berkunjung ke situ. Pada ketika itulah penduduk tempatan akan mengajar orang luar bagaimanakah untuk membezakan pokok Salak dengan pokok yang lain. Maka penggunaan bahasa yang digunakan iaitu “Salak lah tok” bagi menunjukkan inilah pokok Salak akhirnya menjadi label untuk penduduk luar menggelarnya satu kawasan tidak bernama sebagai “Salak tok” yang lama-kelamaan dipertuturkan menjadi “Saratok”.


Berlainan pula dengan yang dicatatkan oleh seorang penulis bernama Chang Pat Poh di dalam buku berjudul “Legends & History of Sarawak” yang mengaitkan asal muasal nama kawasan Saratok adalah dari hubungkaitnya dengan cerita seorang lelaki melayu yang sudah tua bernama “Dato”. Dikatakan Dato akibat sudah nyanyuk sering tersalah jalan untuk ke rumah rakannya. Oleh kerana sering diperbetulkan oleh orangramai arah jalannya dengan “Salah lah tok” maka satu kawasan yang tidak lagi bernama akhirnya dipertuturkan sebagai “Saratok” kemudiannya.


Untuk buku yang ditulis oleh seorang pengkaji sejarah tersohor di Sarawak iaitu Benedict Sandin melalui bukunya ‘The Living Legends: Borneo Telling Their Tales’ menyatakan bahawa nama Saratok diambil bersempena dengan nama seroang pahlawan dari etnik Seru yang pernah mendiami kawasan ini suatu waktu dahulu. Nama pahlawan Seru ini adalah “Segatok” yang mana pada ketika itu telah melarikan demi survival kaumnya sewaktu perang kayau banyak terjadi di Sarawak suatu waktu dahulu.


Didalam pelarian demi survival ini dikatakan, Segatok bersama anak buahnya telah bersembunyi di satu kawasan bukit dan disitulah mereka meneruskan penghidupan mereka apa adanya. Munggu Segatok begitulah nama tempat tersebut yang mana dipercayai sekarang merupakan lokasinya Pejabat Daerah Saratok berada. Dari nama Segatok akhirnya disebabkan oleh lidah penutur lalu menjadi Saratok sehingga ke hari ini.


Sebagai sebuah daerah di Sarawak sudah tentu Saratok juga tidak boleh lepas daripada kronologi sejarah pemerintahan Brooke di Sarawak. Di Saratok juga pernah dibina kubu-kubu pertahanan yang dibina oleh Brooke suatu waktu dahulu sebagai tanda pentadbiran mereka di daerah ini. Kubu Charles atau Fort Charles misalnya yang didirikan pada tahun 1878 iaitu lokasinya didirikan betul-betul di Munggu Segatok. Sekitar tahun 1893 dek kerana hakisan tanah akhirnya kubu ini hilang dari pandangan namun kerana kepentingannya sebagai pusat pengumpulan cukai pentadbiran Brooke maka dua tahun selepas itu iaitu tahun 1895 menyaksikan ianya dibina semula dengan binaan yang lebih kukuh iaitu berstrukturkan kayu berlian.


Menurut laporan census ketika zaman Brooke menyatakan bahawa di Saratok dahulunya ramai masyarakat Iban yang mendiami persisiran Sungai Krian sehingga ke Sungai Sebetan. Manakala untuk Kaum Melayu pula lebih tertumpu di kawasan Kabong dan Sessang. Akitiviti ekonomi mereka yang utama adalah menjadi penanam padi, nelayan serta menanam rumbia atau sagu. Kemudian sekitar tahun 1900an kerana permintaan getah yang tinggi di pasaran, pokok-pokok getah pula mulai ditanam memanjang dari Saribas sehinggalah ke Sungai Krian pada waktu itu.


Untuk Kaum Cina pula mula mendominasi daerah ini apabila polisi Kerajaan Brooke yang membenarkan mereka berhijrah untuk menanam lada hitam atau aktiviti penanaman yang lain sekitar tahun 1900an juga. Akibat daripada permintaan untuk mendapatkan barangan dapur makanya beberapa deretan kedai kayu pertama milik kaum Cina mula didirikan di sepanjang Batang Krian iaitu oleh komuniti Cina Hokkien.


Biar satu kawasan yang jauh dari kota besar, tetapi Saratok juga mempunyai beberapa tempat yang menarik untuk dilawati. Antarabya adalah satu telaga yang amat unik yang berada betul-betul di Bangunan Pejabat Daerah Saratok sekarang. Telaga itu dikenali sebagai Telaga Mok Haji Kiah. Dikatakan walaupun sudah wujud sebegitu lama sehingga sekarang telaga tersebut tidak pernah kering airnya.


Selain daripada itu jika berkata mengenai sejarah kuno Saratok pula mungkin ramai tidak tahu bahawa disinilah terletaknya Tapak Bersejarah Orang Kaya Temenggung Tandok iaitu di Krian Tengah atau dikenali sebagai Krangan. Sekitar tahun 1833 dinyatakan bahawa rumah panjang milik OKT Tandok telah dibakar oleh orang Iban dari Banting yang dipimpin oleh Ijau Lang. Peristiwa ini berlaku akibat daripada ketidakpuasan terhadap dasar pungutan cukai kerana pada masa itu Saratok merupakan antara tanah kuripan Kesultanan Brunei Darussalam.


Tidak akan lengkap penceritaan mengenai Saratok jika tidak dimasukkan sukan air yang paling popular sehingga mampu mengangkat nama acaranya di dalam kalendar pelancongan negeri Sarawak. Regatta Saratok adalah antara salah satu pesta sukan air yang mana menyaksikan perlumbaan perahu panjang diadakan saban tahun.


Jika dahulu Saratok mungkin agak terasing dari dunia luar dan sejajar dengan peredaran zaman serta pembangunan mula dikecapi di Sarawak maka begitu mudah untuk ke Saratok dengan jalinan jalan darat seperti bandar-bandar lain di seluruh Sarawak.


Setiap daerah mempunyai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayangnya.





Photo credit to: lococontadino.blogspot.my



Rujukan:


1. Book Legends and History Of Sarawak by Pat Foh Chang (published 1999)

2. Book The Living Legends: Borneon Telling Their Tales by Benedict Sandin (published 1980)

3. Laman Web Rasmi Majlis Daerah Saratok

http://www.saratokdc.sarawak.gov.my

  1. http://fortranee.pi1m.my/index.php/warga-pi1m/sosio-ekonomi/pelancongan]


bottom of page