top of page

PWII (B) INDANG ANAK ENGKAS


JEJAK PAHLAWAN SARAWAK: PWII (B) INDANG ANAK ENGKAS (PGB)


DIKENALI di kalangan rakan seperjuangannya sebagai seorang anggota keselamatan yang begitu komited serta berdisiplin tinggi. Di dalam saat-saat genting di sepanjang kerjayanya sentiasa menjadi pembakar semangat buat anggota tentera yang lain. Namanya mungkin tidak dikenali ramai namun beliaulah antara anak Sarawak yang membarisi senarai penerima Pingat Gagah Berani dari Yang Dipertuan Agung Malaysia pada tanggal 7 Jun 1972.


Indang anak Engkas, seorang anak Iban yang berasal dari Rumah Langkau, Kapit merupakan seorang anggota tentera yang memulakan kerjaya ketenteraannya sebagai anggota Sarawak Renjer pada tahun 1962 dan kemudiannya selepas pembentukan Malaysia diserapkan menjadi anggota Tentera Renjer Malaysia. Lahir dikalangan keluarga yang tidaklah berada menyaksikan Indang hanya mampu menamatkan persekolahan sehingga ke Darjah Dua sahaja. Namun soal taraf pendidikan bukanlah satu rintangan kerana di dadanya sudah disemai semangat kepahlawanan yang tulin apabila memilih kerjaya tentera.


Mengimbau cerita kepahlawanan Indang sehingga mendapat pengiktirafan penerima PGB bermula di ketika menyertai satu operasi di Tanjung Kunyit, Sibu pada tanggal 20 Mei 1972. Pada hari itu bersama dengan enam lagi sahabat seperjuangannya yang mana pada masa itu beliau sendiri berpangkat Sarjan telah ditugaskan untuk membuat rondaan. Di kala membuat rondaan itulah kumpulan Sarjan Indang telah bertembung dengan segerombolan komunis dengan kekuatan kira-kira 30 orang. Walau hanya enam orang pada waktu, Kumpulan Sarjan Indang langsung tidak goyah untuk berlawan dengan musuh yang ramai.


Di saat genting iaitu di ketika senapang musuh sudah dihala ke kepalanya, Sarjan Indang dengan segala kekuatan yang ada telah menepis senjata musuh tersebut sehingga berjaya membunuh seorang komunis wanita dengan bantuan seorang lagi rakan seperjuangannya. Walau kejadian maut sudah mendepani matanya pada ketika itu, Sarjan Indang dan kumpulannya langsung tidak beralah malah komunis yang berjaya meloloskan diri buat kali pertama dijejaki sehingga ke lubang cacing.


Pada hari yang sama berbekal semangat “Agi Idup Agi Ngelaban”, Sarjan Indang dan kumpulannya akhirnya berjaya menjejaki musuh pada satu lokasi di seberang sungai. Dengan taktik serangan yang diatur oleh Sarjan Indang akhirnya telah berjaya membunuh enam lagi komunis dan merampas 11 laras senjata serta beberapa peralatan yang lain.


Bayangkan dengan jumlah kekuatan seramai enam orang sahaja pada masa itu, kumpulan Sarjan Indang yang bersemangat waja telah berjaya menidakkan kekuatan musuh seramai hampir 30 orang pada satu masa. Keberanian ini bukan biasa-biasa malah tersangat luar biasa malah cerita pertempuran di Tanjung Kunyit yang berlaku pada tahun 1972 itu sentiasa menjadi antara bualan cerita para pejuang kita sehingga ke hari ini.


Setelah bergelumang hampir 27 tahun di dalam dunia ketenteraan akhirnya bujang berani ini bersara dari kariernya dengan pangkat terakhirnya sebelum bersara sebagai Pegawai Waran II. Selepas bersara, PWII (B) Indang anak Engkas kembali ke Sarawak untuk bersama-sama menikmati detik-detik persaraannya bersama keluarganya di Kapit.

Pada tanggal 16 Ogos 2012 di ketika usianya 73 tahun, Malaysia amnya dan Sarawak khususnya kehilangan seorang pahlawan bangsa telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Umum Sarawak. Mendiang disemadikan dengan penuh adat ketenteraan di Methodist Cemetery, Jalan Kuching-Serian. Satu pemergiannya diratapi oleh ahli keluarga dan rakan-rakan seperjuangannya. Mendiang meninggalkan seorang balu bernama Anna anak John serta enam orang cahayamata yang menjadi penerus legasi kepahlawanan Mendiang.


Hargailah setiap keamanan yang kita kecapi kerana tanpa pengorbanan anggota keselamatan kita seperti apa yang dilakukan oleh Mendiang PWII Indang anak Engkas sebagai contoh, sudah tentu kita tidak sesenang sesenang sekarang. Lest We Forget!


Rest In Peace, Mendiang PWII (B) Indang anak Engkas.





Rujukan:


1. Sergeant Indang ak Engkas, P.G.B. In A Firefight At Tanjung Kunyit.

http://renjervalour.blogspot.my/2005/10/sergeant-indang-ak-engkas-pgb-in.html

2. Borneo Post 19 Ogos 2012 - Sarawak Kehilangan Perwira, Pegawai Waran 2 Indang Anak Engkas

  1. Pertempuran Di Tanjung Kunyit, Bintangor 1972 - Borneo Oracle


bottom of page