TUPAI “VAMPIRE”
TUPAI “VAMPIRE”
ALKISAHNYA bila kita berbicara “vampire” sudah tentu terbayang makhluk yang menghisap darah mangsanya sehingga kering. Dan setiap antara kita akan merasa ngeri hanya dengan mendengar ceritanya. Dan apatah lagi bila ada spesis haiwan yang kita kenali pula dikategorikan sebagai haiwan peminum darah. Dengan status pulau Borneo yang terdiri daripada hutan tropika yang dikatakan antara yang tertua di dunia sudah tentu tidak pernah kurang dengan cerita pelik-pelik mengenai penghidupan yang menghuninya.
Tupai “Vampire” atau Tupai Peminum Darah atau dengan nama saintifiknya Rheithorosciurus Macrotis merupakan sejenis tupai yang hanya boleh didapati di Taman Negara Gunung Palung iaitu sebuah taman negara yang lokasinya terletaknya di Kabupaten Ketapang, Kalimantan Barat, Republik Indonesia. Hanya di kawasan inilah sahaja habitatnya yang pernah ada di dunia.
Jika dilihat dari segi fizikal, tupai “vampire” agak berlainan dengan tupai-tupai yang sering kita lihat kerana jenis tupai seperti ini memiliki bulu ekor yang lebat. Malah dikatakan ekornya 30% lebih besar berbanding tubuhnya yang hanya sepanjang 36 cm. Dan antara sifat semulajadi tupai ini adalah ianya aktif serta bersifat agresif hanya pada waktu malam.
Di sebalik kecantikan sejenis tupai yang dinobatakan spesis tupai tercantik di dunia turut menyimpan 1001 cerita pelik-pelik mengenainya. Bagi masyarakat di kawasan yang mendiami Gunung Palung menyatakan bahawa jenis tupai ini pernah dilihat mengejar mangsanya dengan cara tersendiri. Iaitu dengan melompat dari dahan ke dahan dan seterusnya terjun menjunam ke arah seekor kijang lantas menyerang tepat di bahagian tengkuk lalu menghisap darahnya sehingga kijang itu mati. Berdasarkan kepada cerita lisan itulah maka ianya digelar si tupai peminum darah.
Menariknya mengenai spesis tupai ini hanya direkodkan kewujudannya oleh pakar haiwan sekitar tahun 2014 iaitu apabila pengkaji-pengkaji haiwan dari Universiti Michigan dan Universiti Victoria mampu merekodkan kelibatnya di dalam satu video yang dipasang di satu lokasi yang agak terpencil di Gunung Palung. Selepas penemuan yang memeranjatkan seluruh dunia tiada lagi cerita mengenainya sehingga jenis tupai ini dikategorikan sebagai jenis haiwan terancam di dunia.
Sehingga ke hari ini informasi mengenai jenis tupai peminum darah masih lagi di peringkat kajian walaupun sudah dipastikan kewujudannya hanya ada di Gunung Palung. Dan para pengkaji juga masih lagi tercari-cari apakah benar tupai peminum darah benar-benar bersifat “vampire” seperti yang dipercayai oleh masyarakat setempat kerana tiada siapa yang mampu merungkap apakah makanan sebenar jenis tupai ini memandangkan ianya amat jarang ditemui.
Begitulah cerita tentang sejenis tupai eksotik yang dikenali dengan nama tupai “vampire” atau tupai peminum darah. Sifatnya yang hanya muncul di waktu malam juga seakan-akan sifat “vampire” namun masih kekal misteri sehingga ke hari ini. Hakikatnya dengan status pulau Borneo yang terdiri daripada hutan tropika iaitu antara yang tertua di dunia sudah tentu menyimpan khazanahnya yang unik. Terpulang kepada kita sebagai manusia untuk menghormati dan memeliharanya buat generasi yang mendatang.
Rujukan:
1. https://www.merdeka.com/teknologi/tupai-vampir-peminum-darah-kijang-tertangkap-kamera-di-kalimantan.html
2. http://www.sciencemag.org/news/2014/06/vampire-squirrel-has-worlds-fluffiest-tail
3. https://www.washingtonpost.com/news/local/wp/2015/04/16/beware-a-vampire-squirrel-lurks-deep-in-the-jungles-of-borneo/?utm_term=.246c915c6798
https://www.wowkeren.com/berita/tampil/00084083.html