top of page

CERITA KALENG BURAN “MANUSIA BULAN”


CERITA KALENG BURAN “MANUSIA BULAN”


CERITA rakyat merupakan salah satu daripada kekayaan sastera rakyat di kalangan masyarakat di seantero dunia. Kebiasaannya cerita-cerita seperti ini sering didodoikan kepada anak-anak kecil di ketika mereka hendak masuk tidur. Dan sejajar dengan peredaran zaman menyaksikan banyak sastera rakyat hilang dari pengetahuan kita semua dek kerana begitu sedikit usaha-usaha untuk mendokumentasikannya.


Berbicara dari konteks bulan mengambang iaitu satu kejadian alam yang begitu indah ciptaan Tuhan buat tatapan kita manusia sebenarnya turut mempunyai ceritanya yang tersendiri jika kita menghalusi cerita-cerita rakyat di seluruh nusantara. Dan dari perspektif ini juga, masyarakat Bidayuh di Sarawak turut mempunyai satu cerita mengenainya iaitu yang dihubungkaitkan dengan cerita sepasang suami isteri di kalangan kaum Bidayuh suatu waktu dahulu.


Alkisahnya di Sarawak pernah hidup seorang pemuda Bidayuh yang bernama Kaleng Buran. Kaleng digambarkan sebagai seorang pemuda yang gagah serta tampan wajahnya dan mana-mana gadis yang melihatnya pasti akan dilamun cinta. Walaupun mempunyai ramai peminat, Kaleng sebenarnya sudahpun memiliki kekasih hati iaitu seorang gadis bernama Sipira. Tatkala dua hati sudah menjadi satu maka pasangan yang sama cantik sama padan ini telah dikahwinkan mengikut adat-istiadat perkahwinan masyarakat Bidayuh.


Melayari bahtera rumahtangga bukanlah semudah yang kita sangka kerana dikala inilah segala buruk dan baik setiap pasangan akan mula menjelma dan mengambil masa untuk difahami. Dan begitulah juga si Sipira iaitu isteri kepada Kaleng Buran. Kerana dikatakan perangai pelik si Kaleng yang sentiasa “ghaib” apabila bulan tidak lagi mengambang menyebabkan hubungan mereka suami isteri sentiasa tegang. Sebagai seorang isteri sudah tentu Sipira merasa cemburu lebih-lebih lagi sejak dari awal perkenalan mereka sudah mengetahui bahawa “saham” suaminya sebagai seorang pemuda yang tampan sentiasa didambakan oleh mana-mana gadis pada waktu itu.


Hendak dijadikan cerita dek kerana sifat ingin tahu Sipira akan kehilangan suaminya si Kaleng, pada satu malam dia telah mengekori suaminya diam-diam. Dikala itulah baru Sipira mengetahui bahawa suaminya bukanlah pergi ke mana-mana kampung sebaliknya hanya bermalam di pondok milik mereka yang dibina di kawasan huma. Atas sifat ingin tahu itulah Sipira tetap setia mengintai keberadaan suaminya disebalik celah-celah dinding pondok tersebut.


Di dalam kepekatan malam itu juga, si isteri dapat melihat dengan jelas bagaimana suaminya si Kaleng Buran telah bertukar dari seorang pemuda yang gagah dan tampan menjadi seorang lelaki yang begitu menjijikkan serta busuk. Ini kerana seluruh badan suaminya telah muncul kudis-kudis sehingga adakalanya dapat dilihat ulat-ulat timbul dari luka-luka tersebut.


Tatkala melihat keadaan suaminya itu langsung Sipira sudah hilang segala rasa kecintaan serta kasih sayang yang selama ini mekar di hatinya. Terkejut dengan perubahan tersebut menyebabkan beliau terus pulang ke rumah lantas mengunci pintu rumah mereka rapat-rapat agar suaminya tidak boleh mendekatinya lagi. Sipira jijik untuk bersuamikan si Kaleng dan langsung tidak mahu bertemu dengannya langsung.


Akhirnya selang beberapa hari bersembunyi di pondok huma mereka, si Kaleng pun pulang ke rumah seperti biasa. Namun pada kali ini, si Kaleng begitu kecewa kerana isterinya langsung tidak mahu membuka pintu rumah untuknya. Malah isterinya yang dicintai terus-terusan memaksa si Kaleng untuk pergi dari hidupnya. Pada waktu yang sama, si isteri turut menghina si Kaleng sebagai seorang pemuda yang tidak jujur kerana mempunyai ilmu hitam sehingga amalannya yang salah itu “membunuh” dirinya.


Apabila mendengar penjelasan isterinya barulah si Kaleng sedari bahawa rahsia besarnya selama ini sudah terbongkar walaupun hakikatnya ia tidak seperti yang disangka oleh isterinya. Kaleng tetap berusaha memujuk isterinya untuk menerima beliau kembali kerana Kaleng sebenarnya sejak dilahirkan sudahpun mempunyai satu penyakit iaitu apabila tiba masanya bulan tidak bercahaya maka tubuh dan wajahnya akan berkudis-kudis dan mengeluarkan ulat serta membusuk.


Walau sudah puas diberikan penjelasan, Sipira tetap dengan pendiriannya untuk berpisah dengan si Kaleng. Ada saatnya si Kaleng merayu untuk isterinya melihatnya buat kali terakhir, Sipira tetap tidak berganjak dengan keputusannya. Ini kerana pada ketika bulan mengambanglah sahaja si Kaleng akan kembali normal menjadi seorang pemuda iban yang tampan dan gagah seperti yang selalu Sipira lihat sebelum ini.


Menyedari bahawa isterinya sudah tidak boleh menerima beliau seadanya akhirnya menyebabkan si Kaleng kecewa dan berputus asa. Lantas beliau memohon kepada sang dewa untuk dibawa dirinya jauh-jauh dari manusia. Permohonan Kaleng didengar dan dalam sekelip masa sahaja si Kaleng telah diangkat tinggi-tinggi sehingga ke langit. Di ketika si Kaleng diangkat itulah Sipira melihat suaminya dari celah jendela rumah mereka dan langsung menyesali perlakuannya terhadap suami yang dicintainya selama ini.


Sayangnya nasi sudahpun menjadi bubur kerana walau dirayu oleh Sipira untuk Kaleng pulang ke pangkuannya, rajuk hati si Kaleng sudah terlalu parah. Sejak itu juga dikatakan si Kaleng menjadi penghuni bulan lalu digelar “Manusia Bulan” dan hanya dikala bulan mengambang akan dapat dilihat susuk badannya kelihatan. Sipira yang masih tinggal di bumi terus-terusan dilanda rindu yang berpanjangan dan menangis saban hari mengenang perbuatannya yang kejam ke atas suaminya sendiri.


Akibat daripada perbuatannya itu juga menyaksikan Sipira dihukum oleh sang dewa lalu bertukar menjadi seekor burung pungguk. Dan sejak itulah juga maka adanya pepatah yang membawa maksud bagai si pungguk yang merindukan rembulan yang sering kita dengar sebelum ini.


Begitulah ceritaKaleng Buran “Manusia Bulan” yang menjadi sebahagian daripada sastera rakyat masyarakat Bidayuh di Sarawak. Sudah tentu sebagai satu sastera rakyat yang diceritakan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi ianya mempunyai banyak versi. Dan yang pasti walau pelbagai versi penceritaan, setiap cerita rakyat sentiasa mempunyai maksud yang tersirat di sebalik yang tersurat berdasarkan kefahaman kita semua yang membacanya.


Banyak sungguh buah berangan

Atas peti dibuat bekalan

Cinta segar dalam kenangan

Pungguk ternanti rindukan bulan





Nota: Gambar hanya sekadar hiasan dan kredit diberikan kepada yang empunya gambar sebenar iaitu leeseonjoon3 www.imgrum.org


bottom of page