ETNIK KANOWIT
ETNIK KANOWIT, SARAWAK, BORNEO
KAUM Melanau mungkin bukan sesuatu yang asing bagi mereka yang mengetahui keberadaan rakyat di Sarawak yang dihuni oleh pelbagai bangsa dan agama. Dalam pada itu mungkin ramai tidak mengetahui bahawa di kalangan Kaum Melanau sendiri mempunyai sub-sub etnik yang minoriti dan salah satu daripadanya adalah etnik Kanowit.
Selain dikenali sebagai etnik Kanowit ianya juga mempunyai beberapa nama lain iaitu Melanau Kanowit, Rejang Melanau atau Kanowit Rejang atau Dayak Kanowit (Edward & Stephen; 1971:93). Di kalangan masyarakat Iban pula etnik ini digelar “Orang Rajang” kerana penempatan mereka di pedalaman Sungai Rajang atau secara lebih mengkhusus di Kampung Bedil, Kanowit iaitu kira-kira 10 minit perjalanan dari pekan Kanowit sekarang. Jumlah populasi mereka pula kira-kira 300 orang sahaja di Sarawak.
Menurut satu laporan menyatakan bahawa keberadaan etnik Kanowit di Kanowit mula diketahui dunia luar di ketika Brooke dan orang Inggeris yang lain mula mengeksplorasi dunia pedalaman Sarawak melalui ekspedisi-ekspedisi yang dijalankan oleh mereka (Edward & Stephen; 1971:93). Turut dikatakan bahawa etnik ini juga merupakan antara kaum terawal yang berhijrah di Kanowit dan dek kerana mereka lebih dominan berbanding etnik lain seperti Iban pada masa itu maka nama daerah Kanowit diambil bersempena dengan nama mereka. Namun di dalam laporan itu turut menyatakan bahawa etnik Kanowit walau antara penduduk terawal di Kanowit tetapi masih tidak diketahui dimanakah sebelumnya mereka berasal.
Di dalam membicarakan etnik Kanowit yang dihimpunkan sebagai pembentuk Kaum Melanau sekarang pula mempunyai beberapa hipotesis yang berbeza bagi sesetengah sejarahwan. Dan umum mengetahui bahawa dari konteks mengklasifikasikan sub-sub etnik Melanau dengan etnik lain yang ada di Sarawak sebenarnya sehingga sekarang masih belum ada jawapan yang benar-benar tuntas. Banyak teori hipotesis yang telah dianjurkan oleh para sejarahwan contohnya hubungan mereka dengan etnik Kayan (MacDonald 1985), Kajang (Clare 1972 & Morris 1978), Kejaman, Lahanan dan Sekapan (Blust 1974).
Kajian yang dijalankan oleh seorang sejarahwan bernama Yassir Abdul Rahman (1987:2) pula menyatakan bahawa letak duduknya etnik Kanowit sebagai kaum Melanau adalah kerana adanya persamaan bukti linguistik dan budaya. Mereka diklasifikasikan sebagai Melanau Hulu kerana mereka merupakan satu masyarakat yang tinggal di darat iaitu di kawasan tengah dan hulu Sungai Rajang. Manakala Melanau yang lain mendiami kawasan muara Sungai Rajang sehingga ke Bintulu. Walau bagaimanapun menurut beliau dek kerana terpisah oleh geografi yang bergunung ganang serta memungkinkan kurangnya pertembungan mereka sesama Melanau menyebabkan bahasa yang dipertuturkan etnik Kanowit yang digelar “Serau Tet Kanowit” walau sama tetapi berbeza kerana faktor pengasimilasian dan sebagainya.
Dari kajian Aikman (1959) pula menyatakan bahawa bahasa Kanowit yang diklasifikasikan dibawah rumpun bahasa Austronesia, Malayo-Polinesia, North Borneo, Melanau-Kajang, Melanau, Kanowit-Tanjong sememangnya mempunyai banyak persamaan dengan sub-etnik Melanau yang lain namun dek kerana faktor geologi menjadikan ia mempunyai percampuran bahasa Melanau dan kaum Orang Ulu seperti Kenyah, Kayan. Ianya menjadi sedemikian rupa kerana dikatakan etnik Kanowit itu sendiri menjadi orang pengantara antara Melanau yang tinggal di pesisir pantai dengan kaum Kayan dan Kenyah yang tinggal di hulu Sungai Rajang.
Sagu sebagai makanan ruji dan nelayan sebagai pekerjaan adalah antara identiti yang sering dikaitkan di dalam mengklasifikasikan sub-sub etnik Melanau di Sarawak. Bagi etnik Kanowit pula ianya tidak sama kerana sebagai mereka yang tinggal di pedalaman sungai, etnik Kanowit pula sejak di awal penghijrahan mereka sudahpun terlibat di dalam pertanian langsung iaitu penanaman padi dan juga sebagai penoreh getah. Walau bagaimanapun menurut Asmah Haji Omar (1983;610) makanan ruji bagi etnik Kanowit pada asalnya adalah tepung sagu atau “lemantak” serta umai iaitu sejenis menu yang sinonim dengan masyarakat Melanau yang lain sebelum mereka bertukar kepada nasi setelah mengenali penanaman padi.
Di kalangan kaum Melanau, penggunaan “bin” bagi lelaki dan “binti” bagi wanita bukanlah bermakna mereka mesti beragama Islam sebaliknya yang beragama Kristian mahupun pagan turut menggunapakai. Seperti Melanau yang lain, etnik Kanowit juga menggunakannya secara menyeluruh dan dikatakan penggunaan “bin” dan “binti” di kalangan mereka adalah akibat pengaruh Kerajaan Brunei kerana kaum Melanau mempunyai hubungan yang cukup baik dengan kerajaan besar di Borneo itu suatu ketika dahulu.
Keterujaan untuk mengenali dan menulis mengenai etnik minoriti ini masih lagi membara biarpun pada hakikatnya terlalu kurang informasi mengenai mereka dari segi dokumentasi ilmiah yang boleh dijadikan sumber rujukan. Dek kerana itulah mungkin atas sebab itu, etnik minoriti ini walau dibawah Kaum Melanau masih lagi kekal misteri di kalangan rakyat Sarawak khususnya Malaysia amnya. Umpama kata pepatah lama seperti teraba-raba di dalam terang tatkala cuba mengenali apakah adat, budaya dan tradisi mereka itu sama dengan sub-etnik Melanau yang lain atau adakah sudah berlainan kerana faktor asimilasi seperti juga bahasa mereka.
Adalah menjadi satu harapan untuk mana-mana pihak yang bertanggungjawab memperhebatkan lagi kajian mengenai etnik Kanowit kerana selain daripada populasi mereka yang semakin sedikit dan ditambahlagi berapa keratlah lagi warga emas etnik Kanowit yang menyimpan 1001 cerita mengenai mereka mampu hidup lama di dunia ini lagi. Adalah amat membimbangkan apabila ada dakwaan dari beberapa pihak bahawasanya bahasa Serau Tet Kanowit dilabelkan sebagai antara bahasa yang akan “lenyap” di bumi Sarawak kerana ramai generasi muda mereka lebih selesa untuk berbahasa Iban.
Tidak kenal maka tidak cinta.
Kredit gambar: Kampung Budaya Sarawak
Rujukan:
1. Kanowit In Malaysia
http://www.peoplegroups.org/Explore/groupdetails.aspx?peid=9261
2. Tracing The Origin Of Name Kanowit
http://www.theborneopost.com/2015/07/04/tracing-the-origin-of-the-name-kanowit/
3. A History Under Its Two White Rajah’s, 1839-1905
https://archive.org/stream/historyofsarawak00bari/historyofsarawak00bari_djvu.txt
4. Komuniti Rajang-Tanjung (PDF)
http://studentsrepo.um.edu.my/648/5/BAB4.pdf
5. From Kanowit With Love - Borneo Oracle