top of page

SA'PE - MUZIKA DARI ALAM MIMPI


SA’PE - MUZIKA DARI ALAM MIMPI

GEMERSIK alunan muziknya boleh membuai sesiapa sahaja yang mendengarnya. Telahan lagi ia semakin mendamaikan sekiranya berlatarbelakangkan persekitaran seperti hutan yang begitu dekat dengan alam. Begitulah istimewanya satu peralatan muzik tradisional yang menjadi sebahagian daripada identiti Kaum Orang Ulu di Borneo.

Sa’pe atau sapeh atau sampet atau sampeh atau sape bermaksud “memetik dengan jari” mengikut dialek Kaum Orang Ulu merupakan sebuah alat muzik dari jenis kordofon yang berbentuk seperti gambus panjang bertali empat. Jika diperhalusi dari segi pembuatan, badan sa’pe itu sendiri kebiasaannya menggunakan keseluruhan batang pokok iaitu dari jenis pokok jokuvang dan boleh mencecah sehingga satu meter panjang. Dek kerana ianya menjadi sebahagian daripada identiti Kaum Orang Ulu jadi tidaklah menghairankan sekiranya sa’pe akan dihiasi dengan ukiran-ukiran bermotifkan Orang Ulu dan diwarnakan dengan rona merah mahupun hitam.

Sehingga ke saat ini masih belum ada jawapan yang tepat dimanakah sebenarnya sa’pe ini berasal memandangkan setiap etnik seperti Kenyah, Kayan, Kelabit dan banyak lagi iaitu yang menjadi pembentuk Kaum Orang Ulu mempunyai jalan ceritanya tersendiri berkenaan dengan sa’pe. Misalnya untuk etnik Kenyah mempercayai bahawa sa’pe itu berasal dari Long Nawang, Kabupaten Bulungan, Kalimantan Tengah iaitu antara wilayah perbatasan Sarawak/Kalimantan yang mana populasinya didominasi oleh Kaum Orang Ulu (The Upriver People) dari dahulu sehingga sekarang.

Berbicara dari konteks asal bermulanya Sa’pe ini juga bagi etnik Kenyah mempercayai bahawa aspirasi untuk membuat alat muzik ini bermula dari alam mimpi. Suatu waktu dahulu dikatakan ada seorang petani anak Kenyah yang lelah selepas membanting tulang di humanya seharian sehingga akhirnya beliau terlelap di pondok yang didirikan di humanya. Ketika lena di peraduan itulah beliau bermimpi akan gambaran satu peralatan muzik di samping sayup-sayup kedengaran bisikan suara yang mengarahkannya untuk mencari kayu andau iaitu satu pokok yang sentiasa menjadi tempat untuk burung enggang membuat sarang.

Tersentak dengan mimpi yang pelik ini membuatkan petani itu bangun dari lenanya lantas berfikir sejenak apakah cerita di sebalik mimpi tersebut. Atas kepercayaannya bahawa alam sedang menunjukkan sesuatu maka diceritakan petani ini lantas masuk ke hutan dan mencari apa yang dimaksudkan oleh mimpi tersebut. Kemudian berdasarkan kepada gambaran dari dalam mimpi itu jugalah beliau membuat sa’pe pada ketika itu.

Sa’pe sudahpun siap sepenuhnya cuma petani itu langsung tidak tahu menggunakannya melainkan hanya memetik tali pada sa’pe mengikut rasa hatinya. Dan terjadilah sesuatu yang tidak diduga apabila pada malam-malam seterusnya, si petani didatangi dengan mimpi-mimpi yang seolah-olah mengajar beliau untuk bermain sa’pe dengan lagu-lagu yang mengasyikkan jiwa. Acapkali setiap kali bangun dari tidur sebelah paginya, si petani akan mula memetik sa’pe dihadapan isterinya yang sakit di rumah panjang mereka berdasarkan mimpinya semalam.

Hendak dijadikan cerita setiap kali si petani mengalunkan lagu-lagu dari sa’penya nescaya isterinya yang sakit memberikan tindakbalas yang begitu memberangsangkan. Akhirnya lama kelamaan si isteri yang tidak mampu bangun sebelumnya sudah mula cergas seperti biasa. Melihat kepada impaknya itulah, si petani mempercayai bahawa sang pencipta sebenarnya menghadiahkan sa’pe kepadanya untuk menyembuh isterinya yang sakit.

Bagi etnik Kayan pula amat berlainan ceriteranya namun masih lagi berkisar dengan alam mimpi. Menurut kepercayaan orang Kayan, aspirasi untuk membuat sa’pe itu datangnya dari cerita seorang pemuda anak kayan yang sedang berperahu menyelusuri sungai di Borneo. Sungai itu pula mempunyai jeram berbatu-batu yang memungkinkan aliran airnya teramat deras dan sekiranya tidak handal mengawal perahu nescaya akan karam.

Nasib tidak menyebelahi beliau pada hari itu kerana tersilap langkah akhirnya perahunya karam hingga melanggar sebongkah batu yang besar. Beliau pula telah terhumban sehingga tersangkut di karangan. Dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dan separuh sedar itulah diceritakan si pemuda kayan tersebut mendengar alunan nada-nada indah dari hutan dan sungai. Terpesona dengan gemersik alunan itu akhirnya setelah pemuda tersebut sedar dan kembali ke kampungnya telah membuat satu alat muzik seakan-akan bentuk perahu. Berkat kesungguhannya juga menyaksikan pemuda kayan itu mampu mengilhamkan alunan-alunan yang indah dengan berinspirasikan alam semulajadi.

Sa’pe bukanlah hanya satu alat muzik yang tujuannya hanya untuk suka-suka sebaliknya ia seolah-olah satu media muzik yang suci di dalam kepercayaan Kaum Orang Ulu. Kerana itulah si pemain dan sa’penya dituntut di ketika acara Dayung iaitu acara untuk mengubati orang sakit iaitu mengkhusus kepada orang yang memiliki Abuh atau makhluk ghaib di dalam dirinya. Selain itu ianya juga menjadi muzik iringan di ketika Talima atau Syair-syair kuno etnik Kayan didendangkan.

Sesuai dengan peredaran zaman, sa’pe dari satu alat muzik tradisional yang mendapat penghormatan sebagai alat muzik utama di dalam acara-acara tertentu akhirnya sekarang sudah melangkaui batas waktu. Sa’pe juga dari hanya mempunyai dua tali pada asalnya untuk dipetik sudah mempunyai empat tali sekarang. Dari tradisional ianya juga sudah dimodenkan dengan adanya pembuatan sa’pe elektrik. Jika dahulu sa’pe mungkin hanya dimainkan di rumah-rumah panjang Kaum Orang Ulu namun sekarang sa’pe dengan alunan muziknya sudah mempunyai kelas tersendiri di dunia antarabangsa.

Jika dahulu adalah menjadi pantang untuk yang berjantina perempuan memegang atau memainkan sa’pe namun sekarang ianya juga turut mengeluarkan pemain sa’pe wanita bertaraf dunia seperti Alena Murang, seorang anak Kelabit yang berjaya membawa sa’pe ke kelasnya tersendiri apabila menjadi pemain sa’pe wanita tunggal yang mengiringi pertunjukan fesyen dunia di Paris, Perancis. Namanya sebaris dengan pemain sa’pe lelaki handalan yang sudah menempa nama di peringkat antarabangsa seperti Lan E Tuyong, Jerry Kamit serta ramai lagi.


Kredit gambar: Alena Murang by Sarawak Tourism



Rujukan:


1. Dari Mana Asal Muasal Musik “Sape”

https://adisalakokayaan.wordpress.com/2014/09/29/dari-mana-asal-mula-alat-musik-sape/

2. Sape - Star online, 1st June 2011

https://www.thestar.com.my/travel/malaysia/2011/06/01/sape/

3. The Sape

http://asianitinerary.com/the-sape/

4. A life Built On Music and Art - Alena Murang, Borneo Post 15 June 2015

https://seeds.theborneopost.com/2015/06/18/a-life-built-on-music-and-art-alena-murang/



bottom of page