JATUHNYA KERAJAAN MALANO DITANGAN KERAJAAN BRUNEI
JATUHNYA KERAJAAN MALANO DITANGAN KERAJAAN BRUNEI
TUGAU atau Raja Tugau merupakan pemerintah satu kerajaan kuno yang diasaskan oleh Kaum Melanau di Sarawak suatu waktu dahulu. Menurut sastera rakyat di Sarawak digambarkan sebagai seorang yang bengis dan kejam pemerintahannya. Dalam pada itu tidak kurang yang mempercayai bahawa raja pada satu kerajaan kuno yang dinamakan Kerajaan Malano ini hanya satu dongengan semata-mata kerana jejak ceritanya dikatakan lenyap begitu sahaja di Sarawak termasuklah kerajaannya sekali. Mungkin di Sarawak kewujudan Tugau hanya disebut di dalam cerita rakyat sahaja tetapi jika kita mengodek pensejarahan dari Negara Brunei, Filipina mahupun manuskrip lama dari China mempunyai cerita yang sebaliknya dan berdasarkan bukti yang cukup kuat.
Dalam pada itu untuk Kerajaan Malano yang diperintah oleh Tugau sememangnya merupakan antara kerajaan yang hilang di Sarawak sepertimana yang telah dikaji oleh sejarahwan Sarawak sebelum ini. Dan maha pentingnya kerajaan ini disebut di dalam satu manuskrip kuno orang Jawa iaitu Kekawin Nagarakretagama ditulis oleh Empu Prapanca pada tahun 1365 sebagai satu kerajaan yang bernaung dibawah kekuasaan empayar Majapahit di Borneo sama seperti Kerajaan Brunei.
“Kadangdangan, Landa, Samedang dan Tirem tak terlupakan Sedu, Baruneng, Kalka, Saludung, Solot dan Pasir Barito, Sawaku, Tabulang, ikut juga Tajung Kuteri, Malano tetap yang terpenting di Pulau Tanjungpura”. – Nagarakretagama Tahun 1365 –
Berdasarkan kepada petikan ini sudah cukup jelas membuktikan bahawa Brunei atau digelar Baruneng mahupun Malano pada masa itu adalah antara kerajaan-kerajaan yang yang tegak berdiri di Tanjungpura atau Borneo. Kemudian apabila kekuasaan Majapahit menjadi lemah maka Brunei mampu melepaskan dirinya dari cengkaman Majapahit lantas menjadi antara kerajaan yang kuat sehingga akhirnya berjaya menjadikan banyak kerajaan lama di yang pernah wujud di Borneo menjadi naungannya.
Jika kita merujuk kepada satu kompilasi buku yang menghimpunkan cerita Brunei di dalam sejarah China yang bertajuk “Brunei Dalam Sejarah China” ada menyatakan secara terperinci apakah wilayah jajahan Brunei pada abad ke-12 dan 13 Masihi melalui petikan daripada Da De Nan Hai Zhi iaitu;
“kawasan Xiao Dong Yang dibawah penguasaan Negeri Fu Ni termasuklah Ma Li Lu (Manila), Ma Ye (Luzon), Mei Kun, Pu Duan (Panay), Su Lu (Sulu), Sha Hu Zhong (Marudu), Ya Chen (Igan), Odjuton (Tutong) dan Wen Du Ling (Bintulu).
Kenyataan ini sudah tentu turut membuktikan bahawa Kerajaan Malano dahulukala mempunyai empayar yang cukup besar iaitu membentang dari Mukah sehingga ke Tutong iaitu satu wilayah di dalam Negara Brunei sekarang. Berbicara dari konteks ini juga perlulah diketahui bahawa Ya Chen atau Igan adalah merujuk kepada pusat pemerintahan Kerajaan Malano dibawah Raja Tugau (Andreini 1931; Anonymous 1907; Lawrence 1909 & 1911). Di dalam satu manuskrip kuno Orang Bisaya di Pulau Panay iaitu Magratas, Tugau juga disebut sebagai Raja Macatunao. Dan Kerajaan Malano dibawah tokoh lagenda kaum Melanau di Sarawak ini empayarnya di Odjuton atau Tutong dipercayai bukanlah diperintah secara langsung oleh beliau sebaliknya dijaga sepenuhnya oleh adik iparnya yang bernama Basiong (Andreini 1931; Anonymous 1907; Lawrence 1909 & 1911).
Dalam pada itu sekitar tahun 2002 pula satu tapak arkeologi telah ditemui di satu cabang Sungai Brunei di dalam wilayah Brunei Muara iaitu yang digelar Tapak Arkeologi Sungai Limau Manis pula mengesahkan lagi bahawa suatu waktu dahulu sebelum Kota Batu menjadi ibu negara Brunei telahpun wujud ketamadunan disitu. Dan jika kita mengambilkira kedudukan Sungai Limau Manis yang hanya terletak kira-kira 22 km dari Bandar Seri Begawan dan berada di sempadan Limbang/Brunei hanya beberapa minit perjalanan dari Tutong yang kita kenali sekarang.
Menurut apa yang dicatatkan di dalam “The Islamic Sultanate Of Brunei: Past and Present Culture” menyatakan bahawa:
“The abundant quantities of archaeological artifacts discovered in this vast area proves that the Sungai Limau Manis site was the largest settlement area in I the 1Oth-14th centuries AD (based on the dating of Chinese ceramics). The discovery of such artifacts like iron slag, crucibles, metals objects, boat remnants, wooden mortars, coins and others shows that the people practiced daily activities like fishing, collecting shells, farming, metal smiting, trading, etc. The people were pagan and practiced animism.The site declined when Kota Batu became the capital of Brunei and a major settlement area and trade centre”.
Keberadaan wujudnya wilayah kerajaan lain di Brunei sudah tentu menjadi satu kegusaran kepada pemerintahnya yang baru maka kekuasaan mereka harus dihentikan pada waktu itu. Perang habis-habisan Kerajaan Brunei ke atas Igan mahupun Tutong ada dinyatakan di dalam satu manuskrip kuno Brunei yang bernama Syair Awang Semaun. Melalui bait-bait syair cukup jelas menyatakan ianya terjadi semasa Sultan Muhammad Syah berkuasa.
Pada awalnya sebagai satu kerajaan yang kuat, Sultan Muhammad Syah tidak mahu berperang dan lebih kepada menggunakan corak diplomasi. Jadi dikala itulah baginda menitahkan seorang pahlawan Brunei bernama Pembakal Bangis ke Tutong. Namun pada waktu itu yang hanya ada di Tutong adalah seorang pemimpin Tutong bernama Mawangga yang juga bertindak sebagai orang kanan Basiung. Maksud kedatangan Pembakal Bangis ke Tutong disampaikan kepada Mawangga iaitu mahukan Kerajaan Malano di Tutong untuk menerima Kerajaan Brunei sebagai Negara “Junjungan” mereka. Walau bagaimanapun, Mawangga tidak bukanlah individu yang mampu memberi kata putus kerana beliau hanya “hamba jarahan” kepada Basiung pada waktu itu. Bagi mengelakkan pertumpahan darah yang lebih besar di Tutong, Mawangga menyarankan agar Pembakal Bangis untuk ke Igan iaitu pusat pemerintahan Kerajaan Malano menemui Basiung dan Tugau sendiri dengan ditemani oleh beliau.
Ketika di Igan, Pembakal Bangis berjaya menemui Basiung dan Tugau lantas menyampaikan maksud yang serupa sepertimana yang diperkatakannya kepada Mawangga di Tutong sebelumnya. Namun jawapan Basiung yang cukup mencabar Pembakal Bangis iaitu beliau mengatakan bukanlah Malano yang harus tunduk kepada Brunei sebaliknya Brunei yang harus menyembah Malano pada waktu itu. Sebagai seorang tetamu, Pembakal Bangis tidak mahu membuat onar di Negara orang dan sebelum berlalu pergi, beliau sempat memberikan tempohmasa selama sembilan hari untuk Basiung dan Tugau mengadap Sultan Muhammad Syah atau bersiap sedialah dengan segala kekuatan mereka untuk bertingkah dengan Brunei. Lantas dijawab oleh Basiung bahawa Brunei harus segera menyerang Malano dan jangan sampai Malano yang akan terlebih dahulu menyerang Brunei kelak.
Sekembalinya Pembakal Bangis ke Brunei segala hal yang berlaku di Igan diceritakan kepada Sultan Muhammad Syah sehingga menyebabkan baginda murka. Tercabar dengan jawapan daripada Basiung menyebabkan baginda memerintahkan gendang kebesaran kerajaan dipalu bagi memanggil panglima-panglima terkuat Brunei mengadap baginda. Maka muncullah Patih Barbai, Damang Sari, Awang Jarambak, Layla Langgung dan yang lain di istana Brunei. Cabaran Basiung daripada Kerajaan Malano itu dianggap sebagai satu hinaan kepada mereka lantas mereka sehati sejiwa untuk mengajar sikap biadap Basiung dan perang terhadap Kerajaan Malano sudah tidak mampu untuk dielakkan lagi.
Menurut sejarahnya perang Brunei melawan Malano berlaku di bumi Igan sendiri. Perang penuh epik ini dikatakan berlangsung selama sembilan bulan lamanya. Basiung dan Tugau yang mengetahui bahawa Malano akan diserang sudahpun mempersiapkan diri bergabung dengan Sambas, Matu, Sadong dan Sarikei. Hasilnya kekuatan Kerajaan Malano menjadi besar iaitu seramai 9,000 orang kesemuanya berkumpul di Igan. Di pihak Brunei yang diketuai oleh Awang Semaun, Awang Jarambak dan Damang Sari pula turut tidak kurang hebatnya malah mereka bersatu dengan Orang Murut yang cukup terkenal dengan perang kayau mereka.
Walau mempunyai jumlah kekuatan yang cukup besar pada masa itu, namun Malano masih tidak mampu untuk melawan Brunei. Menurut ceritanya dikatakan banyak kepala yang berpisah dari badan di pihak Malano dek kerana kayau yang dijalankan oleh Orang Murut. Sesetengah penceritaan menyatakan dalam perang ini, bakul geranjang orang Murut yang dibawa ke medan perang tidak mencukupi untuk membawa kepala orang Malano kembali ke rumah panjang mereka sebagai piala kemenangan. Kekalahan di pihak Kerajaan Malano dibawah Basiung dan Tugau menyebabkan kemusnahan yang teruk kerana rumah panjang mereka habis dibakar menjadi arang. Harta-harta mereka yang bernilai dijarah berhabis-habisan manakala kaum wanita dan anak-anak kecil ada yang dibunuh atau dibawa pulang ke Brunei untuk menjadi hamba sahaya pada masa itu.
Mengetahui bahawa Malano sudah diambang kekalahan menyaksikan Basiung dan Tugau telah cuba menyembunyikan diri mereka namun Patih Barbai dan orang-orangnya sudah terlebih dahulu dapat menjejaki mereka. Akhirnya kedua-duanya dikepung dan ada penceritaan mengatakan Patih Barbai telah meletakkan pedangnya di leher Basiung dan Tugau dengan mendesak mereka untuk menerima kekuasaan Brunei dan menjadi hamba kepada Sultan Muhammad Syah. Mahu tidak mahu, Basiung dan Tugau akhirnya akur dan membenarkan Brunei mengambil wilayah-wilayah yang ada dibawah kekuasaan Kerajaan Malano pada waktu itu.
Tidak terhenti disitu kerana pada saat itu juga menyaksikan satu persatu wilayah Malano menjadi hak Brunei dan mana-mana yang enggan menerima kekuasaan Brunei akan diperangi berhabis-habisan. Oya, Matu, Mukah sehingga ke Sambas akhirnya menjadi salah satu pembentuk empayar Kerajaan Brunei. Turut diperangi oleh Brunei pada masa itu adalah mereka yang membantu Malano di dalam perang iaitu seperti Sarikei, Rajang, Sadung, Sarawak, Tanjung Datu dan Lingga. Seteru kuat Sambas iaitu Pontianak dan Sanggau turut menerima nasib yang sama kerana tidak mahu adanya mana-mana kerajaan di Borneo yang berani memerangi Brunei.
Kejatuhan satu kerajaan kuno yang berpusat di Igan bukanlah hilang sebegitu sahaja sebaliknya kerajaan ini binasa akibat kalah di dalam peperangan. Sejarah kejatuhan dari sebuah kerajaan yang kuat ini cukup lengkap penjelasan sejarahnya di pihak sejarah Brunei. Cuma sayangnya untuk rakyat Malaysia amnya dan Sarawak pengetahuan mengenai sejarahnya masih terlalu sedikit.
Rujukan:
1. Sarawak Museum Journal of 1911, 1st Edition by A.E Lawrence article entitle “The First Brunei Conquest On The Sarawak Coast”.
2. Kerajaan Brunei
3. The Islamic Sultanate Of Brunei: Past and Present Culture
4. Sejarah Pengasasan Brunei Dan Asal Usul Kerajaan Brunei Berdasarkan Sumber Lisan (PDF) – Haji Abdul Karim bin Haji Abdul Rahman
5. Buku: Headhunting and The Social Imagination In Southeast Asia by Jules de Raedt and Janet Hoskins
6. Kerajaan Brunei Tua – Borneo Oracle