JERUNAI
JERUNAI
- Tiang Pengebumian (Burial Pole) Kaum Melanau
SEORANG hamba atau “dipen” akan dipilih lantas dirinya diikat di puncak jerunai sambil meronta-ronta. Kerana tidak mahu mati sebelum waktu maka hamba tersebut akan menghamburkan sumpah serakah setiapkali melihat adanya kelibat manusia berada dekat dengannya. Di puncak itulah si hamba akan mati secara perlahan-lahan kerana tidak diberikan makan dan minum.
Antara keratan sumpah serakah yang akan dihambur oleh si hamba diatas puncak jerunai berbunyi seperti ini:
“Datang-datanglah dekat padaku,
Takkan kamu tak kasihani aku
Aku amat haus dahaga
Aku bukan hamba abdi kamu
Angkatlah pengayuhmu tinggi-tinggi
Agar percikan air dari pengayuh itu
Dapatlah menghilang sedikit dahagaku
Ku sumpahkan agar sesiapa daripada kamu yang menyiksa aku
Atas dosa yang tidak pernah aku lakukan
Aku sumpahkan tak seorangpun daripada kamu,
Anak-anak dan cucu cicit kamu selamat”
Inilah antara episod menyayat hati lagi menyeramkan apabila berbicara satu tradisi kuno yang pernah berlaku di kalangan masyarakat Melanau suatu waktu dahulu. Tradisi pengkebumian masa lampau yang dikhaskan untuk golongan bangsawan atau aristokrat masyarakat Melanau yang suatu waktu dahulu masih lagi beragama pagan atau animisma.
Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa golongan aristokrat di kalangan kaum Melanau yang meninggal dunia suatu waktu dahulu tidak akan dikuburkan di dalam tanah. Sebaliknya mayatnya akan disimpan di dalam tempayan besar terlebih dahulu kemudian dibiarkan mereput secara semulajadi sehingga meninggalkan rangka-rangka sahaja. Selepas itu barulah tempayan itu nanti akan dipindahkan ke dalam satu lubang yang terletak di bahagian tengah sebatang tiang bulat yang dikenali sebagai jerunai atau jerunei atau kelideng. Disitulah sebenarnya tempat persemadian kekal si mati dengan ditemani roh si hamba sahayanya yang dikorbankan menuju ke “likow matai” atau alam akhirat menurut kepercayaan masyarakat Melanau dahulukala.
Jerunai adalah satu tiang pengkebumian (burial pole) berbentuk bulat dan ketinggiannya boleh mencecah antara 12 meter hingga 15 meter. Diperbuat daripada jenis pokok kayu belian yang besar serta matang. Pemilihan jenis kayu belian adalah kerana hanya jenis kayu seperti ini yang dapat bertahan lama walaupun terdedah kepada cuaca panas dan hujan. Diceritakan proses untuk membuat jerunai itu sendiri memakan masa yang agak lama.
Suatu waktu dahulu dikala kepercayaan mistik dan supernatural masih membelenggu masyarakat, permintaan untuk membuat jerunai dikatakan dibuat oleh si pemiliknya sewaktu dirinya masih hidup seolah-olah sudah mengetahui yang maut sudah semakin hampir. Tatkala itulah untuk pengikut-pengikut yang setia akan mula berkelana di dalam hutan mencari kayu yang terbaik untuk tuan mahupun rajanya. Bukanlah sesuatu yang mudah kerana selepas kayu sudah dicari, proses untuk membawa kayu besar itu kembali ke kampung halaman menuntut 1001 kesabaran di dada.
Usai sampai sahaja sampai di kampung, kayu itu akan melalui beberapa proses sehinggalah ianya berbentuk bulat dan tinggi. Di bahagian tiang jerunai pula akan dikorek lubang yang mana kebiasaannya dalam jumlah dua atau tiga lubang sahaja. Lubang di bahagian bawah adalah untuk menempatkan barangan berharga milik si mati sewaktu hidupnya untuk menjadi bekalan sewaktu perjalanannya ke alam akhirat. Lubang di bahagian tengah pula dikhaskan untuk menempatkan cebisan rangka si mati yang telah dipindahkan dari keranda sebelumnya. Untuk bahagian atas pula adalah dikhaskan untuk untuk si hamba yang mengiringinya kelak.
Pada bahagian luar tiang jerunai pula akan dihiasi dengan ukiran-ukiran yang khas iaitu yang akan menonjolkan darjat dan status si pemiliknya. Semakin rumit ukiran tersebut maka semakin lama tempoh penyiapannya. Antara ukiran-ukiran yang menghiasi bahagian luar jerunai adalah yang bermotifkan binatang seperti naga, harimau, ular dan sebagainya. Selain itu ada juga yang bermotifkan alam flora dan buah-buahan yang mana kebanyakannya adalah si pemilik jerunai merupakan yang berjantina perempuan.
Siap segalanya tibalah masa untuk menegakkan jerunai di lokasi yang telah ditetapkan. Satu upacara nyanyian lagu tradisional akan didendangkan bagi memohon izin roh memberkati tugas mereka. Selepas itu barulah lubang sedalam dua meter akan digali. Diceritakan sebelum jerunai itu dipacakkan akan ada seorang hamba dihumban ke dalam lubang tersebut. Dan apabila sudah didirikan menegak barulah seorang lagi hamba yang sememangnya sudah dipilih awal-awal oleh si mati sewaktu hidupnya akan diikat di puncak jerunai dan dibiarkan disitu sehingga mati. Sewaktu proses ini berlaku, suasana hiba dengan raungan serta esak tangis dari keluarga si mati dan hamba akan memenuhi persekitaran perkuburan. Ianya sebagai satu simbolik peredaran alam yang dilalui oleh si mati serta satu peringatan agar si mati tidak akan lagi menganggu mereka yang masih hidup di dunia.
Tradisi pengebumian kuno golongan aristokrat Kaum Melanau menggunakan jerunai ini sudah lama berlalu. Ianya telah lama ditinggalkan sesuai dengan peredaran zaman serta adanya kedatangan agama di dalam masyarakat Melanau di Sarawak yang sekarang rata-ratanya menganuti agama Islam dan Kristian. Keberadaan jerunai pula biarpun sudah banyak yang musnah dimamah waktu namun ada sesetengahnya masih lagi wujud di beberapa tempat di Sarawak seperti di Kampung Tellian, Mukah yang menjadi saksi tentang kewujudan tradisi pengebumian pernah wujud di kalangan aristokrat Melanau ratusan tahun dahulu.
Kredit foto: Unimas Enografi Visual 2011
Rujukan:
1. The Sarawak Museum Journal, Vol. XLVII. Special Issue No 5. An Overview: The Cultural Future Of The Melanau Community by Aloysius J. Dris. (1997)
2. Upacara Kematian Melanau Likow Di Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak, Kota Samarahan oleh Dzulfawati Haji Hassan (2006)
3. Jerunai – Kampung Tellian Mukah
http://kampungtellian.blogspot.my/2011/12/jerunai.html