top of page

BARBARA MENDU BAY


BARBARA MENDU BAY

- Jasamu Dikenang Sepanjang Zaman

MENJADI lumrah di zaman dulu-dulu, seorang yang berjantina wanita kebiasaannya akan menjadi suri dapur sepanjang masa. Tugasan mendidik anak-anak dan urusan rumahtangga serta keluarga tertindih di bahu mereka. Atas sebab adanya pemikiran sedemikian maka wanita zaman dulu-dulu agak tidak kenal dengan “dunia” yang berada di sekeliling mereka. Namun untuk seorang wanita besi yang namanya tercatit sebagai satu nama jalan di Kuching mempunyai visi dan misi yang berbeza kerana yang dirinya mahukan adalah untuk wanita di Sarawak sama-sama sedar dan celik segalanya serta bersaing dengan yang berjantina lelaki bagi membangunkan Sarawak yang tercinta.

Barbara Mendu Bay nama diberi dilahirkan di Sungai Tanju, Samarahan pada tanggal 4 April 1900 dari sebuah keluarga yang sederhana pada ketika itu. Mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah missionari yang cukup terkenal di Kuching iaitu Sekolah St. Mary’s. Sekitar tahun 1917 setelah menamatkan dunia persekolahannya telah terpilih untuk meneruskan pengajiannya di sebuah sekolah kejururawatan di Melaka. Saat itulah dirinya telah melakar sejarahnya tersendiri iaitu sebagai wanita Sarawak yang pertama terpilih untuk menjadi seorang jururawat bertauliah dan bidan professional.

Mula menjengah dunia politik Sarawak secara tidak langsung sekitar tahun 1957 kerana menjadi tulang belakang penubuhan sebuah badan bukan kerajaan yang misinya adalah untuk mengangkat sosio ekonomi wanita Iban iaitu yang dinamakan Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) yang masih lagi wujud sehingga ke hari ini. Dek kerana visi dan misinya itulah di awal penubuhan SIDS, dirinya telah diangkat untuk menjadi Presiden SIDS yang pertama secara sebulat suara.

Dunia politik berasaskan bangsa itu sememangnya tidak boleh kita nafikan dari dahulu sehingga sekarang namun untuk seorang yang bernama Barbara Mendu Bay lain pula ceritanya. Ini kerana ditengah-tengah kemelut politik berasaskan kaum, dirinya adalah ahli politik bumiputera yang muncul dari satu parti politik yang didominasi oleh masyarakat Cina Sarawak pada tahun 1959 iaitu Sarawak United People’s Party (SUPP). Penglibatannya di dalam SUPP sentiasa dihargai malah banyak jawatan eksekutif parti yang disandangnya seperti Ahli CEC (1960, 1971), Timbalan Presiden (1973-1975, 1980-1981, Committee Member (1978, 1983) serta banyak lagi. Malah jika diikutkan di dalam sejarah juga, Barbara Mendu Bay jugalah merupakan wanita pertama dari SUPP yang dilantik sebagai “Councillor” bagi Kuching Municipal Council dari tahun 1959 hingga 1981.

Tarikh bersejarah 22 Julai 1963 menyaksikan Sarawak mempunyai barisan kabinet dari anak Sarawak sendiri dan mungkin ramai tidak mengetahui bahawa individu bernama Barbara Mendu inilah antara anak Sarawak yang tampil dan tegas melaungkan kehendaknya untuk Sarawak merdeka dahulu sebelum penubuhan Gagasan Malaysia yang dibentuk oleh Malaya, Sarawak, North Borneo (Sabah) dan Malaya yang dimakmurkan pada tanggal 16 September 1963. Diceritakan laungan tegasnya pada masa itu adalah kerana tidak mahu Sarawak menjadi mangsa permainan politik Kerajaan Mahkota Sarawak British suatu waktu dahulu.

Tanggal 12 Mac 1986, Sarawak telah kehilangan satu permata besar di dalam dunia politik Sarawak apabila Barbara Mendu Bay menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 86 tahun. Bagi mengenang jasa Mendiang pada tahun itu juga, SIDS telah mengasaskan “Biasiswa Barbara Bay” yang memberi peluang kepada mana-mana anak Sarawak yang ingin melanjutkan pelajaran di dalam pengajian linguistik di mana-mana universiti tempatan.

Seumpama pepatah lama, harimau mati meninggalkan belangnya manakala manusia mati meninggalkan namanya dan begitulah juga Mendiang Barbara Mendu Bay yang terlakar namanya pada satu nama jalan yang diberi nama Jalan Mendu, Kuching, Sarawak. Wanita besi yang cukup hebat dan antara perintis dunia politik wanita di Sarawak dari zaman British sehingga menjadi Sarawak, Malaysia sekarang. Jasamu dikenang sepanjang zaman. RIP.




Rujukan:


1. Biography: Unsung heroes of Barbara Mendu Bay by Nadrawina Isnin

2. New Sarawak Tribune, May 9 2017 – Amazing Sarawak Part 19

3. Borneo Post, 11 September 2015 – Kudos to women for contribution to state

4. Author, Christina Thomas-Mamora. Book entitle: The Pioneers Sarawak Women In Politics. Published 2016

5. https://www.geni.com/people/Barbara-Bay/6000000007755634493


bottom of page